Isnin, 15 April 2019 | 8:11pm
Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal menggunakan kreativiti 100 peratus anak tempatan. Foto NSTP Intan Nur Elliana Zakaria

Eksklusif: Siri Satu Insan Kreatif di Sebalik Filem Animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal

KUALA LUMPUR: Mengaut RM25 juta selepas tiga minggu tayangan dan mencipta rekod sebagai filem animasi mencatat jualan tiket tertinggi yang pernah dipegang Incredibles 2 terbitan Hollywood, bukanlah calang-calang.

Dihasilkan pada kos RM20 juta, filem animasi terbaru, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal keluaran Syarikat Les’ Copaque Production Sdn Bhd ternyata meletakkan penanda aras baharu dunia sinematik tempatan terutama karya animasi. Lebih membanggakan, filem ini didukung 100 peratus anak tempatan dalam kerja produksinya.

Dibikin dalam tempoh lima tahun, iaitu lebih lama daripada tempoh menghasilkan filem sebelum ini, Upin & Ipin : Geng Pengembaraan Bermula yang mengambil masa tiga tahun, edisi terbaru filem pasangan kembar comel ini ‘bernafas’ atas sokongan peminat setia.

Ini diakui dua sutradara yang juga bertindak sebagai pengarah kreatif Les’ Copaque Production iaitu Ahmad Razuri Roseli, 34, dan Adam Amiruddin, 32, yang mula menggerakkan kerja produksi seawal 2013.

Ahmad Razuri memberitahu, sokongan penonton adalah faktor kejayaan filem terbaru Upin & Ipin selepas lima tahun bertungkus lumus menghasilkannya.

“Kalau diikutkan, lima tahun adalah tempoh panjang. Jika hendak difikirkan, sekiranya durasi lebih pendek, mungkin kami boleh menghasilkan lebih banyak filem.

“Namun, kami mengambil masa lima tahun kerana mengutamakan kualiti daripada segi penceritaan, grafik dan keseluruhan pakej. Kalau nak dibandingkan dengan filem terdahulu, banyak benda baharu yang kami terapkan dalam versi terbaru ini,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Razuri berkata, semua aspek dalam pembikinan filem berkenaan dibangunkan kumpulan produksi sendiri.

“Sebab itulah, filem ini membabitkan kos dan masa. Jika hendak diikutkan, kami boleh melantik tenaga luar untuk menyiapkannya, sekali bayar saja mereka boleh siapkan.

“Sudah pasti ini boleh menjimatkan kos. Tapi kalau kami buat begitu, modal insan membabitkan anak tempatan akan berkurangan,” katanya ditemui di studio animasi Les’ Copaque, baru-baru ini.

Tambah Ahmad Razuri, sebahagian daripada kos RM20 juta diperuntukkan untuk menggaji 140 kakitangan termasuk pelukis grafik serta animasi selain kos untuk bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Bagi kami, majikan iaitu Penerbit dan Pengarah Urusan, Burhanuddin Burhanuddin Md Radzi adalah produser yang berani menanggung risiko.

“Siapa mahu bagi wang sebanyak RM20 juta begitu senang? Perbelanjaan itu banyak dihabiskan untuk proses R&D,” katanya.

Ahmad Razuri teringat bagaimana perbincangan pada peringkat asas, lima tahun lalu, sudah mencapai tahap yang disifatkannya, kritikal.

“Perbincangan bukan hanya membabitkan seorang penulis skrip tetapi ramai. Kami masih ingat untuk filem ini, hampir setiap malam kami berbincang di pejabat.

“Bergaduh sudah dianggap normal kerana kami mahu skrip yang bagus. Jiwa sesebuah filem terletak kepada skrip, sekiranya bermasalah, jadi ‘problem’ bagi keseluruhan proses pembikinan,” katanya.

Ahmad Razuri menjelaskan, selepas penghasilan skrip, pihak produksi akan memasukkan audio dan dihantar kepada pelukis untuk menyiapkan konsep dan papan cerita.

“Daripada situ, ia kemudian dihantar kepada bahagian animasi. Mereka akan menggerakkannya melalui audio dan cerita yang diberi. Akhir sekali, barulah disusuli proses memasukkan rupa dan warna,” katanya menjelaskan secara umum proses penghasilan fikem berkenaan.

Ahmad Razuri berkata, setiap proses berpandukan jangkamasa diberi dengan petugas diingatkan mematuhi ‘deadline’.

“Jadi, disiplin amat penting untuk bekerja dalam pasukan produksi animasi,” katanya.

Ketika BH Online berkunjung ke studio animasi Les’ Copaque di Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini, suasananya sungguh senyap.

Mengapa tidak, masing-masing memberi tumpuan kepada kerja. Namun, apabila didekati, mereka sangat mesra bagai sebuah keluarga besar.

“Kami seperti diberi stigma, kononnya kerja dalam dunia produksi animasi, mesti balik lewat atau kerja lebih masa. Kalau kita mahu menjadikan kerja apa sekalipun sebagai karier, kita perlukan jadual yang stabil.

“Seperti yang dikatakan Tuan Haji Burhanuddin, dia mahukan jadikan Les’ Copaque sebagai landasan untuk anak muda menjadikan apa yang dilakukan sebagai karier yang mampu menjana pendapatan.

“Jadi, beliau menerapkan disiplin dalam diri kami sejak awal lagi. Ketika saya belajar dulu, saya ada melawat studio Les’ Copaque. Tidak dinafikan, persepsi saya sama ketika itu.

“Tapi apabila sudah bekerja di syarikat ini, ternyata semuanya tidak benar sama. Semuanya terpulang kepada kita bagaimana hendak menguruskan kerja,” katanya.

Menyertai keluarga Les’ Copaque selepas tamat belajar di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam jurusan animasi, Ahmad Razuri tidak menyesal memilih syarikat produksi yang diasaskan sejak 2005 itu, sebagai pilihan.

Tambah lagi, selepas kejayaan filem pertama, orang ramai mula menyedari bekerja dengan kumpulan produksi animasi adalah karier yang mampu menjamin masa hadapan.

Sementara itu, Adam yang juga graduan Universiti Multimedia (MMU) berkata, ramai pelajar dari universiti tempatan datang melawat Les’ Copaque.

“Malah, kempen atau promosi untuk Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal juga banyak dilakukan di institusi pengajian tempatan (IPT).

“Apabila kami berkongsi laluan kerjaya, baru mereka buka mata bahawa bidang animasi ini luas dan banyak cabangnya. Kami tidak menafikan pada awalnya, bidang ini lebih banyak menarik perhatian golongan lelaki berbanding perempuan.

“Tapi sekarang, pekerja wanita di Les’ Copaque makin ramai dan mereka memberi sumbangan besar. Diakui perempuan lebih mahir meneliti seni yang lebih halus. Mereka sangat membantu dalam proses rekaan.

“Di sini, ramai wanita memegang jawatan tinggi. Namun, kami percaya kejayaan filem terbaru ini adalah daripada sumbangan dan komitmen setiap petugas,” katanya.

Memandang jauh ke hadapan, Les’ Copaque mahu menjadi pelopor industri animasi tempatan. Maka tidak hairanlah, syarikat ini mahu menghasilkan lebih banyak karya bagi mengangkat industri kreatif ke pentas antarabangsa.

Sehubungan itu, Les’ Copaque yakin mengetengahkan identiti Melayu dalam Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal sebagai sebuah filem global.

Lebih membanggakan, filem itu akan ditayangkan di Vietnam pada 26 April ini, disusuli Indonesia pada 9 Mei. Malah, syarikat itu merancang membawa filem terbaru itu ke Uzbekistan, India, China dan Amerika Syarikat (AS).

Adam berkata, masanya sudah tiba untuk penonton dunia mengenali karakter dongeng tempatan.

“Kalau orang luar boleh mempopularkan Cinderella dan Snow White, mengapa kita tidak tunjukkan mereka budaya kita.

“Kami sering menghadiri acara festival filem di Cannes, Perancis untuk melihat pasaran sekitar dunia. Kami dapati, jika mahu jual karya kita, mesti ada unsur unik.

“Jadi, budaya kita sudah unik. Kalau tidak kita sendiri yang menonjolkannya, siapa lagi?” katanya.

Mengenai perancangan masa hadapan, kerja asas untuk menerbitkan filem baharu Upin & Ipin sudah bermula selain projek taman tema Upin & Ipin di Malaysia dan China.

“Kalau anda sudah menonton filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, anda tahu filem ini ada sambungannya. Prosesnya sudah bermula... Ketika ini, ia masih di peringkat pra produksi,” katanya.

Seperkara lagi, tambah Adam, setiap kali menganjurkan Karnival Upin & Ipin, pihaknya akan melakukan eksperimen dalam mengkaji apa yang digemari penonton, biarpun kos penganjuran besar dengan pulangan tidak setimpal.

“Kami serius terhadap pandangan orang ramai. Ini seperti idea membuka taman tema, kami sangat memerlukan maklum balas daripada orang ramai untuk merealisasikan,” katanya.

Berita Harian X