Ahad, 10 Jun 2018 | 9:55am
Nadhirah juga seringkali berkunjung ke tanah suci Makkah bersama rombongan rakan lain.

Kembara Ramadan

SUDAH menjadi tradisi setiap kali menjelang Ramadan, tiga beranak ini tidak sesekali mahu melepaskan peluang menikmati kembara Ramadan di bumi paling di rindui umat Islam, Makkah al-Mukaramah.

Bagi mereka, beribadat pada bulan yang menjanjikan pahala berlipat kali ganda itu lebih dirasai kenikmatannya apabila berada di bumi kelahiran Nabi Muhammad.

Nadhirah Mohd Noor, 30, bersama ibu, Norhayati Ibrahim, 61, dan bapanya Mohd Noor Haron, 71, berkata Ramadan di sana lebih meriah dan sentiasa merasa cemburu dengan jemaah dari seluruh dunia yang berlumba-lumba mengajar pahala.

"Sejak 2006 hingga kini, setiap kali Ramadan, mak dan ayah akan membawa saya mengejarkan umrah. Kali pertama berpuasa di negara luar khususnya Makkah dan Madinah saya sudah mula jatuh cinta dengan suasana yang cukup berbeza dengan negara kita.

"Manusia dari seluruh dunia berkumpul di sana dan berlumba-lumba melakukan kebaikan.

"Apatah lagi ketika melakukan solat tarawih sesiapa saja akan merasa syahdu mendengar bacaan dari imamnya membuatkan kita khusyuk sehingga meninggalkan kesan dalam diri, tanpa sedar air mata kita juga boleh mengalir," katanya yang sentiasa rindu untuk mengunjungi Tanah Haram," katanya.


Nadhirah (kiri) bersama ibu dan bapanya ketika melawat Baitulmaqdis.

Perbezaan ketara

Beliau berkata, mereka yang baharu saja pulang mengejarkan umrah minggu lalu menganggap banyak perbezaan yang dapat dirasakan berbanding tanah air sendiri.

Anak tunggal pasangan itu berkata, kesederhanaan ketika berbuka puasa membuatkan diri lebih selesa, tenang dan khusyuk untuk melakukan ibadat.

"Di negara sendiri apabila bercerita mengenai Ramadan, biasanya kita akan membayangkan kemeriahan juadah berbuka puasa, manusia berlumba-lumba berniaga makanan di bazar.

"Sebaliknya di sana apabila kita tidak memikirkan mengenai juadah berbuka kerana kurma, laban (susu) atau air zam zam sudah mencukupi untuk berbuka.

"Selepas tarawih biasanya baharu kita akan mencari makan yang lebih berat seperti nasi.

"Walaupun makanan di sana tidak menepati selera orang kita tetapi katering yang disediakan pihak agensi umrah dengan mengambil tukang masak Indonesia banyak membantu," katanya.


Suasana orang ramai menunggu waktu berbuka puasa di masjid Al-Madinah.

Hiba 10 Ramadan terakhir

Beliau yang beberapa kali menyambut Aidilfitri di Makkah, berkata cabaran utama berpuasa di sana cuaca sangat panas berbanding bulan biasa sehingga membuatkan cepat dahaga, namun itu ujian yang perlu ditempuhi.

Bagi Nadhirah, kembara Ramadannya banyak mengajar erti kesabaran dalam melakukan ibadat terutama dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Ramadan menimbulkan rasa cemburu apabila melihat manusia berlumba-lumba melakukan amal jariah dan bersedekah setiap hari menjelang waktu berbuka puasa.

Malah, pada 10 malam terakhir Ramadan suasananya lebih hiba dan sayu apabila ramai yang mengambil keputusan tidak tidur dan mengambil peluang melakukan Qiamullail serta melipat kali gandakan ibadat sehingga menjelang 1 Syawal.

14 dibaca
Berita Harian X