Ahad, 12 Ogos 2018 | 4:10pm
ANTARA trek dan halangan yang perlu ditempuh peserta Kemboree Sahabat 4x4 Malaysia 2018 di Pasir Raja Dungun, Terengganu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Konvoi Kemboree redah hutan

TAK kenal maka tak cinta! Hati terpaut dengan kedamaian hutan, persekitaran menghijau dan riak tenang permukaan lubuk menggamit nostalgia berendam di hulu sungai.

Peluang penulis menyertai perkhemahan di Lubuk Gemerang Pasir Raja, Dungun, Terengganu, baru-baru ini membangkitkan pelbagai perasaan.

Pelbagai persiapan dibuat termasuk membeli kelengkapan asas perkhemahan, kerana awal-awal lagi penganjur mengingatkan semua peserta tidur di dalam khemah memberikan ‘hint’ tiada kemudahan selesa seperti percutian di hotel.

Bagi penulis, pengalaman berkhemah ini mengimbau kenangan ketika mengikuti Program Khidmat Sosial Negara (PKSN) sekitar tahun 2003, selain ia memberi kepuasan terhadap hobi meredah hutan ke air terjun di sekitar Selangor, iaitu aktiviti lazim jika ada kelapangan.

Namun, ia jauh lebih menarik kerana untuk ke Terengganu, dari ibu negara penulis menyertai konvoi bersama puluhan pacuan empat roda, sekali gus menjayakan misi tahun ketiga, Kemboree Sahabat 4x4, yang sebelum ini berlangsung di Air Banun, Hulu Gerik, Perak dan Sungai lembing, Pahang.

Perkhemahan di Terengganu ini berhasil menghimpunkan kira-kira 800 pemilik pacuan empat roda dari seluruh pelosok negara.


Pemandangan dari atas nampak kelihatan peserta yang mengikut Konvoi Kemboree Sahabat 4x4 di Pasir Raja Dungun, Terengganu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Melihat keutuhan hubungan lebih 100 persatuan itu yang menyertai perkhemahan mega terdetik di hati betapa eratnya persahabatan mereka.

Lebih menarik masing-masing menyertai perkhemahan itu bersama anak dan isteri.

Bagi peminat pacuan empat roda, kesediaan berkumpul itu bukan sekadar memenuhi jemputan perkhemahan mega, tetapi bagi memberikan sokongan kepada pasukan mereka menyertai pertandingan Full Cabin dan Open Body, yang mempamerkan keberanian peserta mengendalikan jentera masing-masing.

Apa yang menggamit tumpuan, aksi berani mati peserta dan pembantunya melengkapkan cabaran dengan mendapat sorakan gamat ratusan penonton yang sentiasa berdiri di bawah trek mentari pagi di sebalik garisan larangan trek berliku itu.

Pertandingan ini membabitkan lebih 10 pasukan bagi setiap kategori. Ada pasukan yang hilang kelayakan apabila kenderaannya terbalik, melebihi masa pertandingan, keluar daripada garisan trek, jentera rosak hingga tidak boleh dihidupkan, pusingan trek tidak lengkap dan beberapa kriteria lagi.

Dalam kalangan peserta, mereka bukan calang-calang dan bertaraf profesional hingga tampak tenang dan tidak panik meskipun jentera yang dikendalikan tidak mahu ‘naik’ dari cerun curam.


ANTARA trek dan halangan yang perlu ditempuh peserta Kemboree Sahabat 4x4 Malaysia 2018 di Pasir Raja Dungun, Terengganu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mujur ‘marshall’ tidak lokek berkongsi pengetahuan pelbagai panduan termasuk format pertandingan dinilai, selain bercerita pengalaman dan keseronokannya terbabit dalam aktiviti lasak itu.

Sebenarnya, Kemboree ini adalah program berkonsepkan santai dan kekeluargaan yang sering kali dianjurkan untuk penggiat sukan permotoran, malah ramai menyertainya kerana kesesuaian membawa seisi keluarga.

Bahkan aktiviti sebegini seakan menjadi tradisi yang tidak berpenghujung sekali gus memantapkan hubungan serta berkongsi hobi sama tanpa mengira persatuan yang dinaungi.

Menariknya, peserta tidak mengenali latar belakang, bangsa dan batasan negeri.

Pengurus Projek Sahabat 4x4, Khairul Badri Abdul Basit, berkata Kemboree yang pertama hanya membabitkan 100 kenderaan dan kemudian mendapat sambutan dan tahun lalu ia meningkat kepada 430 kenderaan.

“Kita berbangga kerana siri ketiga ini apabila jumlah kenderaan meningkat kepada 800 buah, sekali gus memperlihatkan kesungguhan antara pemilik untuk membawa keluarga berkhemah, selain menyemai rasa cinta terhadap kehijauan alam.


Deretan kenderaan pacauan empat roda bersiap sedia menyertai Kemboree Sahabat 4x4 Malaysia 2018, di Pasir Raja Dungun, Terengganu, baru-baru ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Misalnya tapak perkhemahan seluas empat hektar di sini dibersihkan untuk memuatkan khemah peserta tanpa menjejaskan ekosistem dan deretan pokok untuk memberikan ruang untuk pemasangan khemah. Ini kerana lokasi ini sebenarnya bersempadan dengan Hutan Simpan Sungai Loh.

“Memandangkan program itu bersifat sukarelawan dan tidak bermotif keuntungan, kita hanya mengenakan caj minimum untuk kos baju-T, sementara kos perjalanan ditanggung sepenuhnya peserta atau dikongsi sama rata.

Katanya, penyertaan kali ini dianggarkan melebihi 2,000 orang, di samping ratusan penduduk berhampiran mengambil peluang berniaga atau sekadar hadir menyaksikan dan menyertai program sampingan diadakan.

“Justeru, Kemboree ini juga berjaya menyatukan lebih 100 kumpulan dan Kelab 4x4 untuk bergabung bagi menjayakan satu program besar secara tahunan dan menjadi perhimpunan terbesar pernah dianjurkan dalam kalangan peminat kenderaan pacuan empat roda tanah air,” katanya.

Beliau yang juga pemilik bengkel pengubahsuaian 4x4 dan Studio Kay Advanture, berkata acara itu berkembang apabila mendapat kerjasama dan penajaan dari pihak pihak berkaitan pemotoran dan kerajaan negeri untuk bersama menjayakan penganjuran program.

“Misalnya, UMW menjadi rakan penaja untuk tahun kedua kerana kesesuaian minyak bagi melancarkan jentera terutama memberikan impak besar pada penganjuran di mana satu perlumbaan ‘special stage’ (ss) yang menjadi acara tarikan ramai.

“UMW menaja cabaran “Grantt Challenging Kemboree Sahabat 4x4” dibuka kepada dua kategori, “hard core open kabin” dan “light core”.

“Setiap peserta perlu menghabiskan empat “special stage” yang disediakan penganjur. Sebanyak 37 kenderaan mengambil bahagian kali ini, iaitu 10 untuk kategori “hard core” selebihnya untuk kategori “light core,” katanya.


Ahli keluarga dan orang kampung memberi sokongan kepada peserta Kemboree Sahabat 4x4 di Pasir Raja Dungun, Terengganu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

30 dibaca
Berita Harian X