Sabtu, 4 Mei 2019 | 9:00am
KETUA Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid. - Foto Zunnur Al Shafiq

Filem Ejen Ali temui penonton hujung 2019

KUALA LUMPUR: Filem Ejen Ali: The Movie menggunakan kepakaran 80 pereka animasi dan pelukis grafik tempatan bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid, berkata penambahan watak dan perincian latar membuatkan pihaknya menggandakan usaha bagi membolehkan naskhah itu ditayangkan, akhir tahun ini.

“Pereka kami bertungkus lumus menyempurnakan tugasan masing-masing dalam menghasilkan watak sedia ada, selain menambah kemunculan karakter baharu termasuk antagonis, ejen dan pemimpin bandar Cyberaya.

“Sudah pasti Wau Animation cukup teliti, baik dari segi lakaran watak, perincian pergerakan setiap karakter, aturan babak, latar dan pelbagai aspek lain dalam menghidupkan animasi ini di layar perak.

“Setiap elemen memerlukan proses panjang, malah kerja praproduksi filem ini sudah dimulakan sejak dua tahun lalu, terutama membabitkan lakaran. Kita mahu filem ini sama tahapnya dengan produk keluaran syarikat antarabangsa seperti Pixar, ‎Walt Disney Pictures dan Sony Pictures Animation,” katanya mengenai animasi berbajet RM6 juta itu.

Produksi yang direalisasikan dengan kerjasama Primework Studios itu mensasarkan kutipan RM20 juta hasil tayangan di kira-kira 120 pawagam.

Filem berdurasi 90 minit terbabit memaparkan kisah pengembaraan Ejen Ali dan rakan seperjuangan dalam menangkis ancaman baharu yang membawa kemusnahan kepada bandar Cyberaya.

Selain tayangan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, pihak penerbit turut mengintai pasaran beberapa negara lain.

Terdahulu, siri animasi Ejen Ali mula mendapat tempat dalam kalangan negara jiran apabila ditayangkan di 50 negara dengan pasaran terbaru, United Kingdom.

436 dibaca
Berita Harian X