Ahad, 10 Februari 2019 | 10:02am
→ Melintasi gaung, lokasi paling berbahaya di dunia beri pengalaman menakjubkan.

Rentasi jalan paling berbahaya di dunia

KEPELBAGAIAN topografi dan keunikan alam semula jadi, menjadikan India antara negara yang kaya dengan peninggalan sejarah, budaya serta rekaan seni bina bangunan yang menarik.

Banyak kawasan bentuk muka buminya dihiasi panorama menakjubkan, menenangkan dan memukau pandangan, lantas tidak hairan republik itu antara negara yang perlu ada dalam senarai pelancong ‘backpackers’.

Keunikan itu menjadikan pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta, Nur Hafeza Rahmat, 37, bersama beberapa rakannya mengambil keputusan memilih India untuk dijelajahi.

Dalam tempoh dua minggu itu mereka melalui pelbagai pengalaman indah yang bercampur-baur tidak kurang turut menggerunkan.

Memori manis yang kekal dalam ingatan mereka apabila dapat menjelajah beberapa destinasi tarikan pelancong yang paling ditunggu-tunggu oleh semua pelancong, antaranya Taj Mahal di Agra, Kashmir dan Ladakh.

Berpeluang berkunjung ketika musim panas baru-baru ini ternyata amat mengujakan apabila mengikuti pengembaraan jalan darat dari Srinagar ke Leh Ladakh.

Pengembaraan menaiki minivan merentasi beberapa lokasi bermula dari Sonamarg, Zoji La Pass, Drass, Kargil, Mulbek, Lamayuru sebelum berakhir di Leh Ladakh.

“Misi pengembaraan ini berkonsep ‘backpacking’ dan pengalaman pertama meredah lokasi yang dianggap eksrem,” katanya.

Lokasi paling menggerunkan adalah ketika merentasi Zojila Pass iaitu antara jalan yang dianggap paling berbahaya di dunia.

“Sepanjang perjalanan kami melalui lereng gunung berbatu yang tidak bertar manakala pagar sebagai penghadang di jalan itu sempit

“Amat menggerunkan perasaan kerana kami dapat melihat dengan jelas kawasan bergaung. Minivan yang kami naiki terpaksa berhenti setiap kali bertembung dengan kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Lebih menakutkan apabila ada lori besar di depan. Saya tidak dapat bayangkan, minivan kami hanya beberapa sentimeter sahaja dari gaung,” katanya.

Pengalaman di kawasan terbabit menjadikan beliau pada awalnya teragak-agak untuk mengikuti penerokaan di lokasi itu.

Namun, selepas dipujuk dan cuba menguatkan semangat, beliau akhirnya memberanikan diri dan ternyata pengalaman itu sungguh berharga dan tidak mungkin dilupakan.

Mereka melahirkan kekaguman ketika sampai ke Pahalgam kerana panorama bukit dan gunung-ganang menghijau dengan berlatarbelakangkan langit biru.

Menariknya, beliau bersama rakan terpaksa menunggang kuda menuju ke puncak bukit sambil merentasi jalan berbatu curam.

“Ini pengalaman ‘hardcore’ menunggang kuda di laluan berliku dengan bayaran 1,000 rupee (RM60 ) untuk tiga perhentian.

“Dua jam berada di situ kami merakamkan pemandangan menakjubkan yang terbentang luas di depan mata.

“Di perhentian ini kami tidak mengambil masa lama kerana mahu meneruskan perjalanan yang jauh,” katanya.

Pengalaman paling menarik Nohafizah adalah ketika merentasi jalan raya bermotor tertinggi di dunia, iaitu di Khardung La Pass yang mempunyai ketinggian 5,602 meter dari paras laut.

Memang fokus utama beliau dan rakannya adalah untuk meredah kawasan berkenaan.

“Saya diberitahu tidak kira sama ada penunggang motosikal ataupun kereta, mereka dinasihatkan supaya tidak berada di puncak Khardung La Pass melebihi 30 minit kerana bimbang terkena serangan penyakit ‘mabuk gunung akut’ (Accute Mountain Sickness) atau AMS.

“Saya sempat singgah di sini. Saya dapat menikmati salji turun manakala pemandangan di sekitarnya amat cantik. Kami tidak dapat lama di sini kerana tidak membawa pakaian sejuk untuk suhu bersalji,” katanya.

Beliau dimaklumkan di Khardung La Pass, semua pengunjung perlu berwaspada untuk mengelak serangan AMS yang boleh menyebabkan hidung berdarah akibat kekurangan oksigen.

“Semakin tinggi altitud yang dikunjungi, semakin kurang oksigen di dalam udara. Biasanya ia terjadi pada altitud 1,180 meter dan ke atas. Jadi, ada beberapa panduan harus diikuti dan dipatuhi bagi mengelak terkena serangan AMS,” katanya.

Penerokaan mereka beralih ke Tasik Pangong dengan keluasan tujuh kilometer (km) dan panjang 34 km. Ia terletak di pergunungan tinggi iaitu 14,270 kaki dari aras laut.

Katanya, tasik ini terbahagi kepada dua sempadan China dan India, iaitu 60 peratus milik China manakala 40 peratus dimiliki India.

“Ia adalah tasik air masin dan tiada pengaliran air keluar. Ketika musim sejuk air di Tasik Pangong ini beku sepenuhnya.

“Saya tak sangka dapat ke sini yang menjadi lokasi banyak filem antarabangsa termasuk The Three Idiots,” katanya.

2407 dibaca
Berita Harian X