Rabu, 17 Julai 2019 | 1:00pm
Filem Sangkar yang dibintangi Zul, Mira dan Remy mula menemui penonton pada 29 Ogos depan. Foto Rohanis Shukri

Empat syarikat gabung promosi Sangkar

KUALA LUMPUR: Filem Sangkar dibintangi Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah bakal dipromosikan secara besar-besaran hasil pakatan strategik empat syarikat.

Sangkar yang diterbitkan Infinitus Gold dan MM2 Entertainment, menjalin kerjasama dengan Primeworks Studios dan Astro Shaw dalam mempromosi dan memasarkan karya arahan Kabir Bhatia itu.

Primeworks Studios yang memiliki reputasi sebagai penerbit program televisyen (TV), kandungan, pengedaran dan pemasaran filem termasuk animasi, turut menjadi pemegang saham terbesar dalam projek filem Sangkar.

Pengarah dan Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, kerjasama empat syarikat mampu memastikan Sangkar yang memaparkan seni mempertahankan diri campuran (MMA), dipromosikan secara besar-besaran.

“Syarikat kami mencetuskan inisiatif ini yang menarik minat Primeworks Studios, MM2 dan Astro Shaw.

“Gabungan ini saya sifatkan sangat sihat kerana ramai orang tahu Primeworks Studios dan Astro Shaw sudah kukuh sebagai pemasar filem terbaik di negara kita.

“Kerjasama seperti ini sudah lama dipraktikkan di luar negara yang sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan pelaburan pelbagai syarikat,” katanya kepada BH Online.

Gayathri berkata, Sangkar yang mula ditayangkan pada 29 Ogos depan, berbeza dengan kebanyakan naskhah lain yang disajikan kepada penonton.

“Saya boleh katakan Sangkar adalah filem anti hero. Hero utama penuh kelemahan seperti nakal dan bermulut jahat. Tapi mahu berubah menjadi baik. Ada juga unsur ‘bromance’ (hubungan rapat dua lelaki) dipaparkan dalam filem ini.

“Pelakon yang ditampilkan ibarat senarai impian. Idea dan konsep cerita bermula daripada Zul ketika membintangi filem J Revolusi.

“Jadi watak utama ditulis untuk Zul. Seorang lagi hero diperkenalkan selepas kita lihat Remy mampu mengimbanginya,” katanya.

Mengenai sasaran kutipan pula, Gayatri berharap Sangkar mencapai pungutan pecah panggung.

“Jika dilihat, kadar kutipan pecah panggung sudah berubah. Ada filem yang mengaut lebih RM40 juta dianggap berjaya.

“Kalau diikutkan, andai dapat RM10 juta sudah dianggap pecah panggung,” katanya.

Majlis pelancaran filem Sangkar disempurnakan di Petaling Jaya, semalam dengan penyanyi rap, Aman Ra mendendangkan single Fighter yang menjadi lagu tema filem terbabit.

Yang turut hadir adalah Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Nor Shahila Harun Shah; Naib Presiden merangkap Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad dan wakil MM2.

Sangkar yang memulakan penggambaran tahun lalu, turut menampilkan Aman Graseka dan Fadlan Hazim. Turut berlakon peninju profesional, James ‘Sledgehammer’ Mcsweeney, Saiful Merican, Rashid Salleh, Peter Hugh Davis dan Terry Gallyot.

787 dibaca
Berita Harian X