Khamis, 24 Oktober 2019 | 9:00am
UPIN & IPIN: Keris Siamang Tunggal semakin agresif mengharumkan nama di pentas antarabangsa. Foto Ihsan Les’ Copaque Production.

Filem Upin & Ipin bawa cabaran negara di AAA 2019

KUALA LUMPUR: Filem animasi terbitan Les’ Copaque Production, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal melakar satu lagi pencapaian apabila terpilih mewakili negara untuk bersaing pada kemuncak Asian Academy Creative Awards 2019 (AAA) bagi kategori Filem Cereka Terbaik.

Bakal berlangsung di Singapura pada 5 Disember ini, Ketua Pegawai Eksekutif Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, pencapaian itu membakar semangat mereka untuk terus mengharumkan nama negara.

“Semestinya, kami gembira apabila produksi ini diangkat sebagai Filem Cereka Terbaik Malaysia, sekali gus terpilih mewakili negara pada kemuncak acara itu.

“Kami berdoa rezeki menyebelahi Les' Copaque kerana filem ini dihasilkan dengan penuh teliti. Kami juga mengutamakan kualiti, terutama dari segi jalan cerita,” katanya.

Menerusi kategori itu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal bersaing dengan 15 filem lain dari rantau Asia, termasuk Australia dan New Zealand bagi merebut trofi emas.

Terdahulu, filem popular itu turut tersenarai antara 32 calon bagi kategori Filem Animasi Terbaik pada Anugerah Academy Ke-92.

Sebelum itu, Upin & Ipin mencipta kejayaan pada Festival Filem Animasi Antarabangsa (Animaze) di Montreal, Kanada apabila memenangi Filem Cetera Terbaik.

Menurut Burhanuddin, kejayaan demi kejayaan yang diraih Upin & Ipin membuatkan mereka teruja menyertai pelbagai festival filem pada peringkat antarabangsa.

“Bagi saya, filem dihasilkan bukan untuk persaingan, sebaliknya ia adalah naskhah seni yang dibikin mengikut kehendak penonton.

“Dalam menghasilkan filem, saya mengutamakan produksi yang menonjolkan budaya negara, selain mempunyai mesej yang baik. Sebagai penerbit, kita perlu menghasilkan jalan cerita yang penonton suka dan bukan syok sendiri.

“Melihat potensi Upin & Ipin meraih kejayaan lebih besar, membuatkan kami yakin untuk menyertai pelbagai festival di luar negara.

“Filem ini juga tersenarai sebagai finalis Filem Cereka Animasi Terbaik, Festival dan Ekspo Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada 14 dan 15 Disember ini.

“Sebelum ini, ia terpilih untuk ditayangkan di ASEAN Cinema Week di Korea Selatan, Oktober lalu. Keyakinan saya bertambah untuk mencuba pada Anugerah Oscar pula dan Alhamdulillah, ia tersenarai antara 32 calon kategori Filem Animasi terbaik,” katannya.

Terdahulu, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang ditayangkan pada Mac lalu meraih kutipan pecah panggung dengan lebih RM26 juta.

Berita Harian X