Ahad, 3 Februari 2019 | 1:23pm

Keletah si monyet tarik pelancong Sungai Kilim-Tanjung Rhu

Riuh rendah kedengaran suara bertempik di sebalik rimbunan pokok bogak di jajaran terusan Sungai Kilim-Tanjung Rhu, di Pulau Langkawi, Kedah apabila seekor monyet tiba-tiba melompat masuk ke dalam bot dinaiki pelancong.

Ada seolah-olah mahu melompat keluar dari bot dan terjun ke sungai akibat terkejut. Tidak kurang juga hanya mampu terpaku atau terkinja-kinja menjerit melihat monyet berlegar di dalam bot.

Senario takut dalam seronok itu antara perkara biasa di laluan sepanjang terusan Sungai Kilim-Tanjung Rhu, menjadi sebahagian daripada Taman Geoforest Karst Kilim, dengan keluasan keseluruhan kira-kira 100 kilometer (km) persegi.

Umum sedia maklum keunikan Kilim khususnya tarikan ‘mangrove’ atau jelajah hutan bakau menyajikan kepelbagaian flora dan fauna, namun keunikan habitat monyet memberi kepuasan sebenar selain beberapa aktiviti lain yang sedia menggamit pengunjung.

Monyet berebut kutip makanan

Habitat dihuni ribuan monyet itu terletak di sepanjang terusan berkenaan yang boleh dikunjungi dengan mudah menggunakan bot pelancong dengan kadar sewa tertentu, khususnya dari jeti Tanjung Rhu.

Apa yang menarik, sepanjang menyusuri laluan terusan Sungai Kilim-Tanjung Rhu itu, segerombolan monyet kelihatan berhimpun di tebing sungai dan di atas rimbunan pokok bogak, seolah-olah menunggu ketibaan bot.

Pelancong sedia maklum dengan senario itu membuatkan pelancong khususnya yang mengunjung lokasi popular itu cukup teruja, malah ada yang membaling makanan dibawa ke arah tebing sungai sebelum monyet terbabit berebut-rebut mengutipnya.

Senario interaksi antara pelancong dengan monyet itu suatu yang cukup unik. Ada juga monyet mempamerkan skil berenang untuk menarik perhatian pengunjung, memberi nilai tambah kepada keunikan komersial flora dan fauna di Sungai Kilim.

Habitat sudah lama wujud

Habitat monyet di Sungai Kilim dikatakan wujud sejak sekian lama iaitu ketika laluan sungai dibuka kira-kira 10 hingga 15 tahun lalu, dengan jumlah monyet di sepanjang kiri dan kanan sungai ketika ini diakui mencecah ribuan ekor.

Sejak laluan dibuka kepada pelancong, monyet yang menghuni pokok Bogak atau ‘cycas clivicola’ yang wujud di kawasan itu sejak 200 juta tahun lalu, semakin jinak selepas sering diberi makan.

Sungai Kilim menjadi sebahagian daripada Taman Geoforest Karst Kilim yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Keunikan lokasi ini kerana kewujudan tujuh hutan simpan termasuk hutan bakau, dengan batuan di taman ini dibentuk batu kapur berusia antara 490 hingga 350 juta tahun.

Pelbagai pakej untuk pelancong

Selain habitat monyet, Sungai Kilim turut terkenal menyajikan pelbagai tarikan lain termasuk beberapa geotapak yang sangat bernilai warisan tinggi dan menarik untuk diterokai.

Antaranya Gua Kelawar, Gua Langsir, Pulau Anak Tikus, Teluk Cina Mati, Tasik Langgun, Teluk Mempelam, Gua Langsir, Gua Cherita, Gua Dedap dan kawasan Tanjung Rhu.

Pelbagai pakej disediakan kepada pelancong mengikut kesesuaian bajet antara RM200 hingga RM500. Ia ditentukan berpandukan kepada jenis bot dan jumlah lokasi tarikan yang akan dikunjungi .

Potensi jadi tarikan

Untuk pakej normal contohnya antara RM200 hingga RM250, bot membawa pelancong biasanya melalui habitat monyet, Gua Kelawar, Fish Farm serta lokasi memberi makan helang dan Laut Andaman.

Dianggar setiap tahun antara 500,000 hingga 600,000 pelancong mengunjungi Sungai Kilim menggunakan lebih 200 bot yang beroperasi di dua jeti iaitu di Tanjung Rhu dan Kilim.

Mengambil kira potensi tarikan itu, wajar sekali keunikan flora dan fauna Sungai Kilim terus dipelihara kerana ramai pelancong mengakui tidak pernah melihat secara terus monyet bergayut, malah seronok apabila ada yang melompat masuk ke dalam bot.

INFO: Taman Geoforest Karst Kilim

• Lebih 200 bot pelancong beroperasi di Kilim dan Tanjung Rhu

• 500,000 hingga 600,000 - anggaran jumlah pelancong berkunjung ke Kilim setahun

• Pelbagai spesis helang terdapat di Langkawi termasuk Brahminy Kite

• Dibentuk tujuh hutan simpan

- Hutan Simpan Pulau Langgun

- Hutan Simpan Kuala Kisap

- Hutan Simpan Tanjung Dagu

- Hutan Simpan Gua Cherita

- Hutan Simpan Ayer Hangat

- Hutan Simpan Selat Panchur

- Hutan Simpan Pulau Timun

• 77 daripada 114 spesis bakau di dunia terdapat di Langkawi

Fakta:

• Sungai Kilim sebahagian daripada Taman Geoforest Karst Kilim, menyimpan 1,001 tarikan flora dan fauna. Di sebalik kedamaiannya tersembunyi habitat ribuan kera yang menghuni kawasan itu sejak lebih sedekad, menjadi ‘buruan’ 500,000 hingga 600,000 pelancong yang mengunjungi Kilim saban tahun.

• Peluang interaksi pelancong bersama monyet liar jadi tarikan

• Lebih 200 bot sedia membawa pelancong menyelami tarikan Kilim

• Habitat monyet sebahagian daripada tarikan ‘mangrove’

• Tarikan lain sedia diterokai termasuk beberapa geotapak yang sangat bernilai warisan tinggi

658 dibaca
Berita Harian X