Ahad, 22 Julai 2018 | 5:39pm
KUALA LUMPUR 20 JULAI 2018. Permandangan indah di pintu masuk Gua Cerita di Langkawi.

Langkawi, Perhentian tumpuan pelancong Eropah, Asia Barat

PULAU Langkawi di Kedah dan Pulau Perhentian di Terengganu antara dua pulau yang menjadi tumpuan pelancong terutama sekitar Jun, Julai dan Ogos, setiap tahun.

Semua pelancong terutama dari Eropah, China, India dan Asia Barat memilih keduadua destinasi ini untuk menikmati keindahan pulau dengan pemandangan mempesona serta terumbu karang.

Faktor cuaca yang panas membuatkan lokasi bukan peranginan seperti Bukit Bintang, Sunway Lagoon, Genting Highlands atau Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dibanjiri pelancong dari Asia Barat yang menghabiskan cuti musim panas ke negara ini yang juga destinasi popular tetamu Asia Barat.

Kos pakej yang berpatutan antara faktor ramai pelancong memilih kedua-dua destinasi ini.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Industri Pelancongan Langkawi, Ahmad Phisol Ishak, sememangnya musim panas seakan lubuk rezeki kepada pengusaha pelancongan tempatan, berikutan pelancong domestik hanya pengunjungi pulau berkenaan terutama pada hujung minggu.

"Tiga bulan ini dianggap 'musim Arab', menjadikan pulau peranginan untuk bercuti bulan madu atau bersama keluarga, berikutan tukaran mata wang rendah berbanding ke negara Eropah.

"Meskipun dianggap'musim Arab', pelancong dari China dan India tidak kurang ramainya. Pengusaha pakej pelancongan, syarikat penerbangan dan penyedia kemudahan pengangkutan bersedia berhadapan dengan permintaan yang tinggi ketika ini," katanya.

Beliau yang berkecimpung dalam bidang pelancongan sejak 1988, berkata Langkawi mempunyai keunikan tersendiri meskipun destinasi lain menawarkan percutian di pulau.

"Misalnya September ini, kami bersedia menjadi penganjur terbaik Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Travel Mart 2018.

"Acara ini dijadual penghimpunkan 3,000 peserta industri dari seluruh dunia, sekali gus menonjolkan tarikan pelancongan sedia ada," katanya.

Pusat kraf, gamat Sebagai penyedia pakej sedia ada Ahmad Phisol, berkata pelancong ke Langkawi bukan sekadar menikmati keindahan pulau, malah lawan ke pusat kraf tangan dan perusahaan membuat minyak gamat juga dimuatkan dalam pakej pelancongan.

Beliau berkata, pihaknya berharap Tourism Malaysia mengembalikan promosi tiket penerbangan terus, selain Malaysia Airlines menawarkan penerbangan tambahan bagi memenuhi pertambahan penumpang.

Tidak dinafikan katanya, pulau peranginan menjanjikan sejuta kepuasan dengan hamparan pasir memutih, air laut tenang bergelora dan redup dengan pepohon kelapa yang menjulang tinggi.

Bagi pencinta pantai, banyak pilihan berbaloi ditawarkan berikutan negara ini mempunyai ratusan pulau mendamaikan, mudah dikunjungi dan menyediakan panorama mengasyikkan.

Begitu juga dengan di Terengganu, Laporan Tourism Malaysia menyatakan pelancong bukan sekadar berkunjung ke pulau semata-mata antaranya Pulau Kapas dan Pulau Redang, namun mereka turut disajikan dengan kelazatan sajian istimewa makanan tradisional.

Industri makanan tempatan antaranya keropok lekor, sata, sate, nasi kerabu dan nasi dagang, menawarkan pelancong dengan pakej hebat.

Semua produk pelancongan antaranya industri tenun juga dimanfaatkan sebagai produk yang dapat menarik perhatian pengunjung.

Langkawi, Perhentian tumpuan pelancong Eropah, Asia Barat → Pilihan utama destinasi percutian musim panas, nikmati keindahan pantai, pulau peranginan Fakta nombor Statistik kemasukan pelancong

48 dibaca
Berita Harian X