Selasa, 9 April 2019 | 11:33pm

Terjun bungy umpama menanti hukuman mati

SEBELUM ini penulis hanya berpeluang menonton di laman sesawang YouTube atau program dokumentari di televisyen mengenai aktiviti ekstrem, terjun bungy atau bungee jump dijayakan dalam kalangan pelancong terutama yang mengembara ke destinasi popular sukan berkenaan seperti Zimbabwe, Afrika Selatan, Switzerland, New Zealand dan China.

Terjun lelabah atau bungy jump adalah aktiviti ekstrem yang membabitkan terjunan daripada struktur tinggi, manakala penerjun disambungkan kepada tali elastik besar.

Struktur tinggi lazimnya objek tetap seperti bangunan, jambatan, empangan air atau tebing air terjun.


PERASAAN gemuruh hilang sebaik sahaja anda melompat dari platform. - Foto Aswadi Alias


PENULIS kali pertama melakukan terjun bungy. - Foto Aswadi Alias

Keterujaan melakukan bungy jump dicetuskan daripada terjunan bebas atau free fall selama beberapa saat dan lonjakan semula yang terhasil melalui tali elastik.

Penerjun bungee ‘terbang’ ke atas akibat pengecutan tali dan terus berayun ke semua arah sehingga tenaga kinetik yang tersimpan hilang.

Itu kepuasan bagi mereka yang berani dan bersedia menyahut cabaran melawan ketakutan.

Pengalaman sama boleh dilakukan di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor. Apabila mendongak melihat jambatan gantung tidaklah tinggi mana.

Selepas mengenakan peralatan keselamatan seperti harness atau abah-abah dan memperkemaskan ikatan serta balutan di kaki yang bersambung dengan tali elastik besar, kru membawa penulis ke hujung platform.

Tiba-tiba sahaja apabila melihat ke bawah, berderau darah. Lemah lutut seolah-olah menunggu hukuman mati.

Ketika itu penulis terbayang macam-macam perasaan, inilah saat ketakutan paling maksimum yang pernah penulis lalui sepanjang hidup.

Nasihat kru yang sentiasa berada di belakang penulis, lazimnya apabila pengunjung sudah berada di atas platform, pada kiraan lima, empat, tiga, dua, satu, bungy, peserta harus melakukan terjunan bebas tanpa berlengah.

Sekiranya masih berdiri di hujung platform dan memikirkan pelbagai perkara seperti takut, cemas serta tidak selamat, itu petanda awal ingin tarik diri.

Puas memberi kata semangat, penulis masih belum mampu melakukan terjunan bungee. Tanpa penulis sedari, rupa-rupanya sudah hampir 30 minit penulis tercegat, berdiri kaku di tebing platform. “Abang Zubir, ingat satu nama, orang yang paling abang benci dan terjun jangan fikir apa-apa lagi,” bisik kru.

Akhirnya dengan jeritan memecah keheningan taman tema berkenaan, penulis mampu melakukan bungee jump, sekali gus melawan dan menidakkan ketakutan darjah tertinggi yang ‘bersarang’ di fikiran.

Benar, saat keterujaan bermula sebaik sahaja terjun bebas dan melantun ke atas serta ke bawah sehingga tali elastik itu berhenti, lalu penulis disambut bot penyelamat yang bersedia di tasik.

Dua pengunjung, Nurul Siti Maisara Hashim, dan Norshamila Mat Jusoh, masing-masing berusia 30 tahun, tidak mengambil masa lama melakukan terjunan.


MENCUBA aksi G-Force X di Sunway Extreme Park tampil pengalaman baharu. - Foto Aswadi Alias


AKSI G-Force X dan terjun bungy menguji keberanian individu. - Foto Aswadi Alias

Namun, mereka berpeluang menaiki G-Force X iaitu mesin anti-graviti melantun atau melastik songsang ke belakang selaju 120 kilometer sejam dalam masa dua setengah saat pada ketinggian 65 meter, mengakui ketakutannya tidak dapat menyamai terjun bungy.

Kedua-duanya mengakui seronok menerusi pengalaman kali pertama melakukan terjunan.

Sekiranya diberi kesempatan, mereka ingin melawan ketakutan dengan melakukan terjun bungy di Air Terjun Victoria di Zimbabwe, Jambatan Bloukrans (Afrika Selatan) dan Menara Macau (Macau).

FAKTA NOMBOR

• 230 kilogram - Berat maksimum penerjun bungy

• 21 meter - Ketinggian platform jambatan gantung Sunway Lagoon

• RM101 - Harga seorang pakej kombo bungee jump dan G-Force X (pemegang MyKad)

• 321 meter - Terjun bungy paling tinggi di dunia (Jambatan Royal Gorge, Colorado, Amerika Syarikat)

INFO

• Terjun bungy dilakukan dari atas platform jambatan gantung Sunway Lagoon adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

• Mempunyai tapak tetap dan diusahakan secara komersial

• Terjun bungy atau bungee jump kali pertama dilakukan pada 1 April 1979 dari Jambatan Gantung Clifton.

2362 dibaca
PENGALAMAN mencuba terjun bungy perlu sekali dalam hidup. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X