Rabu, 2 Januari 2019 | 2:30pm
PENGUNJUNG menikmati sajian nasi Padang bersama lauk-pauknya. - NSTP/Saddam Yusoff

Sajian Natrabu Express penuhi selera penggemar masakan minang

SEKIRANYA anda berada di Indonesia terutama Padang, Sumatera Barat mahupun sekitar Jakarta, sekali gus ingin merasai hidangan Minang, mencari gerai atau restoran yang menjual nasi Padang bersama lauk-pauknya, sangat mudah dan harganya berpatutan.

Sajian sama juga boleh dinikmati jika anda bercuti di Kuala Lumpur namun hidangan yang sama belum pasti dapat memenuhi selera anda.

Namun, premis makanan Minang lazim kita lihat sekitar Lembah Klang ialah restoran nasi Padang Natrabu. Sekiranya anda benar-benar penggemar masakan Padang, menikmati sajian Minang di situ, pasti memberi kepuasan kerana keenakan lauk-pauknya persis hidangan pernah dinikmati di Sumatera mahupun Jakarta.

Puas hati semua hidang

Bercakap mengenai ‘jenama’ sajian Minang di KL seperti Natrabu, pelanggan yang pernah bertandang ke restoran berkenaan mengaku hidangannya memang lazat dan puas hati, namun dalam kalangan pengunjung sesetengahnya akan merungut, sedap tapi harganya mahal.

Justeru, bagi memuaskan hati pelanggan, terutama penggemar tegar masakan Minang, kini anda boleh berkunjung ke Natrabu Express @ Putrajaya di Presint 15, pengusaha menawarkan harga berpatutan dan lebih penting, keenakan nasi Padang serta lauk-pauknya dijamin sedap.

FAIEDZUL bersama sebahagian menu popular makanan Padang. - NSTP/Saddam Yusoff

Penyelia restorannya, Faiedzul Fikrie Anuar, mengakui harga nasi Padang dan lauk-puak yang dijual di premis makanannya tidak keterlaluan seperti yang disangka sesetengah pihak kerana Natrabu Express memberi peluang semua golongan termasuk kakitangan agensi awam dan swasta di kawasan sekitar menikmati sajian pada harga tidak membebankan.

Pelanggan puas hati dengan keenakan sajian masakan Minang, berbaloi dengan harganya, tidak terlalu mahal.

“Apabila menjamu selera di premis makanan kami, anda seolah-olah sedang menikmati sajian makanan Minang seperti di Indonesia kerana cara masakan dan rempah-ratus yang digunakan dibawa terus dari sana.

“Menu popular ayam pop, kami hanya menggunakan ayam kampung kerana rasanya lebih padu. Ayam direndam dalam sup yang disediakan dengan resipi tersendiri, lalu dicelup dalam minyak masak mendidih selama lima saat sahaja. Pastikan minyak yang digunakan itu, baharu.

“Anda juga wajib cuba gulai kikil iaitu urat keting lembu yang dimasak bersama gulai kari istimewa. Rempah-ratus yang kami guna diimport dari Indonesia, sekali gus menawarkan rasa enak seperti menjamu selera di negara asal sajian dihidangkan,” katanya.

Berita Harian X