Ahad, 28 Oktober 2018 | 11:55am
MUZAMMIL bersama keluarga di Sydney gemar aktiviti berbeza ketika melancong.
WARWICK Castle antara lokasi dikunjungi.
DI Dominican Church, Maastricht, Belanda.
PENGALAMAN menaiki kapal selam di Male, Maldives.
ANTARA aktiviti lasak yang dilakukan ketika melancong di Doha.

Kembara lebih 200 destinasi jarang diterokai

JAUH berjalan, luas pemandangan! Semakin banyak menerokai dunia semakin banyak dipelajari. Apatah lagi kembara itu merentasi enam benua terutama destinasi bukan pilihan dan jarang dikunjungi.

Pengalaman meneroka lebih 200 destinasi di seluruh dunia menjadi aktiviti pengembaraan yang begitu menarik kepada Pengurus Negara Malaysia dan Brunei Qatar Airways, Datuk Muzammil Mohamad, lantas terpahat sebagai memori indah.

Muzammil menggunakan peluang melihat panorama dunia dari pelbagai sudut, iaitu keunikan seni, budaya, gaya hidup, makanan, bahasa, geografi, sejarah dan pembangunannya.

Kedudukannya sebagai orang penting di syarikat penerbangan antarabangsa ternama turut merintis peluang mengembara tanpa mengira masa dan sempadan.

Graduan dalam bidang Perakaunan ini menamakan kota London dan Paris sebagai destinasi kegemaran selepas menjejaki banyak lokasi di ceruk dunia.

Beliau kerap ke kota kosmopolitan atas urusan kerja atau bercuti bersama keluarga.


DESTINASI wajib dikunjungi adalah Muzium Louvre, Perancis.

Duduk bersantai menikmati secawan kopi kita dapat menyaksikan hiruk-pikuk dan ragam pelbagai manusia dari seluruh dunia.

Di kota itu, keselamatan dan keselesaannya terjamin, pengangkutan awam cekap, mudah mendapatkan makanan halal dan tiada jurang berkomunikasi.

Muzammil gemar memilih destinasi atau aktiviti jarang dilakukan seperti berkuda di kawasan pergunungan dan perladangan di Argentina, mencuba Segway dan berbasikal di Sydney, Australia dan bercuti pada musim sejuk di Gulmarg, Kashmir.

“Pengalaman di Kashmir bersama keluarga termasuk ibu saya berusia 70 tahun memilih pakej berkuda ke kawasan pergunungan amat indah apabila mereka berjaya sampai ke puncak. Betapa cantik dan menakjubkan panorama di kawasan persekitaran.

“Agensi pelancongan di New Delhi beberapa kali bertanya benarkah mahu menginap di rumah bot pada musim sejuk kerana tiada pemanas air sedangkan suhu sejuk di bawah paras ekstrem.

“Ada pekerja memasak air menggunakan kayu api. Dalam dunia moden masih ada menggunakannya. Ini pengalaman manis dan dapat mempelajari keunikan dunia luar,” katanya.

Kenangan indah itu sukar diceritakan kerana percutian bersifat unik dan tidak mungkin dilalui semua orang lain.


PEMANDANGAN indah di Katherine Gorge National Park, Nitmiluk di wilayah utara Australia.

“Mereka yang mahu ke Kashmir disaran bagi duit upah kepada tukang masak kerana mereka pasti melayan kita dengan baik dan rela hati menyediakan juadah tanpa banyak soal,” katanya.

“Ada pekerja memasak air menggunakan kayu api. Dalam dunia moden masih ada menggunakannya. Ini pengalaman manis dan dapat mempelajari keunikan dunia luar,” katanya.

Kenangan indah itu sukar diceritakan kerana percutian bersifat unik dan tidak mungkin dilalui semua orang lain.

Baginya Doha yang menjadi hub penerbangan Qatar Airways wajar diterokai pelawat kerana cukup mempesonakan. Tanpa perlu mendapatkan visa bagi pelancong negara ini kita boleh terokai bandarnya bagaikan syurga dunia.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menjanjikan kepuasan membeli-belah 24 jam dengan 15 minit perjalanan melengkapkan siri jelajah ke tempat menarik sesuai kepada mereka yang ada masa untuk transit.

“Saya suka percutian santai, sebaiknya bercuti antara 10 hingga 14 hari supaya dapat mengenali budaya, tarikan pelancongan, makanan dan aktiviti masyarakat setempat lebih mendalam,” katanya.

Katanya, setiap destinasi akan dilakukan perkara berbeza mengikut apa yang ditawarkan di negara terbabit.


DI Puncak Gulmarg, Baramula District, Jammu, Kashmir.

“Saya tak suka ambil pakej disediakan agensi pelancongan, tapi lakukan sendiri kerana mudah buat apa saja. Saya dapatkan maklumat terperinci, dan menyusun aktiviti supaya percutian benar-benar bermanfaat.

“Setiap destinasi saya akan cari muzium dan perpustakaan. Saya boleh habiskan masa sehari suntuk duduk di situ mengamati betul-betul setiap inci benda ada di dalamnya,” katanya.

Bapa empat cahaya mata ini berkata, minatnya mengembara lebih menumpukan tempat bersejarah, kenali sosio budaya kepelbagaian makanan dan alam semula jadi.

“Misalnya saya menempuh pengalaman sendiri berkuda secara berkumpulan di Argentina, ketika berhenti makan tengah hari, kami disajikan dengan stik dan salad paling enak, kerana lembu di sana diberikan rumput terbaik (alfafa).

“Sementara air sungainya semula jadi bergaram, menjadikan dagingnya sedap,” katanya mendapat sijil selepas menyertai tarian tango di negara itu.

Uniknya beliau tidak pernah bawa dompet, sebaliknya memakai jeans dan menyimpan wang kertas pada semua poket seluar dan baju dengan setiap not kertas disusun sehelai-helai mengikut nilai.

“Ini memudahkan menarik wang kertas itu ketika membeli-belah. Cara ini dapat mengelak jadi mangsa penyeluk saku.

“Kebiasaan orang akan perasan terutama apabila mengeluarkan sejumlah wang. Di sesetengah negara ada sindiket penyeluk saku,” katanya mengimpikan menjejaki negara Maghribi dan Casablanca.

Sejak berusia lima tahun bercita-cita menjadi juruterbang, selain peluang belajar di sekolah berasrama berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, membulatkan tekad untuk lebih mengambil tahu mengenai dunia penerbangan.


MUZAMMIL Mohamad. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

“Kami mendapatkan siaran frekuensi yang menghubungkan lapangan terbang dan pesawat berkomunikasi untuk mendarat.

“Saya boleh hafal jenis pesawat, nombor penerbangan, masa dan destinasinya,” katanya.

Anak kelahiran Kedah yang berkhidmat dengan Qatar Airways, sejak 2016, mengatakan tidak semua kelebihan memihak padanya untuk bercuti, sebaliknya ia tetap dirancang untuk mendapatkan yang terbaik.

Tip mengembara:

• Luangkan masa 10 hingga 14 hari percutian

• Simpan duit di beberapa tempat untuk mengelakkan mangsa ragut atau penyeluk saku.

• Maklumkan pada bank kunjungan ke luar negara bagi memudahkan penggunaan kad kredit

• Senaraikan perancangan bercuti

- Tempat paling yang ingin dilawati

- Apa yang perlu dibeli

- Beli cenderahati

- Pakaian mengikut musim percutian.

- Siapkan wang tukaran wang asing mengikut tempat percutian

• Pakaian

- Jangan pakai yang sama supaya nampak pelbagai apabila merakam gambar sepanjang percutian

- Susun pakaian mengikut hari dan destinasi percutian

• Cari maklumat

- Muat naik aplikasi penerbangan

- Daftar masuk

- Maklumat penerbangan

- Insurans perjalanan

• Barang peribadi

- Semua beg dikunci dan disimpan di ruangan kargo

- Pilih barangan ringan dan keperluan untuk di bawa ke pesawat

- Beg jinjing

- Gajet

- Pakaian tambahan jika beg tiba lewat

- Kelengkapan diri untuk keselesaan dalam penerbangan

• Jaga status kesihatan

- Minum segelas air setiap jam

- Bawa kit kecemasan ubatan ketika melancong

Berita Harian X