Isnin, 12 Ogos 2019 | 9:00am
Dr Zulkifli menjelaskan keputusan berhubung siaran telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi dijangka dibuat selewat-lewatnya, dua minggu lagi.

'Tayang atau tidak, dua minggu lagi'

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi yang didakwa mengangkat tema lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGTB) di pusat tahfiz, lulus untuk tayangan, bakal diketahui, selewat-lewatnya, dua minggu lagi.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kajian lebih terperinci dan pandangan pihak lain perlu diperoleh sebelum keputusan dibuat.

“Insya-Allah... Kita akan umumkan keputusan pada awal minggu. Kita jangka selepas minggu sambutan Aidiladha. Paling lewat Isnin atau Selasa pada minggu berikutnya.

“Saya akan beri jawapan secara bertulis, ambil kira pendapat semua yang ada. Ini kerana kami lihat (pengisian drama ini) daripada sudut negatif.

“Tidak adil kalau kita puji semua dan tak adil jika kita kritik semua,” katanya kepada BH Online.

Dr Zulkifli sebelum ini bertemu wakil produksi telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi, Prokuya Studios Sdn Bhd.

Syarikat itu diwakili pasangan suami isteri, Fadzil Zahari dan Yana Samsudin merangkap penerbit serta penerbit eksekutif telefilem kontroversi itu.

Difahamkan, dalam perjumpaan yang turut dihadiri beberapa wakil agensi lain, prebiu telefilem lakonan Shafie Naswip sebagai watak utama itu, turut dikendalikan.

Antara yang hadir termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Ahmad Syukri Yusoff; Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Dailami Che Age dan Pengerusi Institusi Tahfiz Selangor, PU Hafiz.

Sebelum ini, Demi Tuhan Aku Bersaksi mencetuskan polemik apabila gambar babak di mana Shafie yang melilit tuala di kepala membelakangi seorang lelaki, tersebar, serta dakwaan wujud adegan liwat dalam pusat tahfiz.

Netizen kemudian mengkritik penerbit hingga mengecop mereka sebagai ahli neraka disebabkan tuduhan memburuk-burukkan imej pusat tahfiz.

Malah, petisyen menghalang RTM menyiarkan telefilem berkenaan diwujudkan di laman Facebook. Telefilem itu sepatutnya menemui penonton, awal bulan depan.

Demi Tuhan Aku Bersaksi berkisar keinsafan seorang individu yang berusaha meninggalkan dunia lama yang disifatkan ‘hanyir’.

Dia kemudian memasuki sebuah pusat tahfiz tetapi penerimaan segelintir penuntut menyakitkan sehingga individu terbabit berdepan cacian dan penghinaan.

Berita Harian X