Sabtu, 13 Julai 2019 | 1:00pm
FILEM aksi pengembaraan edaran Primeworks Studios, Kingdom, bakal ditayangkan mulai 18 Julai ini. - Foto ihsan Primeworks Studios

Kingdom papar cerita, kesan khas mengagumkan

KUALA LUMPUR: Mengangkat nilai persahabatan dan kesetiaan sebagai tema utama, filem arahan Shinsuke Sato, Kingdom, mampu menarik penggemar siri Manga untuk berkunjung ke pawagam apabila ia mula ditayangkan pada 18 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, kali pertama menontonnya, dia terpesona mengikuti jalan cerita karya bercorak aksi dan pengembaraan itu.

“Ketika menonton Kingdom buat kali pertama, saya terpegun dengan jalan ceritanya yang dikira berbeza daripada filem aksi pernah menemui penonton, sebelum ini. Kemudian barulah saya dimaklumkan, ia adalah karya yang diangkat daripada siri Manga dan diarahkan pula oleh sutradara popular dengan animasi Jepun.

“Selain tertarik dengan aksi pelakon ketika melakonkan babak bertempur, imej janaan komputer (CGI) mereka juga sangat berkualiti, terutama adegan peperangan membabitkan puluhan ribu tentera.

“Jujurnya, saya akui, bukan mudah untuk menukar persepsi orang ramai mengenai filem Kingdom. Namun, kita berani mengambil risiko untuk membuka mata masyarakat terhadap karya hebat ini,” kata Izham.

Katanya juga, Primeworks selaku pengedar filem itu tidak sabar untuk berkongsi naskhah menghiburkan berkenaan bersama khalayak.


KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar. - NSTP/Rohanis Shukri

Kingdom berkisar mengenai seorang anak muda yatim piatu, Shin (lakonan Kento Yamazaki) yang bercita-cita untuk keluar daripada kancah kemiskinan sebagai hamba dan menjadi seorang jeneral.

Shin bertemu dengan pemuda yang ditakdirkan bakal menjadi Maharaja Qin, Eisei (Ryo Yoshizawa). Dia mampu membantu Shin dalam mencapai impiannya.

Mereka bersama-sama berusaha mendapatkan takhta Eisei dan menyatukan semua wilayah yang berperang.

Selain Yamazaki dan Yoshizawa, filem yang berlatarkan zaman purba China ini juga dibarisi pelakon hebat lain seperti Masami Nagawasa, Kanna Hashimoto, Kanata Hongo dan Takao Osawa.

Berita Harian X