Ahad, 22 April 2018 | 3:55pm
PEMINAT kenderaan lasak ATV beriadah di hutan Tasik Puteri, Bukit Besi, baru-baru ini. - Foto NSTP

'Mandi lumpur Bukit Besi'

BAGI mereka yang pernah ke Dungun, Terengganu pasti mendengar nama Tasik Puteri Bukit Besi, lokasi yang sering diperkatakan terutama dalam kalangan penduduk tempatan.

Sebenarnya apa yang ada di sana selain daripada bekas lombong besi dan tasik yang membiru airnya. Lebih mendamaikan angin bertiup menyapa tubuh pengunjung membuatkan hati teruja apabila berada di sama.

Tasik ini terjadi kesan daripada aktiviti perlombongan bijih besi. Pada keluasan 131 hektar, tasik bertukar menjadi pusat rekreasi bagi penduduk sekitar.

Di tebing sebelah barat tasik ini terdampar indah menghijau kawasan padang golf iaitu Kelab Golf Bukit Besi (KGBB). Bersebelahannya hutan tropika yang menyimpan rahsia ribuan flora dan fauna, pastinya menggamit pengunjung menerokainya.

Di situ juga ada laluan lori balak yang bersimpang-siur, kini dijadikan trek untuk peminat kenderaan pelbagai laluan rupa muka bumi (All terrain vehicle - ATV) melakukan rekreasi.


ALAH bisa tegal biasa, peminat ATV pasti basah kuyuh dan kotor apabila melalui laluan berlumpur. - Foto NSTP

BADUL Husna mengendalikan ATV ketika melalui trek mendaki di hutan Bukit Besi, Dungun. - Foto NSTP

Redah hutan belukar

Peminat tegar ATV, Badul Husna Osman, 51, menjadikan aktiviti menunggang ATV di hutan berkenaan sebagai hobi hujung minggu.

Semuanya dek kerana sering melakukan aktiviti lasak ketika usia kanak-kanak, terbawa-bawa hingga ke hari ini tetapi caranya berlainan.

Jika dahulu cakap saja di mana ada hutan belukar, anak sungai, lubuk atau paya di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, sudah pasti diredah Badul Husna bersama rakan-rakannya.

Tidak cukup dengan itu, basikal tua datuknya menjadi mangsa digunakan meredah laluan berselut, menyebabkan dia dibelasah teruk gara-gara basikal berkenaan kotor.

"Saya terpaksa pendamkan cita-cita suatu hari nanti memiliki basikal lasak untuk aktiviti yang disukai. Agak lama juga, sebelum menemui ATV dan tertarik untuk mencuba.

"Kenderaan empat tayar dan mempunyai pemegang motosikal itu ternyata mengujakan. Kali pertama mengendalikannya, nyaris tidak masuk laut kerana ketika ini beroperasi di tepi pantai di Paka, Terengganu.

"Itu kisah tujuh tahun lalu ketika mula berjinak-jinak dengan ATV. Namun, lama-kelamaan saya mampu mengendalikan dengan baik walaupun pada kelajuan tinggi," katanya kepada BH.

Badul Husna berkata, kini hampir setiap hujung minggu beliau bersama anaknya menyertai aktiviti lasak ATV berkenaan dan tidak menjadi masalah kerana beliau ahli kelab CRC Eco & Aqua Sport Services (CEAS), berpangkalan di Paka.


BADUL Husna (kiri) sedang mengawasi seorang peminat ATV mengendalikan kenderaan berkenaan di laluan berlumpur. - Foto NSTP

"Dua tiga jam kami meredah laluan berbukit, anak sungai dan berlumpur. Sebelum menunggang ATV pakaian semuanya cantik, apabila keluar hutan pastinya basah kuyup, berlumpur dan koyak rabak.

"Kalau pakaian cantik bersih tiada 'feel', jadi saya mencari laluan berlumpur atau anak sungai untuk diredah. Ia sekali gus memberi pengalaman mengendalikannya," katanya.

Insiden paling diingati apabila terjatuh ke dalam belukar ketika menaiki laluan mendaki 45 darjah di hutan Tasik Puteri, Bukit Besi. Koyak rabak seluar Timberland yang baru seminggu dibeli. Manakala, lengan dan kaki luka-luka.

"Nak katakan serik.. jauh sekali. Minggu depan sekali lagi saya masuk dengan laluan yang lebih mencabar, termasuk anak sungai berbatu.

"Kali ini habis baju basah kuyup. Bagi peminat aktiviti lasak, laluan mencabar memang dicari bagi menguji kemahiran dan kepakaran mereka," katanya.


PENUNGGANG ATV terpaksa menunggu giliran melalui trek sempit. - Foto NSTP

Tempuh laluan lasak

Selain menunggang ATV orang ramai dapat melihat kehijauan hutan Tasik Puteri dan menghirup udara segar. Beliau sering mengingatkan anak-anak supaya memelihara alam sekitar dan betapa pentingnya menjaganya untuk tatapan generasi akan datang.

"Kalau boleh jangan merosakkan flora dan fauna yang ada, sebaliknya menggunakan laluan sedia ada ketika menunggang ATV. Pakai topi keledar dan alat keselamatan bagi mengelakkan kesan kecederaan parah jika berlaku kemalangan," katanya.

Mengenai cabaran menunggang ATV di tepi pantai berbanding di dalam hutan, Badul Husna mengakui di dalam hutan lebih mencabar.

"Di tepi pantai, pasir sahaja yang menjadi halangan apabila tayar sukar hendak mencengkam trek. Tetapi di dalam hutan, banyak halangan termasuk trek mendaki, menuruni lurah, meredah anak sungai berbatu, laluan berlumpur.

"Hanya mereka yang cekap mengendali ATV mampu menempuhnya. Jika tidak terperosok ke dalam lurah atau jatuh ke dalam lumpur atau air. Bagi mereka yang kurang mahir akan diajar teknik mengendalikannya dengan sempurna," katanya.


TASIK Puteri Bukit Besi sedia laluan mencabar peminat ATV. - Foto Google

INFO

  • Tasik Puteri bersempadan Kampung Dikinson di sebelah utara.
  • Kira-kira 3 kilometer (km) dari bandar Bukit Besi, menghala ke Kuantan melalui jalan Jerangau - Jabor.
  • Tasik Puteri Bukit Besi terletak kira- kira 100 km dari Kuala Terengganu dan 200 km dari Kuantan menggunakan jalan Jerangau - Jabor.
  • Jaraknya dari bandar Dungun sekitar 33 km dan mengambil masa 30 minit
46 dibaca
Berita Harian X