Ahad, 17 March 2019 | 10:00am
Taman Rahsia Perlis antara tarikan wajib dikunjungi. - NSTP/Zubir Mohamad Yunus

Rahsia Gua Kelam

SELEPAS berjalan meneroka gua batu kapur yang dilingkari hutan belantara, jauh daripada penempatan, tiba-tiba anda disajikan pemandangan indah sebuah taman bunga yang seolah-olah terpelihara hingga tiada langsung kotoran di persekitarannya.

Jika ada sekalipun hanya daun kering yang berguguran di sekitar taman berkenaan. Ada sesetengah kawasan pula, kelihatan seperti baru disapu.

Tiada renjer mahupun pekerja pembersihan kelihatan sekitar taman di tengah belantara itu.

Penulis terfikir mungkinkah ‘Taman Firdausi’ ini dijaga entiti tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Barangkali halaman itu dihuni makhluk halus atau bunyian.

Tidak berani tegur keganjilan berkenaan, hanya berkata-kata di dalam hati sahaja. Pantang orang tua-tua, jangan tegur.

Namun, selepas mengelilingi ‘Taman Firdausi’, penulis menemui jawapan.

Taman yang indah itu, bukan fantasi, sebaliknya ia memang wujud di tengah belantara.


Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan jalan gua atau cave walk. - NSTP/Zubir Mohamad Yunus

Pada awalnya disangka dihuni bunyian, benar-benar wujud di alam nyata, cuma bukan milik makhluk halus, sebaliknya, destinasi berkenaan adalah taman rekreasi yang diselenggara rapi untuk tujuan tarikan pelancongan.

Itulah keunikan Taman Rahsia Perlis atau Secret Garden of Perlis yang terletak dalam kawasan paling hujung Taman Rekreasi Gua Kelam di Perlis.

Bagi pelancong atau pengembara yang memilih Kangar sebagai destinasi percutian, Gua Kelam adalah produk pelancongan terletak di utara Semenanjung yang wajib dikunjungi disebabkan keunikan dan keindahannya.

Tidak keterlaluan untuk menamakan Gua Kelam antara gua batu kapur tercantik di Malaysia.

Di dalam gua ini terdapat terowong yang panjangnya 370 meter (m) dan terletak berhampiran pekan kecil Kaki Bukit, kira-kira 33 kilometer (km) di utara Kangar, Perlis. Terowong inilah yang menjadi antara tarikan pengunjung untuk meneroka Gua Kelam.

Dinamakan Gua Kelam sempena keadaan dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini.

Kelam mengikut loghat utara bermaksud gelap. Mengikut fakta sejarah pula, nama Gua Kelam diberikan oleh pelombong bijih timah suatu ketika dahulu sempena kegelapan gua itu sendiri.


Keindahan gua batu kapur Gua Kelam terserlah disimbahi lampu neon berwarna hijau. - NSTP/Zubir Mohamad Yunus

Pelombong berkenaan terpaksa menggunakan lampu karbaid untuk menerangi kawasan dalam gua. Hari ini sebagai tarikan pelancongan, Gua Kelam menyediakan laluan interpretasi sepanjang 1.5km meliputi jalan atas simen, tanah dan laluan anak sungai.

Pelancong berpeluang melihat bekas landasan troli bijih timah yang dibina daripada besi dan kayu serta laluan yang disusun menggunakan batu-batuan oleh pelombong bijih timah.

Malahan, pembinaan pintu gerbang oleh tauke lombong bagi menandakan kawasan sempadan konsesi masih dapat dilihat di dalam gua ini.

Ketika meneroka kawasan dalam gua berkenaan, pelbagai binatang seperti kelawar, ular dan labah-labah, sentiasa ‘mengalu-alukan’ kehadiran anda.

Pelawat mungkin juga berpeluang terserempak dengan spesies berkenaan, cuma jangan panik atau menjerit di dalam gua itu kerana boleh mengganggu pengunjung lain.

Gua Kelam antara gua batu kapur Formasi Sentul di Banjaran Nakawan, iaitu terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Wang Mu, bersebelahan Taman Negeri Perlis.


Dinamakan Gua Kelam sempena keadaan dan kedudukannya di kaki bukit, selain suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini. - NSTP/Zubir Mohamad Yunus

Lebih unik, jarak Gua Kelam hanya beberapa kilometer sahaja dengan sempadan Thailand. Sebuah jambatan gantung disediakan untuk merentasinya.

Malah Taman Rekreasi Gua Kelam terkenal dengan jalan gua atau cave walk. Sungai bawah tanah yang panjangnya sekitar 400 meter (m) mengalir melalui banjaran batu kapur dapat dilihat apabila merentasi gua ini.

Bekalan elektrik disediakan untuk pelawat menikmati keindahan di dalam gua.

Anak sungai yang mengalir di bawah jambatan berkenaan mengalir terus ke Sungai Perlis.

Pemandangan terowong yang sesetengahnya diterangi lampu neon berwarna hijau menambah keunikan batu kapur Gua Kelam dan kelihatan seperti butiran mutiara bergemerlapan.


Gua Kelam antara gua batu kapur tercantik di Malaysia. - NSTP/Zubir Mohamad Yunus

FAKTA NOMBOR

• 2,000 hektar - Keluasan Hutan Simpan Wang Mu

• 30 minit - Berjalan kaki dari pintu masuk Gua Kelam

hingga Secret Garden of Perlis

• 29 kilometer - Jarak dari pekan Perlis ke Gua Kelam

• RM1 - Bayaran masuk seorang dewasa

Info

• Gua Kelam dahulunya terkenal dengan aktiviti perlombongan bijih timah yang menghasilkan bijih bermutu tinggi

• Gua ini pernah menjadi jalan penghubung penduduk Wang Kelian (kawasan sempadan Malaysia-Thailand, berhampiran bandar Satun, Thailand) dengan pekan Kaki Bukit

• Bekas EXCO kerajaan negeri Perlis, Datuk Loh Ah Tong membina sebuah jambatan gantung dengan perbelanjaan RM15,000 untuk menaik taraf Gua Kelam sebagai destinasi pelancongan popular

• Mulai April 2009, kerajaan Perlis membuat keputusan, segala kerja mengurus, membangun dan penyelenggaraan Gua Kelam diselia Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menjadikannya taman rekreasi.

695 dibaca
Berita Harian X