Ahad, 24 Februari 2019 | 10:05am
Gugusan 99 buah pulau sekitar Langkawi menjanjikan panorama menakjubkan daripada jendela helikopter. - NSTP/Zubir Mohd Yunus dan Ihsan Ali Holidays

Pesona Pulau Langkawi dari udara

LAZIMNYA apabila berpeluang ke Pulau Langkawi, Kedah, pelancong rata-ratanya menyewa kereta atau motosikal untuk meneroka pulau lagenda itu.

Mengelilingi pulau dengan cara itu memakan sekitar beberapa hari baru terasa puas dan berbaloi ‘pusing’ semua lokasi bagi menikmati pemandangan memukau.

Namun, bagi pelancong yang berkemampuan, terutama dari Asia Barat, China dan Korea Selatan, mereka kini beralih kepada produk pelancongan baharu berstatus mewah iaitu mengelilingi Langkawi menaiki helikopter peribadi.

Ini sekali gus mereka dapat meninjau pesona Pulau Mahsuri dari ketinggian melebihi 600 meter (m), begitu menakjubkan pemandangannya.

Langkawi terdiri daripada gugusan 99 buah pulau kecil dan besar, manakala Langkawi sahaja mempunyai keluasan sehingga 478.48 kilometer persegi (km) menyajikan puluhan destinasi terkenal atau produk pelancongan popular.

Namun, apabila memilih perkhidmatan helikopter, pelancong berpeluang meninjau semua pulau dan tarikannya dalam tempoh 60 minit sahaja.


Pulau Dayang Bunting adalah kejadian yang sangat luar biasa. - NSTP/Zubir Mohd Yunus dan ihsan Ali Holidays

Berikutan itu, Helioutpost Malaysia menyediakan perkhidmatan dikenali Langkawi Helicopter Tours bagi pelancong mengelilingi Langkawi termasuk 99 gugusan pulau berkenaan sambil menaiki helikopter yang dikelaskan sebagai pesawat sayap putar, sekali gus menjanjikan pemandangan luar biasa daripada sudut 360 darjah.

Pengendalian helikopter kompleks berbanding pesawat kepak kaku, jadi tidak hairan mengapa kos penyelenggaraan dan operasinya tinggi.

Helikopter mempunyai kelajuan rendah berbanding pesawat komersial, manakala jarak penerbangannya lebih dekat, sangat sesuai bagi tujuan pelancongan dan merakamkan foto daripada pelbagai sudut tidak terjangkau oleh pesawat biasa.

Daya angkatan juga terhad apabila helikopter dikendalikan Helioutpost ini hanya memuatkan empat orang sahaja dalam satu-satu masa termasuk juruterbangnya.

Namun, pasti ramai beranggapan, sewa helikopter peribadi ini sangat mahal.

Bagi pelancong berkemampuan yang mencari keseronokan dan kepuasan berlipat kali ganda, wang bukan lagi masalah besar.

Rata-rata pelawat yang memilih pakej 99 Magical Islands adalah pelancong dari Asia Barat apabila harga dikenakan bagi seorang ialah RM3,498 bagi tempoh penerbangan selama 60 minit dengan jarak penerbangan mengelilingi gugusan kepulauan Langkawi sejauh 120 km.


Kapten Matthew dan penulis.

Telaga Harbour Park & Marina tampil keindahan memukau. - NSTP/Zubir Mohd Yunus dan ihsan Ali Holidays

Pelancong berpeluang menikmati pesona keindahan Tasik Dayang Bunting yang mempunyai kolam tadahan air tawar dikelilingi air laut masin, sangat luar biasa kejadiannya, selain menampilkan mitos tersendiri.

Menyaksikan Pulau Dayang Bunting dari udara, anda berpeluang melihat dua warna air yang berbeza iaitu laut biru, manakala air Tasik Dayang Bunting pula hijau. Begitu menakjubkan.

Penulis pula memilih pakej Datai Bay Helijoride yang ditemani juruterbang, Kapten Matthew Bryant apabila beliau terbang betul-betul bersebelahan Gunung Mat Cincang yang menyediakan perkhidmatan kereta kabel, sekali gus menyajikan pemandangan mempesona yang tidak pernah penulis alami selama ini dengan hanya menaiki kereta kabel menuju ke puncak gunung berkenaan.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong memilih perkhidmatan helikopter mengelilingi Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan AirAsia Berhad menjalin bekerjasama membawa pengunjung bertandang ke Langkawi bagi menikmati pesona serta keindahannya yang luar biasa, sekali gus terus memahat nama Pulau Mahsuri itu di peta pelancongan dunia.

Pegawai Khas kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LADA, Nor Azman Yussuf, menjelaskan bagi memastikan perkhidmatan helikopter di Langkawi terus mendapat sambutan dalam kalangan pelancong asing.

Pihaknya akan sentiasa mempromosikan produk berkenaan untuk pasaran dalam mahupun luar negara.


Perkhidmatan kereta kabel merentasi Gunung Mat Cincang. - NSTP/Zubir Mohd Yunus dan ihsan Ali Holidays

FAKTA NOMBOR

• RM1,498 harga seorang (pakej Dayang Bunting Heliexperience)

• 45 kilometer jarak penerbangan

• 20 minit masa penerbangan

• 606 meter ketinggian helikopter dari paras laut


Mengelilingi Pulau Mahsuri menaiki helikopter saji pemandangan serba indah. - NSTP/Zubir Mohd Yunus dan Ihsan Ali Holidays

INFO

• Perkhidmatan Langkawi Helicopter Tours menyediakan beberapa pakej premium.

• Paling digemari ialah Dayang Bunting Heliexperience, Datai Bay Helijoyride dan 99 Magical Islands

• Pakej bajet paling popular dalam kalangan pelancong domestik ialah Cenang Helijoyride iaitu RM398 seorang (enam minit penerbangan)

• Langkawi Helicopter Tours diuruskan oleh Helioutpost Malaysia

• Landasan helikopter atau pusat helipad terletak di Jalan Pantai Cenang, Mukim Kedawang, Langkawi

• LADA dan Naturally Langkawi bertanggungjawab mempromosikan perkhidmatan helikopter.

702 dibaca
Berita Harian X