Ahad, 21 April 2019 | 10:46am
JALAN masuk utama Gua Sirih. - Foto Sharul Hafiz Zam

Gua Sirih lokasi timbunan najis kelawar jadi tarikan pelancong

Siapa sangka gua yang menjadi tumpuan penduduk setempat sejak awal 1960-an untuk mencari najis kelawar bertukar wajah menjadi lokasi pelancongan baharu di Baling, Kedah. Jika sebelum ini Gua Sirih yang terletak di kaki Bukit Dalam Wang, menjadi tempat mencari rezeki penduduk melalui najis kelawar yang dijadikan baja, kini gua berkenaan menjana rezeki melalui pelancongan.

Berkeluasan mencecah 192 meter lebar dan ketinggian antara 60 hingga 80 meter, Gua Sirih boleh dianggap antara gua paling luas di negara ini. Buktinya, penulis sendiri berpeluang menerokai gua berkenaan, baru-baru ini, yang mana berdasarkan rekod ia menerima 200 pengunjung dalam satu-satu masa sejak dibuka awal Februari lalu.


DULU jadi tumpuan penduduk mengutip tahu kelawar kini tumpuan pelancong. - Foto Sharul Hafiz Zam

Batu bentuk sirih junjung

Terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Baling, pengunjung akan mengambil masa hampir sejam untuk menerokai laluan gua sepanjang 400 meter. Memasuki pintu gua sahaja, penulis sudah terpukau dengan batu besar dengan ketinggian tujuh meter berbentuk sirih junjung yang seolah-olah menyambut ketibaan sesiapa sahaja yang memasukinya.

Berdasarkan ‘cakap-cakap’ penduduk setempat batu sirih junjung yang berada dalam keadaan condong itu akan berubah dan condong ke arah lain dalam tempoh masa tertentu. Selain sirih junjung, terdapat juga batu yang menyerupai belalai gajah dan beberapa bahagian dinding gua menyerupai muka singa serta orang sedang bertapa.


BATU menyerupai muka singa dapat dilihat di dalam Gua Sirih. - Foto Sharul Hafiz Zam

Indah disinari cahaya

Diterangi sedikit cahaya lampu yang dipasang, dinding (chamber) gua berwarna putih nyata terlalu indah sehingga ada pasangan pengantin baharu mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar di situ. Pujian seharusnya diberikan kepada Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang/Padang Che Mas yang mengambil inisiatif meneroka Gua Sirih sebagai sumber ekonomi baharu penduduk di kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Mohd Hassan Aziz, 46, berkata idea untuk menjadikan Gua Sirih sebagai lokasi pelancongan bermula Ogos tahun lalu, apabila ahli jawatankuasa persatuan mula menjalankan operasi meneroka. Kerja membuat laluan, bertukang membuat titi, pendawaian elektrik untuk memasang lampu dan membersihkan dijalankan sehingga Januari lalu sebelum dibuka kepada umum pada awal Februari lalu.

“Kami menggunakan wang persatuan serta terpaksa berhutang untuk menampung kos mencecah RM20,000. Sejak dibuka, pihaknya menerima lebih 2,000 pengunjung yang bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan malah pelancong luar negara seperti Jepun dan Korea Selatan,” katanya.


GUA Sirih boleh dianggap antara gua paling luas di negara ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

Info

Gua Sirih, Baling

- Dibuka setiap hari

- Operasi jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang.

- Setiap pengunjung akan dibawa masuk oleh jurupandu arah

- Bayaran : RM10 (dewasa) dan RM5 (pelajar dan kanak-kanak berusia lebih 7 tahun).

133 dibaca
Berita Harian X