Selasa, 2 April 2019 | 8:09pm
Selepas meraih trofi Filem Terbaik FFM30, One Two Jaga ditayang semula di lapan pawagam TGV terpilih selama seminggu, mulai Khamis ini. Foto NSTP Aziah Azmee

Filem Terbaik FFM30, One Two Jaga ditayang semula

KUALA LUMPUR: Peminat yang terlepas peluang menonton filem One Two Jaga yang meraih trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-30, pastikan berkunjung ke lapan pawagam TGV di lokasi terpilih, mulai Khamis ini.

Slot tayangan istimewa ditawarkan TGV Cinemas Sdn Bhd selama seminggu bagi membolehkan peminat menyaksikan sendiri kehebatan filem arahan Namron itu, yang turut meraih lima trofi lain pada FFM30.

Penerbit One Two Jaga, Bront Palarae teruja dengan slot tayangan istimewa filem berkenaan bagi peminat yang terlepas menontonnya, tahun lalu.

“Terima kasih kepada TGV yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang terlepas tayangan terdahulu melalui slot istimewa.

“Kami berharap rakyat, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat mengambil peluang ini sebagai tanda sokongan terhadap dunia perfileman tanah air,” katanya kepada BH Online.

Selain Filem Terbaik, One Two Jaga menang lima trofi lain apabila bintang utamanya, Rosdeen Suboh diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, diikuti Namron yang menjulang trofi Pengarah Terbaik pada FFM30, Sabtu lalu.

Filem itu juga memenangi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik.

Sementara itu, maklumat mengenai slot tayangan istimewa filem berkenaan menyebut lapan lokasi pawagam dipilih termasuk dua premis TGV di ibu negara iaitu pusat beli-belah, Suria KLCC dan Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

Peminat juga boleh menonton filem ini di TGV Sunway Pyramid, Petaling Jaya; TGV 1 Utama, Damansara; TGV Tebrau City, Johor Bahru dan TGV Bukit Raja, Klang.

Turut membuka slot tayangan istimewa adalah TGV Dpulze8, Cyberjaya dan TGV Kinta City, Ipoh, Perak.

Menawarkan tiket pada harga istimewa RM5, peminat boleh melayari laman web TGV bagi mendapatkan jadual tayangan. Bagi pembelian tiket pukal, orang ramai boleh menghubungi Evan Teo di talian 012-5445502.

Filem One Two Jaga yang menyelongkar isu salah laku dalam dunia kepolisan itu ditayangkan pada 6 September lalu. Ia dibintangi Bront, Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Iedil Putra dan artis Indonesia, Ario Bayu serta Asmara Abigail.

939 dibaca
Berita Harian X