Selasa, 16 Oktober 2018 | 7:57pm
WARTAWAN menemuramah Penduduk, Ibrahim Che Mat, 61, (kiri) Sobri Ismail, 57, (tengah) dan Faiezan Badarudin, 29, di Kampung Nako Nambua. - Foto Sharul Hafiz Zam

Nako Nambua di Kedah, bukan Afrika

Menjadi bahan jenaka serta ejekan dianggap biasa bagi penduduk Nako Nambua di Kuala Nerang, Kedah. Menyusuri susur galur, beberapa teori diceritakan di sebalik asal usul nama unik itu, termasuk mengaitkannya dengan kisah pengembara dari Pattani.

• Kisah Tok Nambua antara paling sinonim

• Kawasan berbukit dikatakan lokasi awal penempatan Nako Nambua

• Terjemahan dari bahasa Thai perkataan Nako (jelapang padi) dan Nambua (mata air) mencerminkan identiti kampung

• Selain Thailand, nama unik itu turut dikaitkan dengan Afrika


PAPAN tanda yang diletakkan di jalan masuk utama ke Kampung Nako Nambua. - Foto Sharul Hafiz Zam

PAPAN tanda sempadan diantara Kampung Naka dan Kampung Bukit Nambua. - Foto Sharul Hafiz Zam

PADANG TERAP: Sebut Nako Nambua, perkara pertama terlintas di fikiran mungkin merujuk nama tempat di Afrika, tidak kurang juga mengaitkannya dengan Thailand.

Hakikatnya Nako Nambua adalah nama sebuah kampung di Kuala Nerang, di sini, yang terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari bandar raya Alor Setar di Kedah.

Persoalannya kenapa begitu unik nama kampung dihuni lebih 1,000 penduduk majoritinya bekerja sebagai petani dengan menguruskan getah serta sawah, selain generasi lebih muda memilih kerjaya di sektor awam.

Bagi penduduk Nako Nambua, masing-masing terbiasa dan lali dengan usikan serta pertanyaan pelik masyarakat luar mengenai kisah di sebalik nama kampung yang unik itu.

Malah, rata-rata berbangga apabila keunikan nama itu menyebabkan penempatan mereka popular apabila menjadi tumpuan pelajar dari luar untuk melakukan kajian.

Menyusuri susur galur, nama Nako Nambua dikatakan sering dikaitkan dengan penempatan dikenali Nambua di Fiji, selain dua kampung berbeza di Afrika iaitu Nakos dan juga Nambuas.

Apa pun teori paling dekat ialah mengaitkan Nako Nambua dengan Thailand apabila perkataan Nako dalam bahasa Thai membawa maksud jelapang padi, manakala Nambua pula bermaksud air mata air.


PENDUDUK, Ibrahim Che Mat, 61, (kiri) bersama Sobri Ismail, 57, (tengah) dan Faiezan Badarudin, 29, melihat profil Kampung Nako Nambua ketika ditemui di kediaman mereka. - Foto Sharul Hafiz Zam

Kisah Tok Nambua

Ibrahim Che Mat, 61, berkata berdasarkan cerita orang lama asal nama unik penempatan itu dikaitkan dengan seorang pengembara dari Pattani di Thailand dikenali Tok Nambua yang datang ke kawasan itu bersama isteri, Siti Tanjung dan anak, Ali Geetha.

Selaku antara generasi awal menetap di Nako Nambua, beliau berkata Tok Nambua menjadikan kawasan bukit di kampung itu sebagai tempat menetap dan meneruskan kelangsungan hidup dengan bercucuk tanam sehinggalah dia sekeluarga meninggal akibat termakan telur ular keramat.

"Tiga beranak itu disemadikan di kawasan bukit tempat tinggal mereka, namun kini tinggalan kubur itu sudah tidak kelihatan kerana dilitupi semak samun.

"Kehidupan penduduk seperti juga di penempatan lain, cuma uniknya nama tempat ini yang diambil daripada pengembara dari Pattani. Namun tiada peninggalan masyarakat Siam di sini," katanya.


PENDUDUK, Ibrahim Che Mat, 61, menunjukkan pelan lokasi Bukit Nambua dari imej satelit. - Foto Sharul Hafiz Zam

PENDUDUK, Ibrahim Che Mat, 61, menunjukkan lukisan pelan lokasi penduduk yang tinggal di Kampung Nako dan Bukit Nambua. - Foto Sharul Hafiz Zam

Bercerita lanjut, Ibrahim berkata Nako Nambua sebelum ini memang nama sebuah kampung, namun pentadbirannya dipisahkan sejak 1980-an akibat kepadatan penduduk sebelum menjadi dua kampung berbeza iaitu Kampung Nako dan Kampung Bukit Nambua.

Ketika berkongsi pentadbiran, katanya sebuah sekolah dibina turut diberi nama Sekolah Kebangsaan (SK) Nako Nambua pada 1963, sebelum ditukar kepada SK Panglima Awang sekitar 1980-an.

"Ketika itu penduduk hanya ada kira-kira 400 orang, namun sejak 1980-an ia bertambah menyebabkan pentadbiran kampung dipisahkan. Kini terdapat lebih 900 penduduk di Kampung Bukit Nambua dan lebih 100 lagi di Kampung Nako," katanya.

Beliau berkata, walaupun Kampung Nako dan Kampung Bukit Nambua dua penempatan berbeza, penduduk tidak kisah andai dua nama itu terus digabungkan seperti sekarang bagi mengekalkan keunikannya.


SEBUAH sekolah yang dibina turut diberi nama Sekolah Kebangsaan (SK) Nako Nambua pada 1963 sebelum ia ditukar kepada SK Panglima Awang pada sekitar 1980'an. - Foto Sharul Hafiz Zam

AHLI keluarga Shamsuddin mengambil kesempatan makan tengahari di halaman rumah mereka di Kampung Bukit Nambua. Majoriti daripada lebih 1,000 penduduk yang menetap di sini bekerja sebagai petani dengan menguruskan pokok getah dan sawah, namun bagi generasi lebih muda ramai yang bekerja di sektor awam. - Foto Sharul Hafiz Zam

Tarik minat orang luar

Penduduk jati Nako Nambua sejak 57 tahun lalu, Sobri Ismail, mengakui menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk menjelaskan kisah di sebalik Nako Nambua setiap kali nama unik itu disebut, terutama oleh rakan dari luar Kedah.

“Saya selalu jelaskan bahawa Nako Nambua terletak di Kuala Nerang, dengan jaraknya dari pintu sempadan Malaysia-Thailand kira-kira 30 km,” katanya.

Generasi keempat Nako Nambua, Faiezan Badarudin, 29, pula berkata populariti kampungnya semakin meningkat ketika penganjuran Piala Dunia 2010 di Afrika, apabila penduduk yang juga rakannya ke negara itu untuk bertugas.

“Rakan saya ada mengambil gambar di satu tempat di Afrika tertera perkataan Nakos pada papan tanda. Selain Nakos, carian di aplikasi Google juga menunjukkan wujudnya sebuah tempat lagi dikenali sebagai Nambuas di Afrika.

"Ketika itu, penempatan kami popular seketika dan kami dimaklumkan ada juga sebuah kampung dengan nama hampir sama di Fiji,” katanya.

Berita Harian X