Khamis, 3 Januari 2019 | 2:02pm
Kelengkapan memasak sebahagian daripada peralatan perlu dibawa ketika melancong.
Mengabadikan kenangan bersama keluarga ketika berkunjung ke Gold Coast Australia.

Perkakasan memasak pelengkap percutian bersama keluarga

Berpeluang mengembara bersama keluarga amat diimpikan semua, tidak kira dalam negara mahupun luar negara.

Percutian keluarga juga pastinya menjanjikan pengalaman bermakna jika semua ahlinya melakukan semua urusan bersama-sama.

Selain memilih destinasi pilihan, pastinya perkara utama diberi perhatian khusus iaitu kos perbelanjaan yang besar perlu ditanggung.

Sudah tentu apabila perancangan percutian ke luar negara memerlukan kos yang tinggi sekiranya mempunyai keluarga yang ramai.

Berkongsi pengalaman, suri rumah Norassikin Bustamam, 46, mempunyai enam cahaya mata hasil perkahwinan dengan pelakon senior, Zaharuddin Abdul Wahab atau nama seninya, Den Wahab, berkata mereka selesa memasak ketika mengembara.

Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melancong atau bercuti bersama keluarga sudah menjadi rutin keluarganya yang dilakukan beberapa kali setahun kerana tidak berpeluang dilakukan ketika anak-anak masih kecil.

“Sejak anak-anak mampu berdikari dan bertanggungjawab antara satu sama lain, peluang membawa mereka bercuti keluar negara akhirnya dilaksanakan.

“Ketika mereka masih kecil memang bercuti dalam negara itu tidaklah begitu merisaukan memandangkan dalam negara sendiri. Jika kami ke luar negara sekali pun hanya berdua dan anak-anak tinggal bersama pengasuh di rumah

“Kami mula bercuti sekeluarga ke luar negara sejak empat tahun lepas bersama enam anak ke Gold Coast, Australia. Masa itu anak pertama hingga ketiga masing-masing sudah besar dan boleh membantu menjaga adik-adiknya membuatkan kami lebih yakin,” katanya.

Menurutnya, meskipun terpaksa memperuntukkan belanja yang tinggi terutama membabitkan kos penerbangan dan penginapan, namun bajet untuk makanan sepanjang berada di negara orang terpaksa dihadkan.

“Bila melancong ke luar negara, makanan sangat saya titik beratkan, selain dapat berjimat, kita tidak perlu risau dengan status halal,” katanya.

Tambahnya lagi, percutian lebih menyeronokkan bagi mereka apabila ikatan kekeluargaan lebih erat terjalin dengan masing-masing bekerjasama membantu dari awal sehinggalah mereka pulang semula ke tanah air.

“Biasanya anak-anak yang bersungguh membantu mencari maklumat menerusi internet destinasi yang ingin kami lawat. Kami mengambil penginapan berstatus pangsapuri dan paling penting mestilah ada dapur.

“Malah sekitar pangsapuri mesti ada pasar raya yang memudahkan saya mencari bahan mentah memasak seperti ikan, telur, sayur dan lain-lain keperluan yang halal.

“Disamping saya terlebih dulu menyediakan bahan sejuk beku yang wajib dibawa seperti sambal lada, sambal tumis ikan bilis, serunding daging dan ayam serta kuah kacang yang semuanya adalah makanan kegemaran suami dan anak-anak,” katanya yang akan dimasak dan dibekukan dua hari sebelum berlepas ke destinasi dituju.

Kata anak kepada pelakon veteran, Allahyarham Tamam Idris itu, perkara sama juga dilakukan sekiranya bercuti di dalam negara yang mengambil masa lebih tiga malam.

“Untungnya bila anak-anak sudah besar, semua benda bermula urusan menempah hotel, tiket penerbangan, mendapatkan maklumat negara yang hendak ditujui dibuat mereka sendiri.

“Malah saya memang ada beg khas untuk ‘travel’ dilengkapi pelbagai peralatan seperti periuk, kuali, sudu, senduk, pisau dan alat membuka tin. Hanya perlu tarik saja jika hendak pergi bercuti

Percutian di Pulau Nami, Korea Selatan, baru-baru ini.

“Lebih menyeronokkan apabila anak-beranak bersama-sama memasak apabila tiba di negara orang. Situasi itu sebenarnya lebih mengeratkan ikatan kekeluargaan antara kami,” katanya yang bercuti kali kedua ke Korea Selatan baru-baru ini.

Antara destinasi percutian keluarga yang pernah ditujui seperti Gold Goast, Australia, Korea Selatan, Beijing, Phuket, Bangkok, Jakarta, Krabi, Dubai, Arab Saudi dan Padang.

616 dibaca
Berita Harian X