Khamis, 3 Januari 2019 | 6:05pm
MENUNGGANG skuter elektrik di batas padi yang menampilkan pemandangan memukau. - NSTP/Eizairi Shamsudin
KEINDAHAN di Taman Kaktus.

Naik skuter dalam hutan

PERJALANAN menikmati keindahan alam sekitar membabitkan kawasan hutan simpan yang luas, kini lebih mudah dan selesa apabila menggunakan skuter elektrik, asal sahaja laluannya dilengkapi trek sama ada off road mahupun jalan tar bagi menjimatkan masa dan tenaga.

Bagi pengunjung menggemari percutian lasak berkonsepkan pengembaraan, skuter elektrik atau lebih dikenali Velocifero menjadi pilihan pelancong apabila bertandang ke Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) yang meliputi Hutan Simpan Bukit Cerakah Tambahan, seluas 817 hektar terletak di Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam, Selangor.

TBNSA bukan sekadar hutan simpan, sebaliknya menawarkan pelbagai tarikan mampu menggamit pengunjung beriadah. Antaranya Rumah Iklim Sederhana Empat Musim, Laman Padi, Taman Haiwan, Jambatan Gantung, Kampung Idaman, Perkampungan Budaya, Empangan Sungai Baharu, Taman Kaktus, Ladang Buah-Buahan Tropika, Skytrex Adventure Park dan banyak lagi.

Bagi penulis, TBNSA ibarat ‘gudang ilmu’ apabila banyak memaparkan keunikan budaya masyarakat Melayu yang semakin ditelan zaman.

Misalnya Perkampungan Budaya menampilkan enam rumah bangsawan iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.


MEMBAWA Velocifero hingga ke kandang kuda. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Rumah berkenaan dibina mengikut tradisi bangsawan Melayu dan diiktiraf Perbadanan Muzium kerana keunikannya.

Terokai seluruh kawasan

Begitu juga Laman Padi dianggap nilai tambah terdapat dalam kawasan hutan simpan berkenaan. Mungkin ramai antara kita yang terpinga-pinga apabila melihat kehijauan sawah padi ibarat saujana mana memandang yang terletak di pinggir kota raya Kuala Lumpur itu.

Tidak perlu berkunjung ke kawasan kampung untuk melihat keindahan sawah padi, anda cuma perlu bertandang ke Shah Alam sahaja.

Kedudukan Perkampungan Budaya dan Laman Padi lebih satu kilometer. Sekiranya berjalan kaki, menaiki dan menuruni laluan tar bercerun, pasti keletihan dan membuatkan anda tiada semangat lagi.

Justeru, menaiki trem mahupun berbasikal mengelilingi hutan simpan berkenaan adalah pilihan terbaik, namun paling berbaloi apabila anda menaiki produk pelancongan baharu, Velocifero.


AKTIVITI disediakan di Skytrex Adventure Park.

Ia memberi peluang pengunjung menerokai kawasan riadah itu bagi tempoh kurang 60 minit dalam kawasan hutan rizab melarang pengunjung berkereta atau menunggang motosikal persendirian.

Kali pertama menunggang skuter elektrik mengelilingi TBNSA baru-baru ini, penulis memilih pakej EV Tour @ TBNSA-full ride tour apabila sempat berkunjung hampir di semua destinasi popular dalam taman berkenaan tanpa sebarang rungutan gara-gara keletihan.

Sebaliknya ia memberi pengalaman amat menyeronokkan kerana kurang sejam, seluruh kawasan hutan rizab itu sudah diterokai.

Keindahan bendang yang menghijau ketika melewati Laman Padi menampilkan pemandangan memukau.

Skuter elektrik tidak berdepan sebarang masalah apabila menunggangnya di kawasan batas padi kerana ia tahan lasak dan mampu menempuh sebarang bentuk permukaan.

Destinasi seterusnya ialah Taman Haiwan menempatkan pelbagai spesies hidupan liar dan hampir pupus.

Velocifero membawa hingga ke kandang kuda terletak di kawasan tebing taman itu.

Pengunjung teruja membelai kuda liar apabila skuter elektrik sentiasa di sisi mereka. Tiada masalah untuk sebarang bentuk muka bumi.

Penuhi cita rasa

Pengunjung dan peminat Velocifero, Mira Edora Ab Malek, berkata beliau menunggang skuter elektrik sebagai aktiviti riadah dan santai kerana banyak destinasi dalam TBNSA dilawati walaupun jaraknya agak jauh antara satu sama lain.

Sebelum skuter elektrik ke pasaran Malaysia, beliau memilih perkhidmatan trem untuk menerokai TBNSA.

Namun, tidak memenuhi cita rasa kerana tidak berhenti di destinasi pilihan, sebaliknya meneruskan perjalanan hingga ke perhentian akhir.

Sebaliknya dengan Velocifero, beliau boleh berhenti sesuka hati dan berswafoto di mana sahaja destinasi kegemarannya.

“Saya pernah melihat orang menunggang Velocifero dalam taman perumahan untuk ke destinasi berdekatan seperti kedai runcit, surau mahupun mengambil anak dari kelas tambahan. Justeru, kegunaan skuter elektrik bukan sekadar riadah semata-mata, sebaliknya memudahkan aktiviti harian.

“Kemudahan pengangkutan yang sangat praktikal, mesra alam, tidak menggunakan bahan bakar membebaskan karbon tidak sihat kepada manusia dan alam semula jadi. Sebaliknya Velocifero menggunakan kuasa bateri lithium-ion untuk bergerak,” katanya.

1139 dibaca
Berita Harian X