Ahad, 6 Januari 2019 | 2:14pm
Masak ayam di dalam buluh antara demontrasi ikhtiar hidup yang ditunjukkan kepada pengunjung yang melawat Hutan Simpan Pasoh. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap
Peserta bergambar di puncak Bukit Batu Dinding yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Pasoh. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Hutan Simpan Pasoh gamit penggemar aktiviti lasak

JELEBU: Hutan Simpan Pasoh di sini, semakin menjadi pilihan orang ramai mengadakan aktiviti lasak seperti mendaki bukit dan menjelajah gugusan gua batu kapur paling selatan di Malaysia.

Pengurus Azlini Team Building & Outdoor Adventure (ATOA), Norazlini Mohd Ali, berkata pihaknya diberi kelulusan oleh Jabatan Perhutanan negeri bagi menguruskan aktiviti rekreasi di kawasan seluas 30 hektar di dalam Hutan Simpan Pasoh.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik seperti penerokaan gua, mendaki bukit, memanah, perkhemahan, ikhtiar hidup dan melihat matahari terbenam boleh dilakukan orang ramai.


Peserta dalam perjalanan menuju puncak Bukit Batu Dinding yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Pasoh. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Peserta dalam perjalanan menuju puncak Bukit Batu Dinding yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Pasoh. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

“Hutan simpan ini bersebelahan dengan ladang sawit dan mengambil masa kira-kira 15 minit menggunakan motosikal atau 30 minit dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Katanya, Jabatan Perhutanan mengenakan bayaran RM5 ke atas individu sebagai permit masuk ke Hutan Simpan Pasoh, manakala pakej aktiviti yang dikendalikan ATOA bermula RM15 hingga RM120 bergantung kepada jenis aktiviti dan penginapan.

Seorang penggemar aktiviti lasak, Norashikin Abd Rahman dari Muar, Johor berkata dia mengetahui Hutan Simpan Pasoh daripada beberapa rakannya yang pernah melakukan aktiviti di sini.

Katanya, kali pertama ke hutan simpan berkenaan dia berpeluang menjelajah Gua Pelangi yang menjadi lokasi kajian arkeologi yang menemukan bukti kehidupan manusia 14,000 tahun lalu.


Pengunjung melawat Gua Pelangi yang terdapat di Hutan Simpan Pasoh. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

Pengunjung melawat Gua Pelangi yang terdapat di Hutan Simpan Pasoh. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

“Memang tidak sangka, daerah Jelebu antara lokasi penempatan awal manusia zaman pra sejarah yang tinggal di dalam gua dan tidak hairan lokasi ini menjadi pilihan pengunjung dalam dan luar negeri,” katanya.

Norashikin berkata, terdapat lebih lima gua batu kapur selain Bukit Batu Dinding setinggi 433 meter yang menjadi lokasi terbaik bagi aktiviti memanjat.

Katanya, selain itu, orang ramai juga berpeluang mempelajari ilmu ikhtiar hidup daripada operator yang diberi kelulusan oleh kerajaan menguruskan kawasan pelancongan di dalam hutan simpan berkenaan.

Aktiviti di Hutan Simpan Pasoh juga sesuai untuk kanak-kanak dan ini dibuktikan Nur Damia Amani Khairizal, 5, dari Simpang Durian yang seronok berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti bersama ibu dan tiga adik beradiknya.

Katanya, selain mendaki bukit, dia juga berpeluang mempelajari cara menghidupkan api menggunakan batu, buluh dan rotan.

“Mungkin suatu hari nanti saya akan menggunakan ilmu menghidupkan api tanpa menggunakan pemetik api atau mancis ketika berada di dalam hutan,” katanya yang menggemari aktiviti alam sekitar.

795 dibaca
Berita Harian X