Ahad, 6 Januari 2019 | 12:44pm
Kunjungan taman tema di Shanghai menjanjikan keriangan.

Shanghai kota moden penuh sejarah, sajian halal mudah didapati

hid_mohd@mediaprima.com.my

Segelintir pelancong yang pernah berdepan pengalaman sukar buruk ketika mengembara ke sesebuah negara, mungkin jarang sekali atau berminat kembali melancong ke negara berkenaan melainkan atas urusan kerja.

Namun, tidak bagi seorang guru, Mohd Sharom Mohd Shariff yang kembali menjejakkan kaki bersama keluarganya ke Shanghai, China, baru-baru ini selepas berkunjung ke Beijing, tahun lalu.

Mengakui Shanghai antara destinasi percutian menarik dan indah sepanjang musim sejuk, Mohd Shahrom bersama isteri serta dua anak lelaki mereka teruja berkunjung semula ke bandaraya terbesar China itu yang juga Hub Pusat Kewangan Antarabangsa.

“Percutian kami sudah lama dirancang. Penerbangan hanya mengambil masa kurang lima jam untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong. Sebaik tiba, suhu lebih kurang tujuh darjah celsius membuatkan sejuknya terasa hingga ke tulang.

“Mujurlah sudah membuat persiapan awal dan membawa pakaian bersesuaian. Jadi, semuanya berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menceritakan pengalaman enam hari di Shanghai, Mohd Shahrom sekeluarga menginap di Seventh Heaven Hotel. Kawasan penginapan terletak di Nanjing Road itu meriah seakan Bukit Bintang, Kuala Lumpur kerana terdapat banyak butik serta gedung beli belah jenama di sekitarnya.

Solat di masjid tertua

Beliau yang menetap di Bukit Baru, Melaka berkata, sepanjang percutian itu, mereka sekeluarga sempat melawat beberapa destinasi menarik sekitar Shanghai antaranya China Pavilion, Shanghai Old Street, Zhujiajiao Ancient Water Town dan Yu Garden atau Yuyuan Garden.

Lokasi pertama dikunjungi Masjid Xiao Taoyuan, iaitu masjid tertua di Shanghai. Mengagumi hasil seni bina Islam yang dibina pada 1917 itu, mereka sempat menunaikan solat.

Meneruskan perjalanan, Mohd Shahrom sekeluarga kemudian berkunjung ke China Pavilion. Destinasi itu membuka mata kerana reka bentuk bangunannya unik malah pengunjung berpeluang menyaksikan pameran lukisan tradisional yang dipersembahkan dalam bentuk 3D bergerak yang menakjubkan.


Suasana malam, kilauan lampu neon di The Bund

“Lewat petang, kami dibawa bersiar ke Shanghai Old Street iaitu lokasi bangunan lama menempatkan puluhan kedai cenderamata. Menghidupkan suasana indah, bangunan itu diperindahkan lagi dengan sinaran cahaya lampu hiasan menjelang malam.

“Teruja menyaksikan keunikan di kota Shanghai, kami berjalan kaki dari hotel menuju ke The Bund iaitu satu lagi tempat wajib dikunjungi pelancong. Seakan ‘Water Front’, berpeluang menyaksikan kehebatan pemandangan yang terdapat di kawasan seberang Sungai Huangpu.

“Tersergam indah skyline futuristic iaitu bangunan pencakar langit termasuklah Oriental Pearl TV Tower, Shanghai World Financial Center dan banyak lagi yang begitu mengagumkan kami,” katanya.

Mohd Shahrom berkata, keesokan harinya mereka sekeluarga menuju ke Zhujiajiao Ancient Water Town yang mengambil masa sekitar sejam dari pusat bandar. Menariknya, bangunan lama yang terletak di tepi sungai itu menempatkan ratusan peniaga dan pengusaha kraftangan daripada kulit lembu, tanduk kerbau, anyaman tumbuhan dan kayu kayan.

Taman tema pelengkap lawatan

Kunjungan Mohd Shahrom sekeluarga ke Shanghai tidak sempurna tanpa menjejakkan kaki ke taman tema hiburan terkemuka, Disneyland Shanghai.

Katanya, dibuka pada Jun 2016, taman tema dengan keluasan sehingga 6,340 kilometer persegi itu dibahagi kepada tujuh bahagian permainan bertema antaranya menempatkan Fantasi Land, Tomorrow Land, Toy Story Land, malah terdapat Enchanted Storybook Castle di tengah-tengahnya.

Mohd Shahrom berkata, sesi bebas pada hari keempat dimanfaatkan dengan menghabiskan masa di kawasan Nanjing Road sebelum singgah ke Yu Garden atau Yuyuan Garden yang terletak di sebelah City God Temple.


Seni bina unik bangunan di Shanghai tumpuan pelancong.

Beliau berkata, Yuyuan Garden dibina pada 1559 ketika zaman Dinasti Ming oleh Pan Yunduan. Tempat ini menyimpan banyak sejarah di sebalik pembinaannya malah taman itu pernah dirosakkan ketika zaman pendudukan Jepun.

“Bagaimanapun dibaiki semula dan dibuka kepada orang awam sekitar 1961, sebelum diisytiharkan sebagai mercu tanda nasional pada 1982. Kini ia menjadi destinasi wajib dikunjungi pelancong.

“Selain itu, ketika meniti Jambatan Nanpu yang amat besar untuk merentasi Sungai Huangpu, saya dapat rasakan kerdilnya jambatan di negeri kelahiran saya di Melaka,” katanya.

Mohd Shahrom berkata, percutian agak meletihkan namun amat gembira yang pastinya menjadi kenangan mereka sekeluarga.

Panduan melancong ke China

* Beli tiket penerbangan seawal 10 bulan sebelum berlepas untuk tawaran harga istimewa

* Periksa suhu destinasi bagi persiapan awal pakaian yang sesuai

* Lakukan pencarian lokasi yang hendak di kunjungi dan rancang perjalanan dengan rapi

* Dapatkan bantuan pemandu pelancong

* Muat turun aplikasi Voice Translate bagi melancarkan komunikasi dua hala dengan penduduk

126 dibaca
Berita Harian X