Isnin, 8 April 2019 | 11:32am
ANTARA porter yang mengambil upah membawa barang-barang keperluan ke Panalaban.

'Wira Kinabalu'

Di sebalik keghairahan pendaki menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah, iaitu antara puncak tertinggi di Asia Tenggara, terselit kisah kepayahan hidup yang terpaksa dilalui ratusan malim gunung atau penunjuk arah atau lebih dikenali sebagai jurupandu, yang sentiasa bersedia memastikan impian setiap pendaki tercapai.

Ketika ini, ada 300 malim gunung dan 50 porter iaitu individu mengambil upah mengangkut barang atau beg, yang berdaftar dengan pengurusan Taman-Taman Sabah.

Perkhidmatan malim gunung diuruskan mengikut sistem giliran dan secara purata, setiap malim gunung hanya membawa pendaki antara dua dan tiga kali sebulan.

Jika jumlah pendaki menurun secara drastik pada bulan tertentu, sudah pasti ia memberi kesan kepada mereka yang sebahagian besarnya bergantung hidup sepenuhnya dengan pendapatan sebagai malim gunung.

Lesen malim gunung


Malim gunung merangkap anggota MOSAR bertanggungjawab membawa turun pendaki yang cedera untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Difahamkan, semua malim gunung kecuali yang berdaftar di bawah ejen seperti Amazing Borneo, tidak bergaji tetap.

Antaranya, Harris Gimbad, 35, yang memiliki lesen sebagai malim gunung sejak empat tahun lalu dan hanya membawa pendaki dua hingga tiga kali sebulan.

Bagi menambah pendapatan, bapa kepada dua cahaya mata berusia tujuh tahun dan sembilan tahun itu, turut melakukan pelbagai pekerjaan sampingan seperti bertani dan membawa Grab sekitar Ranau.

Jejaka berketurunan Dusun itu, yang mula mendaki Gunung Kinabalu sejak usia sembilan tahun turut berkhidmat dengan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR).

“Dalam sebulan, saya pernah tidak bertugas sebagai jurupandu dan hanya mendaki dua kali sebulan sebagai anggota MOSAR disebabkan pendaki terlalu sedikit.

Jadi porter


Harris Gimbad.

“Namun, ada juga malim gunung yang tiada langsung pendapatan tambahan, iaitu hanya bergantung sepenuhnya dengan giliran sebagai jurupandu,” katanya.

Harris ditemui ketika mengiringi kumpulan penulis, yang melakukan pendakian pada 5 dan 6 Mac lalu.

Misi yang mendapat tajaan dan sokongan akhbar BH, BG Capital Holdings Sdn Bhd, Onemyr Awareness Management, Onemyr Holdings Sdn Bhd dan Lekir Ideas & Creative itu, turut disertai tiga wartawan BH.

Perkhidmatan sebagai anggota MOSAR yang dibayar elaun sebanyak RM6 sejam juga dilakukan hanya dua atau tiga kali sebulan. Ini bermakna hanya enam kali dalam sebulan, Harris melakukan pendakian ke puncak.

Bagi menambah pendapatan, malim gunung bersedia menjadi porter membawa barang kumpulan pendaki.

Cuaca sejuk cabar aktiviti porter


ANTARA porter yang mengambil upah membawa barang-barang keperluan ke Panalaban.

Cerita Harris, kesanggupan malim gunung menjadi porter disebabkan beberapa faktor, antaranya masalah penginapan terhad di Laban Rata atau kini dikenali sebagai Panalaban.

“Kebanyakan pendaki hanya memerlukan khidmat porter apabila menyedari semakin jauh jarak pendakian, beg yang dibawa semakin berat,” katanya.

Saat mengharungi cabaran menawan puncak pada suhu -7 darjah Celsius tanpa kelengkapan lengkap, antara pengalaman paling mencabar sepanjang Harris berkhidmat sebagai malim gunung.

Jurupandu, ‘pengawal peribadi’


ANGGOTA MOSAR bertugas tanpa mengira waktu dan keadaan.

Beliau juga pernah terbabit dengan misi menyelamat pendaki seberat 130 kilogram (kg) yang cedera dan terperangkap di laluan Mountain Torq dengan mengusung keluar pendaki berkenaan hingga ke Timpohon Gate.

Pengalaman dan pengetahuan mengenai selok-belok laluan menuju puncak dimiliki Harris banyak membantu pendaki menempuh cabaran sepanjang pendakian, selain kemampuannya berkongsi maklumat mengenai flora dan fauna di Gunung Kinabalu.

Lebih daripada itu, diiringi jurupandu seperti Harris, mampu membuatkan pendaki, khususnya yang kali pertama cuba menawan puncak, berasa selamat, lebih-lebih lagi apabila mereka pantas mengawal keadaan, baik membabitkan emosi pendaki, mahu pun aspek keselamatan dan kesihatan pendaki.

Begitu jugalah perasaan rombongan penulis, yang sebahagian besar adalah pendaki kali pertama. Harris membuatkan penulis dan rakan berasa seronok serta selamat sepanjang pendakian.

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan malim gunung bukan sahaja berperanan sebagai jurupandu tetapi juga ibarat ‘pengawal peribadi’.

Tanpa mereka pendaki pasti kehilangan arah dan yang paling penting, hilang semangat.


OPERASI menyelamat pendaki oleh anggota MOSAR.

INFO

* Gunung Kinabalu puncak tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 4,095.2 meter

* Taman-Taman Sabah uruskan pakej pendakian untuk penginapan di Lemaing Hostel dan Panalaban Hostel

* Lemaing Hostel tampung 25 pendaki

* Panalaban Hostel (hostel baharu) tampung 50 pendaki, namun untuk permulaan hanya dibuka kepada 30 pendaki

Peranan malim gunung:

* Orang yang bekerja membantu pendaki gunung

* Mahir tentang selok-belok kemuncak gunung, lurah, cenuram , gua dan sebagainya.

* Sihat dan cergas untuk mengangkat beg pendaki gunung , tong gas, perkakas perkhemahan , tong air, papan iklan malah membawa turun mangsa kemalangan.

* Mencari sumber rezeki menerusi pelancong

* Biasanya bekerjasama di antara satu sama lain dan berasal dari kampung atau pertalian keluarga


BERSAMA juara Kejohanan Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu 2016 dan 2017, Saffrey Sumping yang mencatatkan rekod pendakian ke puncak bawah dua setengah jam.

900 dibaca
Berita Harian X