Jumaat, 1 March 2019 | 9:00am
PENERBIT, Fadzil Teh, mahu melihat lebih banyak karya bercorak dakwah dan Islam dihasilkan untuk siaran televisyen tempatan. - Foto Instagram Fadzil Teh

Penerbit rindu hasilkan karya Islamik, dakwah

KUALA LUMPUR: Penerbit terkenal, Fadzil Teh, mengakui beliau antara produser tempatan yang cukup rindu untuk menghasilkan karya bercorak Islamik dan mempunyai unsur dakwah dalam penceritaan.

Kata pemilik Zeel Production itu, naskhah sedemikian pernah mencetuskan fenomena dalam dunia perfileman negara ini sekitar era awal 2000.

“Semangat menghasilkan karya seperti Syukur 21 dan terkini, Munafik, masih ada dalam kalangan penerbit kita, tetapi agak berkurangan. Untuk siaran televisyen juga, keghairahan menerbitkan drama atau telefilem sedemikian tetap terasa.

“Begitupun, sejak beberapa tahun lalu, ada sesetengah stesen televisyen yang mengurangkan penerbitan cerita sedemikian. Menjadi harapan kami agar peluang menerbitkan karya dakwah disuburkan semula. Ia bukan sekadar tertakluk kepada stesen berpaksikan Islam, malah semua saluran televisyen boleh berbuat demikian.

“Tidak salah jika naskhah berlandaskan Islam atau berunsur dakwah diselitkan kerana majoriti rakyat negara ini beragama Islam. Banyak isu dan mesej sosial dapat diketengahkan dalam naskhah bercorak dakwah. Bukankah Islam itu sebuah agama yang sempurna dan mampu memberikan penyelesaian kepada pelbagai isu kehidupan?” katanya.

Dakwa Fadzil, bukan kalangan penerbit sahaja yang bersemangat untuk melahirkan karya berunsur dakwah, malah kalangan peminat drama dan filem tempatan sendiri menggemari karya dalam genre berkenaan.

Beliau sedar, cerita berbentuk komersial, termasuk yang diangkat daripada novel cinta cepat menambat perhatian masyarakat.

“Namun, sampai bila kita mahu terus menyajikan segala fantasi dan imaginasi yang nampak indah di mata sahaja? Sesekali, kita perlu isi ruang penerbitan dengan karya yang masih ada unsur komersial dan hiburan, tetapi pada masa sama menerapkan nilai Islam.

“Ramai peminat drama Melayu, khususnya, rindu untuk mengikuti cerita yang tidak ada unsur bersentuhan atau pergaduhan. Mereka mahu melihat kisah yang sarat nilai keluarga dan kasih sayang,” katanya.

Fadzil juga berkata, karya berwajah Islam harus dilihat dari sudut pengisian mesej bukan sekadar bersifat tempelan dalam penceritaan.

“Kita perlukan pengkarya, terutama dalam kalangan penulis skrip yang ada fikrah untuk menerajui penerokaan dan penerbitan filem genre Islam. Seperti Indonesia, mereka mempunyai penulis skrip berwibawa seperti Habiburrahman (El Shirazy),” katanya.

Berita Harian X