Ahad, 14 April 2019 | 10:00am
SUASANA salji di Gulmarg.

Panorama Gulmarg Kashmir memukau mata

“Nak main salji sangat...rasakan!” Kata-kata itu kemudian disambut deraian ketawa sambil masing-masing menggigil dan menahan kesejukan melampau apabila salji semakin lebat. Malah, ada di antara kami berterusan menggetap bibir kerana tidak tahan berdepan dengan cuaca seperti itu.

Bagaimanapun, pengalaman bermain salji dan meredah perubahan cuaca berbeza yang dikecapi di pergunungan Gulmarg, di Kashmir, India memang menyeronokkan walaupun tubuh sepanjang masa terpaksa menahan rasa menggigil dan dingin beku di kawasan itu.

Baju sejuk tebal dua lapis dan ditambah dua lapis kemeja-T yang saya pakai, masih tidak mampu menahan kesejukan di bawah paras beku ketika itu. Angin kuat dan salji yang semakin lebat turun menambah lagi kesejukan.

Alang-alang sudah sampai di puncak, rugi kalau dilepaskan peluang melakukan aktiviti di situ, termasuk luncur papan, bermain ski dan juga merakam gambar kenangan di situ.

Teringin jejak kaki ke Kashmir

Bertahan sahajalah walaupun diselubungi kesejukan dan menggigil, asalkan cita-cita bermain salji tercapai! Leka bermain salji menyebabkan debaran dan perasaan berbolak-balik seminggu sebelum bertolak ke Kashmir, larut tenggelam dalam cuaca dingin beku itu.

Sebelum menjejak ke bumi itu, ada pelbagai khabar berita tidak menyenangkan berlaku. Antaranya ialah insiden tembak-menembak dan juga cuaca buruk di situ. Disebabkan persiapan sudah dibuat dan teringin sangat menjejakkan kaki ke Kashmir, saya bulatkan fikiran untuk meneruskan juga perancangan.

Untuk ke Kashmir, saya dan rakan tinggal semalaman di New Delhi, kemudian seawal subuh kami terus menaiki penerbangan ke Srinagar. Kali pertama berada di lapangan terbang yang dikawal rapi oleh ramai anggota tentera bersenjata, timbul perasaan cuak dan ingin segera beredar dari situ.

Mujur, walaupun berlaku sedikit salah faham dan perlu bersoal jawab, perancangan tetap berjalan lancar dan kami terus menaiki kenderaan untuk ke tempat penginapan.

Primadona musim sejuk Kashmir


AKTIVITI bermain papan luncur di Gulmarg.

Tiba harinya, kami memulakan perjalanan untuk ke Gulmarg, untuk ke pergunungan itu, saya dan rakan bertolak jam 8 pagi.

Dalam keadaan cuaca sejuk, kami perlahan-lahan meninggalkan Srinagar.

Gulmarg bererti ‘padang bunga’ adalah primadona Kashmir pada musim sejuk. Letaknya, sekitar 60 kilometer (km) dari Srinagar atau dua jam perjalanan.

Ketika melintasi Srinagar, terpampang papan iklan yang menyamakan bermain ski di Gulmarg seakan di Switzerland.

Lalu, sepanjang jalan saya terus membayangkan keindahan Gulmarg.

Gulmarg terletak di bahagian Jammu dan Kashmir adalah wilayah paling hampir dengan sempadan Pakistan, antara wilayah di India yang sering dilanda konflik.

Melewati kawasan desa, saya disajikan dengan pemandangan serba putih pada rumah, pokok pain dan kawasan ladang yang diselaputi salji. Selepas melewati jalan perkampungan, sampailah di wilayah Gulmarg dan terus ke tempat penyewaan jaket dan but. Kemudian, terus menaiki jip yang sudah ditempah dari awal untuk meneruskan perjalanan ke puncak.

Menyusuri banjaran gunung


SUASANA salji di Gulmarg.

Perjalanan menggunakan jip diteruskan dan ia melewati medan yang makin melampau keadaannya. Kali ini, jalan semakin sukar dan berkelok-kelok menyusuri banjaran gunung.

Angin kuat, salji yang berterusan turun dan jalan tidak berapa elok turut menyebabkan kenderaan merangkak lebih perlahan. Malah, beberapa kali juga jip terpaksa berhenti untuk membetulkan rantai besi tayar bagi memastikan ia dapat mencengkam permukaan licin salji.

Panorama di kanan dan kiri adalah hutan pain yang dasarnya tertutup hamparan salji putih. Tiba sahaja di puncak Gulmarg, semua berebut-rebut mencari tandas. Udara dingin tentu sahaja kerap terasa ingin ke tandas. Tetapi yang tidak tahannya, air untuk buat cebuk pun menjadi beku!

Aktiviti diteruskan dengan menaiki papan luncur yang ditarik orang Kashmir. Terasa gerun juga menaiki papan luncur, terutama apabila bertembung dengan beberapa kenderaan. Bagaimanapun, mereka yang menariknya cekap sekali mengawal keadaan dan keselamatan penumpangnya.

Di kawasan puncak itu ada tempat penyewaan alat ski untuk yang berminat bermain ski. Uniknya, ada juga peniaga menjual air kopi panas dan makanan. Dengan hanya membawa termos dan cawan kertas, peniaga akan mendekati dan memujuk pelanggan, membeli jualannya.

Salji tebal menutupi bumi


KEADAAN kenderaan yang diselaputi salji di Gulmarg.

Ada khidmat jurugambar dan hasil kerja mereka memang memuaskan. Bayarannya murah sahaja dan lebih canggih, gambar diambil dicetak serta-merta di kawasan bersalji itu.

Hampir sejam menghabiskan masa di situ dan disebabkan salji berterusan turun dan tiupan angin semakin kuat, ramai meninggalkan segera tempat itu. Untuk turun pula, perjalanan semakin mencabar kerana litupan salji semakin tebal dan cuaca bertambah sejuk.

Sesekali pemandu terpaksa berhenti untuk membersihkan cermin jip yang diliputi salji. Keadaan pula semakin gelap. Lewat jam 9 malam, akhirnya kami sampai ke Srinagar. Rasa letih, kesejukan dan kelaparan silih berganti tetapi yang pasti, perjalanan seharian itu sememangnya pengalaman cukup menyeronokkan.

Cara ke Gulmarg?

* Gulmarg terletak di bahagian Jammu dan Kashmir, India.

* Penerbangan dari Kuala Lumpur ke New Delhi, kemudian ke Srinagar.

* Untuk ke Gulmarg, boleh menaiki bas atau menyewa kenderaan.

* Lebih mudah percutian ke Gulmarg cari agensi pelancongan di Srinagar.

494 dibaca
Berita Harian X