Ahad, 7 April 2019 | 10:00am

Wanita leher jinjang bersalut tembaga

MENYEKSA diri untuk kecantikan. Itu yang pernah digambarkan wanita etnik Karen Leher Panjang, iaitu salah suku masyarakat yang menghuni jauh di pedalaman Myanmar.

Dengan melilitkan tembaga pada leher, seolah-olah ia kelihatan cantik tetapi sebenarnya menyakitkan, terutama apabila ia dilakukan sejak usia kanak-kanak.

Pemandu pelancong, Weerapol Chaiyo yang membawa rombongan penulis dan media lain ke Chiang Rai, berhampiran sempadan Thailand, baru-baru ini menjelaskan selain kecantikan, gelung tembaga pada leher wanita Karen adalah sebagai langkah keselamatan.

Beliau difahamkan etnik tinggal jauh di tengah hutan dan terdedah kepada bahaya binatang buas, terutama harimau yang tabiatnya membunuh mangsanya dengan mematah leher.

“Jadi, gelung tembaga itu mampu menyelamatkan leher wanita Karen. Begitu juga pada lengan dan betis bagi mengelakkan kecederaan jika digigit anjing.

“Pada masa sama warna keemasan gelungan tembaga dijadikan barang perhiasan oleh mereka,” katanya kepada kumpulan media yang menyertai FAM Trip AirAsia-Chiang Rai, baru-baru ini.

Weerapol berkata, untuk memasang dan membuka gelung tembaga dilakukan wanita dengan memanaskan terlebih dahulu.

“Sejak gelung tembaga dililit pada leher wanita Karen pada usia kanak-kanak, ia tidak pernah dibuka walaupun sudah berkahwin sehinggalah mengandung dan melahirkan anak.

“Wanita ini bukan sahaja tidak menanggalkannya, sebaliknya akan menambah bilangan gelungan apabila usia meningkat. Wanita dewasa mampu memasang gelungan tembaga seberat 5 hingga 7 kilogram.

“Gelungan tembaga sentiasa di leher ketika melakukan kerja harian seperti mengurus keluarga, memasak, membasuh pakaian, memintal benang kapas, menenun kain, membantu suami menanam padi dan menternak binatang,” katanya.

Beliau berkata, pasti ramai tertanya-tanya bagaimana wanita Karen ini mengurus gelung tembaga pada lehernya dan cara membersihkannya.

“Mereka mandi seperti biasa dan membersihkan segala kekotoran pada gelungan tembaga bagi mengelak dijangkiti kuman. Bahagian dalam pada leher pula mereka menggunakan kayu khas untuk membersihnya,” katanya.

Di perkampungan Union of Hill Tribe, Nanglae, Chiang Rai, pengunjung boleh melihat wanita Karen Leher Panjang begitu kreatif menghasilkan kraf tangan daripada manik, kayu hutan, tembaga, kain kapas dan buluh.

Kebanyakannya dijadikan kain selendang, beg sandang, topi, rantai leher, cincin, rantai kunci kayu dan buluh, pensel, anak patung kayu, kain baju dan jubah.

Tidak terkecuali wanita etnik Akha turut sama seperti wanita Karen menjadikan kreativiti mereka menghasilkan pelbagai produk cenderamata daripada bahan semula jadi.

Tidak mampu bertutur dalam bahasa Thai atau bahasa Inggeris, mereka begitu bersemangat menghampiri pengunjung untuk menjaja produk kraf tangan yang dihasilkan.

Menariknya etnik ini mampu memainkan alat muzik tradisional daripada buluh bagi menyambut kehadiran pengunjung ke Union of Hill Tribe.

Seperti etnik lain, wanita Akha banyak menghabiskan masa di rumah untuk melakukan kerja harian, sementara suami ke ladang.

INFO

Union of Hill Tribe

* Perkampungan pelbagai etnik pedalaman Myanmar di Ban Paoo Nanglae, Chiang Rai,

* Diwujudkan 26 tahun lalu oleh Kerajaan Thailand dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

* Menempatkan 5 etnik, iaitu Akha, Karen Leher Panjang, Kayaw, Lu Mien Yao dan Lahu.

* Kira-kira 200 orang penduduk mewakili lima etnik berkenaan di perkampungan ini.

1118 dibaca
Berita Harian X