Ahad, 24 March 2019 | 10:07pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (empat kiri) dan Burhanuddin (tiga kanan) melancarkan filem terbaru Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal di ibu negara, baru-baru ini. Turut serta tenaga produksi filem animasi itu. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

Upin & Ipin jadi mangsa 'curi rakam'

KUALA LUMPUR: Baru empat hari ditayangkan, filem animasi, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal yang menelan belanja RM20 juta, menjadi mangsa ‘curi rakam’ apabila visual lebih empat minit menggunakan telefon pintar, dimuat naik di laman sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, tindakan pantas pasukan khas agensi itu berjaya ‘menarik’ keluar rakaman itu daripada tular.

“Kita mendapat aduan daripada penerbit iaitu Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi mengenai tindakan beberapa penonton merakam visual lebih empat minit menggunakan telefon bimbit dan memuat naiknya di laman sosial, semalam.

“Namun, melalui pasukan khas yang dibentuk FINAS untuk mengekang aktiviti seperti itu, kita berjaya ‘menarik’ keluar rakaman terbabit daripada tular,” katanya kepada BH Online.

Filem terbitan Les' Copaque yang membabitkan 100 peratus kepakaran anak tempatan itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara, sejak Khamis lalu.

Mengikut perancangan, filem animasi popular itu akan ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia selain Taiwan, China dan Jepun, tidak lama lagi.

Ahmad Idham berkata, pemamer dan pengurusan pawagam perlu sentiasa memantau aktiviti rakaman haram dengan meningkatkan tahap pengawasan dalam dewan tayangan.

“Jika mereka tidak mampu melakukannya, pemamer boleh bekerjasama dengan FINAS untuk mencari mekanisma sesuai,” katanya.

Beliau berkata, penonton juga tidak perlu risau untuk melaporkan kejadian curi rakam jika ternampak mana-mana pihak berbuat demikian dalam pawagam.

“Sekiranya pengguna sendiri ternampak aktiviti berkaitan dalam pawagam, jangan takut untuk terus melaporkannya kepada pihak pengurusan pawagam untuk tindakan selanjutnya.

“Saya memandang serius perkara ini untuk membantu penerbit tempatan yang terpaksa berdepan dengan isu seperti ini,” katanya.

Ahmad Idham berkata, nasihat mengenai larangan ‘curi rakam’ sepatutnya dipatuhi, malah peringatan dibuat melalui iklan yang dipromosikan sendiri oleh karakter Upin dan Ipin yang ditayangkan di pawagam.

“Kita kalau boleh tidak mahu mengambil tindakan undang-undang, namun jangan cabar FINAS untuk bertindak jika keadaan makin berleluasa,” katanya.

1284 dibaca
Berita Harian X