Khamis, 11 April 2019 | 7:35pm
Pengarah Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Adam Amiruddin (dua kanan) dan Ahmad Razuki Roseli (dua kiri) bersama maskot Upin dan Ipin pada sidang media mengumumkan kutipan RM25 juta filem berkenaan. Foto BERNAMA

Upin & Ipin kutip RM25 juta

KUALA LUMPUR: Filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal mengutip RM25 juta selepas 21 hari tayangan dengan jumlah penonton mencecah dua juta orang.

Pencapaian itu membolehkan filem animasi kedua terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, mencatat rekod sebagai filem animasi yang meraih kutipan tertinggi di pawagam tempatan, menewaskan judul antarabangsa, Incredibles 2.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berbangga filem yang mula ditayangkan pada 21 Mac lalu, mampu mencatat kutipan tinggi dalam tempoh tiga minggu.

“Kutipan filem animasi tertinggi sebelum ini diraih Incredibles 2. Jumlah pungutan adalah sama tetapi selepas filem berkenaan ditayangkan tiga bulan. Sebaliknya, kita berjaya meraih kutipan RM25 juta dalam tempoh 21 hari.

“Pasti saya berbangga kerana kami dapat menghasilkan karya yang bagus dan digemari setiap peringkat umur.

“Bukan hanya kanak-kanak, malah ibu bapa menontonnya berulang kali. Saya dapat tahu ada yang pergi menonton antara empat hingga lima kali,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Burhanuddin berkata, dianggarkan penonton tegar filem Upin & Ipin tidak ramai, iaitu antara 200,000 hingga 300,000 orang sahaja.

“Jadi jika hendak mengharapkan mereka saja, kita tidak mampu mencapai pulangan modal. Audiens yang berulang kali menonton inilah yang banyak membantu.

“Terima kasih atas sokongan peminat tempatan yang memilih menonton di pawagam dan mengelak membuat rakaman untuk dimuat naik di laman sosial,” katanya

Burhanuddin berkata, kos penerbitan filem terbabit adalah hampir RM20 juta, menjadikan ia filem animasi termahal di Malaysia menggunakan sepenuhnya kepakaran tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal akan ditayangkan di Vietnam pada 26 April, disusuli Indonesia mulai 9 Mei depan.

“Minggu hadapan, saya akan menandatangani perjanjian bersama syarikat China untuk membawa masuk filem ini ke negara itu.

“Kami turut mendapat permintaan Uzbekistan dan India. Syukur, ini dianggap suatu kejayaan hebat untuk filem tempatan kerana bukan mudah filem kita dibawa ke luar negara.

“Saya harap filem ini akan menjadi filem global dari Malaysia yang mengetengahkan kisah dongeng tempatan,” katanya.

Burhanuddin berkata, filem berkenaan tidak akan ditayangkan di televisyen (TV) tempatan dalam tempoh terdekat, bagi memberi ruang dipertontonkan di pasaran antarabangsa.

Berita Harian X