Selasa, 25 Disember 2018 | 3:57pm
Michelle Yeoh hadir menonton filem lakonannya, di Ipoh hari ini. - NSTP/L Manimaran

Michelle Yeoh teruja kembali ke filem aksi

IPOH: Bintang Hollywood kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh, teruja beraksi semula dalam francais filem aksi Ip Man, arahan pengarah terkemuka Hong Kong, Yeun Woo Ping.

Michelle yang menyifatkan filem berkonsepkan seni mempertahankan diri lebih sebati dalam jiwanya berkata, beliau gembira dapat beraksi semula di Hong Kong dalam filem sekuel Ip Man, Master Z: The Ip Man Legacy.

Katanya, berlakon bersama barisan pelakon hebat seperti Max Zhang, Tony Jaa, Dave Bautista dan Kevin Cheng sentiasa memahat pengalaman berharga dalam dirinya kerana beliau sendiri bermula dalam filem aksi.

“Ianya satu pengalaman yang hebat bekerjasama sekali lagi dengan pengarah serta barisan pelakon yang ada.

“Saya sendiri berkawan baik dengan semua barisan pelakon, jadi sudah tentunya mudah untuk kami bekerjasama dan sentiasa seronok untuk bekerja bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menonton filem lakonannya, Master Z: The Ip Man Legacy di sini bersama keluarga dan rakan rapatnya serta penyokongnya.

Selepas mencuri tumpuan melakonkan sisi berbeza dalam resume lakonannya sebagai Eleanor Young menerusi filem Crazy Rich Asians, Michelle berkata beliau kini meneruskan pembabitannya dalam filem berbentuk romantik komedi dalam projek terbaru arahan Paul Feig.

Dalam filem berkenaan, beliau sekali lagi digandingkan bersama hero Hollywood kelahiran Malaysia yang namanya semakin meningkat naik, Henry Golding.

Turut membintangi filem Universal Pictures itu, pelakon filem Games of Thrones, Emillia Clarke.

“Kami akan memulakan penggambaran filem itu di London,” katanya.

1669 dibaca
Berita Harian X