Jumaat, 19 April 2019 | 7:51pm
PENGARAH Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi (dua dari kiri), Gobind Singh Deo (tengah), Hans Isaac (kanan) dan wakil pengedar China, Xu Xun Bing serta Pengarah Les' Copaque Ltd, HK, Yoong Xin Xuan (dua dari kanan) pada majlis menandatangani persefahaman pengedaran filem Upin & Upin: Keris Siamang Tunggal ke China, di ibu negara, hari ini. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Lebih 10,000 pawagam tayang Upin & Ipin di China

KUALA LUMPUR: Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mencipta rekod tersendiri apabila bakal ditayangkan di lebih 10,000 pawagam di seluruh China, menjelang pertengahan tahun ini.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata kejayaan filem itu menembusi pasaran negara terbabit membuktikan sentuhan anak tempatan setanding produk antarabangsa.

"Hari ini bukan sekadar detik bersejarah buat kami, malah seluruh industri perfileman tempatan sebaik sahaja kerjasama strategik Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dimeterai.

"Difahamkan, setakat ini kira-kira 1,000 pempamer di China menyatakan persetujuan menayangkan filem terbabit dengan jumlah pawagam di semua wilayah dianggarkan melebihi 10,000.

"Selepas filem, pengedar di negara itu turut berminat membawa masuk siri animasi karakter comel ini pula untuk siaran televisyen mereka," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman bersama syarikat pengedar China, di sini hari ini.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai Burhanuddin yang mewakili Les’ Copaque bersama Timbalan Pengarah Cultural Investment Holding Co Ltd, Zhang Ai Hong.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Gerald Hans Isaac.

Zhang memaklumkan, sebanyak RM6.18 juta diperuntukkan syarikat berkenaan bagi tujuan promosi filem terbabit.

Terdahulu, animasi itu mencatat sejarah apabila memungut RM25 juta hanya dalam tempoh 21 hari tayangannya di pawagam, dengan jumlah penonton mencecah dua juta orang.

Ia turut meraih kutipan tertinggi di pawagam tempatan, sekali gus menewaskan judul animasi antarabangsa, Incredibles 2.

Bersama kos penerbitan hampir RM20 juta, filem itu muncul sebagai judul animasi termahal di Malaysia, selain menggunakan kepakaran anak tempatan sepenuhnya.

Sementara itu, kata Burhanuddin lagi, kemasukan filem yang menggunakan judul Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris ke China turut melebarkan peluang Les' Copaque membuka taman tema khusus untuk karakter terbabit di republik berkenaan.

"Pembinaan taman tema Upin & Ipin ini sudah lama dirancang, malah kami tidak menyangka pihak negara terbabit tertarik dengan pelan berkenaan. Jika tiada aral, mungkin ia akhirnya dapat direalisasikan," katanya.

Selain China, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut dijadualkan menemui penonton di Vietnam pada 26 April ini, disusuli Indonesia mulai 9 Mei depan.

Gobind pula berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian animasi terbabit yang diharap menggalakkan lagi usaha sama dua negara pada masa akan datang.

"Kerajaan melihat langkah agresif ini mampu menyuntik semangat syarikat produksi tempatan lain untuk berani memasarkan filem mereka di luar negara atau menjalin kerjasama dari segi penerbitan," katanya

2574 dibaca
Berita Harian X