Jumaat, 29 March 2019 | 9:00am
MAWI (kiri) bersama barisan pelakon filem Tiada Tajuk iaitu Along Cham, Joey Daud dan Hazama. Foto Aswadi Alias

Tiket RM1 tonton filem Mawi

PETALING JAYA: Ketika banyak pihak merungut mengenai harga tiket wayang yang semakin mahal, pengarah filem Tiada Tajuk, Mawi mempunyai cara tersendiri untuk mengurangkan beban penonton.

Menurut Mawi, peminat bertuah yang berhasrat menonton filem pertama arahannya itu berpeluang membeli tiket pada harga RM1.

“Sejak masih dalam penggambaran lagi, saya memang bercadang untuk menjual tiket kepada penonton filem ini pada harga RM1.

“Bagaimanapun, mereka yang berminat perlu mengikut syarat yang ditetapkan. Memandangkan jumlah tiket terhad, ia tertakluk kepada siapa cepat dia dapat.

“Penonton hanya perlu memuat turun aplikasi MawiWorld di telefon bimbit mereka. Maklumat lanjut seperti lokasi penjualan dan tarikh menonton akan dimaklumkan nanti,” kata pemilik nama lengkap, Asmawi Ani.

Juara Akademi Fantasia 3 juga mengakui, pendekatan yang diambilnya itu menjadi antara strategi menarik penonton menyaksikan filem bergenre komedi Islamik itu.

“Pada masa sama, saya juga ingin membantu penonton. Kiranya kedua-dua pihak mendapat keuntungan daripada usaha saya ini,” terangnya.

Dalam perkembangan lain, Mawi juga akan mengadakan peraduan untuk mereka yang ingin memberikan tajuk kepada karya sulungnya itu.

“Penonton boleh cadangkan judul yang sesuai mengikut kreativiti mereka. Walaupun tidak akan digunakan kerana judul filem ini memang Tiada Tajuk, pemenang tetap akan menerima ganjaran lumayan,” kata Mawi ketika ditemui pada malam majlis pratonton filem itu, kelmarin.

Filem terbitan Mawi World Entertainment ini menampilkan lakonan Hazama, Joey Daud, Along Cham, Ropie, Kamarol Yusof, Amira Othman, selain Mawi. Ia bakal menjengah pawagam di seluruh negara bermula 4 April ini.

1079 dibaca
Berita Harian X