Ahad, 23 Disember 2018 | 11:00am
Pantai Desaru yang menjadi pilihan untuk pertandingan meluncur layang-layang Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia-Pasifik Hidrofoil 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Antara peserta yang terbabit dalam pertandingan Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia Pasifik Hidrofoil Series 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Seorang daripada peserta pertandingan meluncur layang-layang Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia-Pasifik Hidrofoil 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Peluncur layang-layang lawan ombak ganas

KEHADIRAN puluhan peluncur dengan layang-layang berwarna-warni memenuhi ruang udara pantai Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor menarik perhatian pengunjung yang datang untuk bersantai bersama keluarga sempena cuti sekolah hujung tahun.

Desaru Coast sepanjang 17 kilometer, ditakluki oleh peluncur layang-layang atau kiteboard yang datang dari serata dunia untuk mempamerkan kehandalan mereka meluncur ombak ganas dan angin monsun Timur laut.

Sesekali pengunjung bersorak kagum apabila melihat aksi peluncur yang berlatih sambil melompat dan memusingkan badan dengan penuh bergaya sebelum perlumbaan bermula.

Kelajuan biasa peluncuran boleh mencecah antara 16 sehingga 24 kilometer sejam atau 20 knots bergantung kepada kelajuan angin semasa, malah rekod perlumbaan itu pernah mencatatkan kelajuan lebih 80 kilometer sejam.

Keunikan Desaru Coast menarik perhatian Kiteboard Tour Asia (KTA) untuk menganjurkan pusingan kedua, KTA Asia-Pacific Hydrofoil Series Desaru Coast 2018 iaitu perlumbaan meluncur layang-layang yang pertama pernah diadakan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings, Roslina Arbak, berkata pihaknya berbangga kerana pantai itu menjadi lokasi pilihan untuk perlumbaan KTA.


Pantai Desaru jadi pilihan peluncur layang-layang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Peserta membuat persiapan sebelum pertandingan Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia Pasifik Hidrofoil Series 2018 di Desaru Coast. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Peserta menunjukkan aksi pada pertandingan Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia Pasifik Hidrofoil Series 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

“Kami gembira Desaru Coast menjadi sebahagian daripada acara popular bertaraf antarabangsa dan KTA Asia-Pasific Hydrofoil Series Desaru Coast 2018 adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membawakan lebih banyak aktiviti sukan, gaya hidup dan hiburan.

“Sukan air Kiteboard ini diharapkan menjadi acara tahunan yang bakal menjadi tarikan tambahan Adventure Waterpark yang dibuka sejak Julai lalu, hotel bertaraf antarabangsa seperti Hard Rock dan dua padang golf 45 lubang, Ocean serta Valley Course,” katanya.

Beliau ditemui sebelum perlumbaan bermula yang turut dihadiri, Pengasas KTA dan Pengarah Acara, Willy Kerr dan peluncur negara, Daniel Leow.

Willy berkata, keunikan Desaru menarik perhatiannya ketika berkunjung ke pantai itu tiga tahun lalu dan percaya ia sesuai dijadikan lokasi untuk KTA.

“Tidak banyak tempat yang kami temui di Asia di mana terdapat pokok kelapa yang mengunjur ke tepi pantai, akibat pembangunan pesat.

“Ia lokasi yang unik, bersih selain kurang pencemaran dan sangat sesuai dijadikan lokasi baharu untuk meluncur,” katanya.


Dari kiri: Peserta Kiteboard mewakili Malaysia, Daniel Leow; Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings Sdn Bhd, Roslina Arbak dan Pengasas Kiteboard Tour Asia (KTA) dan Pengarah Acara, Willy Kerr.

Peserta menunjukkan aksi pada pertandingan Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia Pasifik Hidrofoil Series 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata, pihaknya sudah lama ingin meluncur di negara ini tetapi keadaan angin kurang sesuai dengan peralatan peluncuran pada ketika itu.

Bagaimanapun, menerusi papan luncur yang dihasilkan menggunakan teknologi hidrofoil yang lebih ringan, ia membolehkan penggemar sukan itu meluncur dalam pelbagai keadaan angin termasuk angin yang bertiup perlahan.

Teknologi hidrofoil bukan sesuatu yang baharu kerana ia digunakan dalam kebanyakan bot dan feri tetapi boleh dianggap baharu dalam sukan air.

“Meluncur layang-layang baharu saja disenaraikan dalam sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina pada tahun ini dan banyak negara masih mencari bakat baharu dalam bidang ini apabila sukan ini disenaraikan dalam Olimpik di Paris pada tahun 2024 nanti.

“Kami berharap menerusi penganjuran ini, ia dapat memberikan membuka mata masyarakat di sini mengenai keunikan sukan ini,” katanya.

Katanya, sukan berkenaan mempunyai pelbagai format menyeronokkan di atas daratan, laut dan salji yang mana disiplin popularnya termasuk gaya bebas, ombak, slalom atau meluncur ski antara bendera, Big Air atau lompat tinggi dan kelajuan.


Peserta Malaysia, Daniel Leow ketika pertandingan Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia Pasifik Hidrofoil Series 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Sementara itu, Leow berkata beliau sudah menyertai pertandingan itu sejak lebih 11 tahun lalu dan berharap lebih ramai golongan muda di negara ini menceburi sukan berkenaan.

“Saya amat menyintai sukan ini yang membuatkan adrenalin menjadi laju apabila berdepan cabaran di laut dan berjemur di bawah matahari.

“Saya rasa laut lebih selamat berbanding memandu kereta di atas jalan, malah kos yang perlu dikeluarkan tidak terlalu mahal,” katanya.

Beliau sedang mencari bakat baharu untuk dilatih sama ada lelaki mahupun perempuan untuk menggantikan tempatnya dalam perlumbaan di masa depan.

Sejarah meluncur layang-layang bermula pada tahun 1800 apabila pereka peralatan perlumbaan, George Pocock menggunakan layang-layang untuk meningkatkan pergerakan kereta kuda di darat dan kapal.

Pada 1903 an, perintis penerbangan, Samuel Cody membangunkan ‘layang-layang manusia’ dan berjaya menyeberang Selat Inggeris dalam perahu kanvas.

Sukan meluncur layang-layang diasaskan oleh Emmanuel Bertin atau dikenali sebagai Manu Bertin dari Toulon, Perancis pada awal 1990 an.


Antara peserta yang terbabit dalam pertandingan Kiteboard Tour Asia (KTA) Asia Pasifik Hidrofoil Series 2018. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Info KTA Asia-Pasific Hydrofoil Series Desaru Coast 2018:

• Disertai 41 peserta dari 18 negara

• Bermula 14 sehingga 16 Disember 2018

• Peserta dari Sri Lanka, Thailand, Filipina, Korea, Turki dan Jepun.

• Kategori: Master lebih 35 tahun, lelaki dan wanita

• Hadiah: Lebih RM20,000

Pencipta peluncur layang-layang:

• Pasangan adik beradik, Bruno Legaignoux dan Dominique Legaignoux, dari Atlantic coast,Perancis pada lewat 1970-an dan awal 1980-an.

360 dibaca
Berita Harian X