Sabtu, 2 Februari 2019 | 7:49am
Yusof (tengah) sedang memerhatikan replika masjid bersama Ahmad Sani (tiga dari kiri) bersama tetamu majlis.- Foto ihsan Skop Productions
Yusof (kanan) bersalaman bersama Ahmad Sani selepas menandatangani MoU sambil diperhatikan Zamshari (dua dari kiri) dan Timbalan Pengarah Urusan Skop Production, Azman Ismail. - Foto ihsan Skop Productions

Skop Productions sumbang dana bina masjid di Palu

JAKARTA: Syarikat perfileman tempatan, Skop Productions Sdn Bhd (Skop Productions) menyumbang dana bagi pembinaan masjid di Palu, Sulawesi, Indonesia hasil keuntungan filem Munafik 2 yang ditayang di seluruh negara termasuk Indonesia tahun lalu.

Dana bantuan kemanusiaan diserahkan pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan penyerahan cek projek pembinaan Masjid Wakaf Skop Productions di Palu, Sulawesi Tengah, di Kedutaan Besar Malaysia di sini, semalam.

Pengerusi Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, berkata sumbangan dalam bentuk wang ringgit itu bagi mengurangkan kesulitan penduduk Palu yang ditimpa musibah tsunami pada 28 September tahun lalu.

"Sebagai tanda perikemanusiaan sesama masyarakat serumpun Indonesia khususnya sesama Islam, Skop Productions cukup terkesan dan bersimpati dengan dugaan yang dilalui penduduk Palu sejak musibah tsunami melanda kampung mereka.

"Bantuan yang disalurkan melalui MAPIM ini adalah hasil keuntungan tayangan filem Munafik 2 di Malaysia dan mendapat laluan dengan rakan pemamir CGV Jakarta untuk menayangkan filem ini di sini pada 26 September tahun lalu yang mendapat tontonan lebih 450,000 penonton.


Yusof (tengah) sedang memerhatikan replika masjid bersama Ahmad Sani (tiga dari kiri) bersama tetamu majlis.- Foto ihsan Skop Productions

"Walaupun kami adalah rumah produksi kecil di Malaysia tetapi merasa terpanggil serta wajib bagi kami untuk membantu.

"Malah berharap ini bukanlah bantuan pertama dan terakhir dari Skop Productions yang mengharapkan mendapat lebihan rezeki dari hasil kerja seni penerbitan filem akan datang untuk terus membantu mereka yang memerlukan," katanya pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia, Zamshari Shaharan; Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Alim Arby; Kepala Bidang Bimbingan Masyarakat Islam Kanwil, Kementerian Agama Provinsi Sulawesi Tengah, Bapak H. Muhammad Ramli.

Masjid Wakaf Skop Productions akan dibina di Perkampungan Ummah yang terletak di Kelurahan Duyu dengan keluasan 10,000 meter persegi membabitkan 300 penduduk.

Pembinaan masjid wakaf akan dibina bermula esok dan dijangka siap dalam tempoh 50 hari serta akan beroperasi pada Ramadan tahun ini.

Gempa bumi dengan 7.7 magnitud pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu pada 28 September 2018 setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.

849 dibaca
Berita Harian X