Rabu, 4 September 2019 | 9:00am
TONGGAK utama filem Sangkar, Zul Ariffin (kiri), Mira Filzah dan Remy Ishak. - NSTP/Rohanis Shukri

Sangkar raih hampir RM5 juta lima hari tayangan

KUALA LUMPUR: Filem aksi, Sangkar, arahan Kabir Bhatia mencatat kutipan hampir RM5 juta selepas lima hari tayangan.

Jumlah berkenaan adalah hasil tayangannya di tiga negara, Malaysia, Singapura dan Brunei, mulai 29 Ogos lalu.

Karya hasil kerjasama Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment itu turut menyaksikan tiket bagi 107 slot tayangan di pawagam tempatan habis ditempah pada 1 September lalu.

Dibintangi oleh Remy Ishak, Zul Ariffin, Mira Filzah, Ray, Nik Adam Mika, Aman Graseka, Carliff Carleel dan Andy Teh, ia juga menampilkan atlet tinju profesional seni pertahanan diri campuran (MMA), James ‘Sledgehammar’ Mcsweeney.

Mengulas mengenai wataknya, Remy berkata, menjayakan karakter lelaki lumpuh dan hanya bergerak menggunakan kerusi roda bukan cabaran yang mudah.

Justeru, dia memilih untuk membataskan pergaulan ketika di set penggambaran bagi memastikan watak Johan lakonannya meninggalkan kesan mendalam.

“Membawakan watak lelaki cacat akibat kemalangan bukan senang, apatah lagi apabila ekspresi wajah memainkan peranan penting dalam lakonan dek pergerakan tubuh yang terbatas. Jadi, saya melakukan kajian sebelum menjayakan watak berkenaan.

“Bagi mendalami emosi dan meneruskan momentum penggambaran, saya memilih untuk terus berada di lokasi ketika kru serta barisan pelakon ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka.

“Saya juga berlatih minum sambil baring dan duduk di kerusi roda, supaya tidak kelihatan kekok apabila melakukannya. Di samping itu, saya banyak merujuk kepada pengarah dan penerbit kerana mereka lebih tahu mengenai watak yang dihasilkan,” katanya yang menambah berat badan antara 85 hingga 90 kilogram untuk menghidupkan karakter itu.

Sementara itu, Mira menjelaskan dia tidak kekok melakonkan watak adik Remy walaupun pernah digandingkan sebagai pasangan kekasih. Lebih-lebih lagi Sangkar adalah permulaan kerjasama mereka di layar.

“Saya tidak kekok berlakon dengannya. Seseorang pelakon adalah profesional dan boleh menjayakan apa sahaja watak diamanahkan ke bahunya. Lagipun, filem ini adalah gandingan sulung kami dan hanya selepas itu barulah saya dan Remy digandingkan dalam drama.

“Dalam Sangkar, Remy berlakon sebagai abang saya dan sudah tentu pendekatannya berbeza. Dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan pula, kami berpasangan sebagai hero dan heroin. Hampir seminggu juga saya ambil masa untuk mendapatkan keserasian,” kata Mira.

2367 dibaca
Berita Harian X