Selasa, 12 March 2019 | 5:51pm
Nor Iskandar membataskan aktiviti menonton wayang bersama keluarga hanya pada hujung bulan disebabkan harga tiket yang tinggi. Foto Saifulizan Tamadi

Eksklusif: Siri Satu Harga Tiket Wayang - Tonton Filem di Pawagam Aktiviti Mewah?

JIKA anda tergolong dalam kelas pertengahan, sudah berkeluarga dan memiliki tiga anak berusia dalam lingkungan belasan tahun, menonton filem di pawagam mungkin dikategorikan aktiviti mewah.

Tidak hairanlah, dalam keadaan ekonomi sekarang, kegiatan menonton wayang hanya dapat dilakukan sesekali apabila ada bajet atau lebihan wang untuk dibelanjakan.

Mengapa tidak, secara purata, kos untuk menonton filem bagi lima beranak pada hujung minggu, boleh mencecah antara RM100 hingga RM200, termasuk bajet membeli snek dan minuman.

Ini tidak termasuk kos sampingan seperti bayaran letak kereta di kompleks beli-belah atau kemungkinan mahu menjamu anak-anak di restoran atau kafe berjenama selepas menonton filem.

Hal ini dipersetujui segelintir penggemar filem, terutama yang sudah berkeluarga apabila mengakui, perlu menabung jika mahu membawa keluarga bersantai dengan menonton filem di pawagam.

Pegawai pemasaran yang juga bapa tiga anak, Nor Iskandar Hamdan, 32, berkata, harga tiket wayang yang semakin mahal membuatkan dia terpaksa membataskan aktiviti menonton filem bersama keluarga di pawagam.

“Bagi saya yang mempunyai tiga anak, belanja membawa keluarga menonton wayang agak tinggi. Untuk tiket sahaja, saya perlu membayar antara RM60 hingga RM70. Bagi saya, ini sudah mahal dan membebankan.

“Disebabkan itu, saya hanya membawa keluarga menonton filem di pawagam apabila ada duit lebih, terutama pada hujung bulan selepas mendapat gaji.

“Namun, jika tiada lebihan wang, aktiviti menonton wayang hanya dapat dibuat sekali dalam tempoh enam bulan atau ketika musim cuti sekolah,” katanya.

Menyedari harga tiket lebih murah pada hari Rabu, Nor Iskandar bagaimanapun, tidak dapat memanfaatkan diskaun istimewa itu kerana bekerja.

“Rabu adalah hari bekerja dan anak-anak pula bersekolah. Jadi, tidak sesuai untuk saya membawa keluarga keluar menonton wayang pada hari itu,” katanya.


Nor Fairoz berpendapat, kos tambahan yang terpaksa dikeluarkan membuatkan sesetengah ibu bapa terbeban. Foto NSTP

Kos tambahan bebankan keluarga

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Nor Fairoz Sani, 33, pula berpendapat, pihak berkepentingan perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan harga tiket wayang, terutama filem tempatan.

“Harga tiket ketika ini, tidak terlalu membebankan kami sekeluarga, tetapi lebih baik jika dapat dikurangkan.

“Kami yang menonton filem bersama keluarga, pasti mahu membeli makanan dan minuman. Kos tambahan itu yang membuatkan sesetengah ibu bapa beban,” katanya.

Akur harga tiket yang berbeza, Nor Fairoz berkata, mereka cuba mencari ruang untuk memanfaatkan waktu tontonan tertentu supaya dapat berjimat.

RM76 untuk tiket wayang istimewa

Berdasarkan semakan, BH PLUS mendapati, faktor tiada ketetapan harga menyebabkan pempamer atau pawagam meletakkan kadar tiket mengikut standard masing-masing.

Semakan dibuat juga mendapati harga ditetapkan mengikut jenis panggung dengan harga tertinggi mencecah RM76 bagi sekeping tiket kelas Gold atau Emas.

Bagi penonton yang membawa keluarga, panggung biasa atau standard menjadi pilihan. Ini kerana harga yang dikenakan panggung eksklusif terlalu mahal untuk ditanggung, terutama keluarga besar.

Harga tiket standard untuk dewasa juga dilihat berbeza-beza, berdasarkan ketetapan pemilik pawagam. Malah, harga juga ditetapkan mengikut zon atau kawasan dan jenis filem.

Bagi produksi baharu, harga tiket yang dikenakan lebih mahal, berbanding filem yang sudah lama ditayangkan. Semakan juga mendapati, tiket ditawarkan lebih murah pada hari tertentu bagi menarik penonton ke pawagam.

Namun, hari ditetapkan itu bukan pilihan penonton, terutama yang berkeluarga yang memilih aktiviti itu pada hujung minggu, cuti umum atau cuti sekolah.

Harga tiket standard dianggarkan antara RM14 hingga RM20 bagi filem baharu untuk penonton dewasa, manakala kanak-kanak antara RM8 dan RM9.

Pemerhatian BH PLUS juga mendapati, tempahan dalam talian turut mengenakan caj tambahan antara RM1 dan RM1.50 untuk setiap pembelian.

Penonton juga tertakluk kepada cukai hiburan yang dikenakan iaitu antara RM2 dan RM3 untuk setiap pembelian.

Sementara itu, harga tiket di kawasan bukan bandar utama, kadar ditawarkan berbeza. Bagi pawagam yang mempunyai panggung eksklusif, harga tiket dikenakan pula mengikut jenis premis iaitu antara RM22 hingga RM76.


Zairi Zal lebih mengutamakan masa bersama keluarga, berbanding kos dikeluarkan untuk menonton filem kegemaran. Foto NSTP

Aktiviti wajib keluarga

Sementara itu, Zairi Zal Zainal, 39, pula berpendapat, harga tiket yang ditawarkan pempamer berpatutan dan tidak membebankan.

Zairi yang mempunyai empat anak berusia antara 11 bulan hingga 13 tahun berkata, harga tiket yang ditawarkan masih berbaloi.

“Sebagai bapa, kadang-kadang kita perlu penuhi permintaan anak yang mahukan bertih jagung, bekas minuman, mainan dan pelbagai barangan lain yang dijual di kaunter.

“Namun, apa salahnya memenuhi permintaan mereka kerana aktiviti itu hanya sesekali dilakukan. Bagi saya, masa yang diluangkan bersama anak lebih berharga daripada kos yang perlu dibayar. Saya tidak kisah membayar lebih untuk menonton wayang bersama keluarga,” katanya.

Zairi Zal berkata, sudah menjadi acara wajib bagi mereka sekeluarga untuk menonton filem kegemaran, terutama penerbitan animasi.

Dalam kepesatan teknologi digital, ramai pengguna memilih menonton filem daripada pembekal kandungan atau atas talian yang jauh lebih murah.

Namun, mereka yang mengutamakan kepuasan, menonton di pawagam menawarkan persekitaran dan pengalaman yang berbeza menjadi pilihan.

INFO:

Pecahan harga tiket wayang secara am

Pawagam standard di bandar besar

• Dewasa antara RM15 hingga RM17

• Kanak-kanak RM9 hingga RM10

Pawagam standard di bandar kecil

• Dewasa RM14

• Kanak-kanak RM8

Tiket pada hari Rabu

• Dewasa RM9 hingga RM10

• Kanak-kanak RM8 hingga RM9

Tiket untuk filem baharu

• Dewasa RM17

• Kanak-kanak RM9

Tiket untuk filem lama

• Dewasa RM11 hingga RM18

• Kanak-kanak RM8 hingga RM9

Pawagam Kelas Tinggi

• Dewasa RM22 hingga RM76

• Kanak-kanak RM13 hingga RM25

Berita Harian X