Ahad, 25 November 2018 | 11:41am
Keadaan bagang Jun's Bilis yang diperbuatkan daripada batang nibung di perairan Kampung Rancha Rancha Laut, Labuan. - Foto NSTP

Jaring bilis di Bagang Pulau Labuan

Tidak lengkap sajian nasi lemak tanpa ikan bilis goreng mahupun sambal ikan bilis yang menjadi sebahagian daripada ramuan lengkap hidangan istimewa itu.

Ketika menikmati keenakan sajian berkenaan, tahukah anda usaha mendapatkan ikan bilis ini bukanlah sesuatu kerja yang mudah, untuk mendapatkannya nelayan terpaksa ke tengah laut sama ada memukat mahupun menjaring di kelong.

Apabila diberitahu saya dan beberapa rakan lain akan menaiki kelong atau ‘Bagang’ panggilan tempatan di Labuan, Sabah melihat sendiri cara menangkap ikan bilis, masing-masing teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman sedemikian.

Ditambah pula kaedah penangkapan bilis dilakukan secara tradisional iaitu menjaring.


Pekerja Bubu Emas mengeluarkan ikan yang terperangkap dalam bubu. - Foto NSTP

Hanya 20 minit menaiki bot gentian kaca untuk sampai ke Bagang Jun Bilis, namun dek hujan sejak di jeti lagi menyebabkan bot kendalian pengusahanya, Junaidi Abdullah, 43, terpaksa berhati-hati meredah kepekatan malam.

Dua kali terpaksa berpatah balik ke pantai, gara-gara ombak membadai bot, namun masing-masing tidak mengalah untuk meneruskan perjalanan.

Penulis tersenyum puas apabila melihat Bagang daripada pokok nibong tersergam di depan mata. Dilimpahi lampu halogen menerangi kawasan persekitaran, jelas kelihatan ribuan ikan kecil bermain di bawahnya.

“Itu ikan bilis dan kekek yang berenang-renang di bawah kawasan terang, kalau bernasib baik kita berpeluang melihat cencaru dan kembung yang mengejar ikan kecil sebagai makanannya.


Rombongan media dan perhubungan korporat Kementerian Wilayah Persekutuan melihat serta mengasingkan ikan bilis yang baru disauk di bagang Jun's Bilis. - Foto NSTP

“Kalau ada rezeki, ada kalanya tenggiri dan kerapu pun terperangkap di bawah kelong,” kata Junaidi.

Junaidi mengusahakan Bagang miliknya terletak betul-betul di hadapan Kampung Rancha Rancha Laut dan bersedia menerima kunjungan pelancong bila-bila masa.

“Selain menyaksikan saya dan pekerja menarik jaring berisi ikan bilis, pengunjung berpeluang turut serta. Saya akan menunjukkan cara menyauk ikan bilis. Ditunjukkan juga kerja pengasingan hasil tangkapan kerana terdapat juga ketam, udang, sotong dan ikan besar terperangkap di dalam ,” katanya.

Kunjungan ke situ dipenuhi pelbagai pengisian antaranya merebus ikan bilis, kemudiannya digoreng sebagai menu makan malam, di mana semua aktiviti dilakukan di atas Bagang.

Bagi mereka yang ingin membeli ikan bilis kering juga boleh mengunjungi rumahnya yang dijadikan tapak pengeringan.

Bagang milik Junaidi sudah sejak enam bulan lalu melalui satu program Inisiatif Mensejahterakan Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan.

Usaha itu sebahagian daripada langkah mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing sejak kemerosotan industri minyak dan gas di pulau itu.


Kerja-kerja pengasingan ikan bilis segera dilakukan bagi mengelakkan ia berubah warna sekaligus mengurangkan kualitinya. - Foto NSTP

Selain perusahaan ikan bilis Bagang, inisiatif ini meliputi program bubu emas bagi membantu komuniti setempat menjana pendapatan, malah menjadikannya sebagai produk pelancong baharu di pulau jolokan nama Mutiara Borneo.

Junaidi berkata, Labuan adalah pulau maritim dan kaya dengan khazanah lautnya, menyaksikan ramai kaki pancing datang menduga penghuni perairannya seperti kerapu bara, kerisi bali, ikan putih dan tuna.

“Saya bukan bersendirian membina Bagang, ketika ini terdapat lima aktiviti seumpamanya di Labuan. Ada juga nelayan tempatan memukat ikan bilis di tengah laut menggunakan bot.

“Semua bergantung pada cuaca, sekiranya berlaku ribut, mereka terpaksa pulang ke daratan tetapi kelong tiada masalah. Setiap malam, saya mengangkat jaring tiga kali dan waktu subuh paling banyak ikan bilis diperangkap,” katanya.

Perusahaan Bubu Emas Kampung Lubuk Temiang, memberi peluang pengunjung bersama-sama nelayan menaiki bot ke tengah laut merasai pengalaman menarik bubu berisi ikan.

Pengusahanya, Asiran Jamal, 46, berkata terdapat lebih 20 bubu ditempatkan di sekitar perairan Labuan dan paling jauh sekitar 20 batu nautika bersempadanan Brunei dengan kedalaman 30 meter.

“Lokasi bubu ditanda dengan alat pengesan kedudukan global (GPS) bagi memudahkan saya mengenal pasti pemiliknya. Apabila berjaya dikesan, seorang penyelam skuba akan dihantar bagi mengikat bubu berkenaan sebelum ditarik ke atas menggunakan winch bermotor.

“Selepas ikan dikeluarkan, bubu diturunkan semula dengan kedudukannya ditanda GPS. Ada 20 bubu, namun kerja menaikkannya dilakukan jam 7 pagi hingga 2 petang.

“Bergantung jumlah ikan yang ditangkap, sekiranya lima atau enam lokasi bubu diangkat dan hasilnya memenuhi tong ikan, kami menghentikan aktiviti untuk pulang ke daratan.

“Kebiasaannya ikan segar ini segera dibawa ke rumah kira-kira tiga kilometer, menariknya pembeli terdiri daripada penduduk kampung tidak sabar menanti mendapatkan habuan masing-masing.

“Harga dijual berbeza berdasarkan spesies berkualiti, namun tidak membebankan pembeli asalkan mereka berpuas hati,” katanya.

Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman kedua-dua aktiviti berkenaan boleh menghubungi Perbadanan Labuan dan kakitangan bahagian promosi pelancongannya sedia membantu.


Ikan bilis yang sudah direbus dijemur di bawah cahaya matahari bagi tujuan pengeringan. - Foto NSTP

INFO: Bagang Jun bilis

  • Dibina di perairan kampung Rancha Rancha Laut.
  • Dibina enam bulan lalu.
  • Menggunakan kira-kira 70 batang nibong.
  • Diterangi lampu halogen berkuasa 4,000 kilowatt.
  • Operasi Bagang 6 petang hingga 8 pagi.
  • Tangkapan sekitar 30 hingga 50 kilogram ikan bilis sehari.
  • Berita Harian X