Ahad, 4 November 2018 | 1:11pm

KL Tram bawa pelancong jelajah 20 lokasi, lancarkan penerokaan sekitar ibu kota

MALAYSIA khususnya Kuala Lumpur kini mampu memberi saingan kepada peneraju bandar raya pelancongan dunia seperti San Francisco, Amerika Syarikat; Amsterdam, Belanda dan Melbourne, Australia apabila menyediakan perkhidmatan tram sebagai kemudahan kepada pelancong mengunjungi destinasi menarik di ibu kota untuk menjimatkan masa, sekali gus mengatasi masalah parkir.

Sebagai permulaan bagi perkhidmatan ini adalah disediakan di lokasi tumpuan pelancong khususnya di sekitar Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Justeru, Kuala Lumpur Tram (KL Tram) yang beroperasi sejak 1 April 2017 itu memberi lebih pilihan kepada pelancong bertandang ke ibu negara untuk menerokai pelbagai produk pelancongan menarik ditawarkan di pusat bandar raya.

Pada masa sama memberi panduan kepada pengunjung mengenai destinasi berkenaan, seterusnya merancang jadual perjalanan percutian supaya berbaloi dengan perbelanjaan dikeluarkan.

Apabila berada di Kuala Lumpur, mercu tanda pelancongan wajib dilawati adalah bangunan bersejarah yang berselerak di sekitar Dataran Merdeka dan mengelilingi Taman Warisan Tun Abdul Razak berkeluasan lebih 100 hektar.

Destinasi berkenaan berdepan masalah parkir yang terhad. Bersiar-siar sambil berjalan kaki adalah pilihan terbaik, anda mungkin keletihan kerana banyak lokasi perlu dijelajahi.

Sedia kemudahan tram

Sinonim apabila berkunjung ke kota metropolitan ini, pengunjung pasti disaran melawat Taman Warisan Tun Abdul Razak, selain Taman Botani Perdana, Taman Rusa, Tugu Negara, Taman Orkid KL, Taman Burung Kuala Lumpur, Memorial Tun Abdul Razak dan Planetarium Negara.

Di sekitar kawasan sama juga terletaknya Muzium Kesenian Islam, Masjid Negara dan Muzium Negara. Bayangkan anda ingin berkunjung semua destinasi itu berjalan kaki sambil membawa si kecil, barangkali boleh pitam dibuatnya.

Namun, dengan adanya perkhidmatan tram itu ia mampu menawarkan keselesaan kepada pengunjung.

Menerusi dua laluan sebagai pilihan kepada pelancong, kesemua 20 tarikan utama yang terdapat di sekitar Dataran Merdeka dan Taman Warisan Tun Abdul Razak boleh dilawati dalam masa sejam sahaja. Konsep naik dan turun (hop-on and hop off) dan KL Tram di sepanjang laluan, memberi pilihan kepada pelancong merancang perjalanan.


PELANCONG nikmati keindahan ibu kota dengan menaiki tram. Foto Nurul Shafina Jemenon.

Lancarkan perjalanan

Pengarah Kuala Lumpur Tram, Mohamed Nasir Sulaiman, berkata hanya di Malaysia, perkhidmatan berkenaan mempunyai cukai jalan dan insurans, sekali gus memberi perlindungan kepada pelancong dan ini adalah antara kelebihan dimiliki.

Katanya, kemudahan itu keselesaan dan melancarkan jadual pengunjung untuk melawat kesemua produk pelancongan menarik di sekitar ibu kota tanpa ketinggalan gara-gara keletihan.

“Fungsi utama membawa pelancong mengelilingi pusat bandar raya terutama sekitar Dataran Merdeka dan menerokai Taman Warisan Tun Abdul Razak dalam persekitaran yang selesa dan menjimatkan masa.

Mereka boleh naik atau turun tram tanpa had di mana sahaja destinasi sepanjang laluan sekiranya terdapat produk pelancongan yang mereka minati untuk diberi lebih tumpuan.

Jimat masa

Paling penting tram menjimatkan masa pelancong. Mereka tidak perlu bertanya atau melayari internet bagi memperoleh maklumat, sebaliknya pemandu kami sangat terlatih dan mampu memberi penerangan kepada mereka mengenai destinasi yang ingin dilawati sepanjang laluan,” katanya,” katanya.

Tram diselenggara Cellex Resources Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Biro Pelancongan Kuala Lumpur bagi memastikan kelancarannya.

Pengunjung boleh menaiki tram terbabit bermula di Galeri Kuala Lumpur, bersebelahan Dataran Merdeka yang menjadi hab utama perkhidmatan itu seawal jam 9 pagi.

Menariknya, perkhidmatan itu mesra alam sekitar apabila menggunakan bateri kereta membekalkan arus elektrik ketika beroperasi.

FAKTA NOMBOR

• 16 penumpang sebuah tram dalam satu-satu masa

• RM10 harga tiket dewasa (pemegang MyKad)

• 150 pengunjung sehari menggunakan semua empat tram

Mengenai Kuala Lumpur Tram

• Mesra mesra alam sekitar

• Bateri kereta membekalkan arus elektrik untuk beroperasi

• Pusat operasi bermula di Galeri Kuala Lumpur

• Dibuka 9 pagi

34 dibaca
Berita Harian X