Jumaat, 30 November 2018 | 7:44pm

Filem Ejen Ali temui penonton tahun depan

SUBANG JAYA: Selepas kejayaan siri Ejen Ali, Primeworks Studios mengumumkan bakal membawa karakter animasi itu ke layar perak pada penghujung tahun hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid, proses pembikinan filem animasi berkenaan sudah dimulakan sejak dua bulan lalu dan bakal menyelitkan karakter baharu dari zaman silam Ejen Ali.

“Kami ingin membawa penonton untuk menyelami dunia Ejen Ali dengan lebih mendalam apabila memperkenalkan watak MATA (milik agensi pengintip), pelbagai peranti dan kenderaan lebih canggih dalam versi filem.

“Malah, kami turut mewujudkan watak antagonis penuh misteri dari masa silam Ali dan perantis IRIS 2.0. Elemen mengujakan ini akan dilengkapkan dengan cerita penuh emosi,” katanya.

Usamah berkata demikian ditemui pada majlis memperkenalkan produk terbaru Ejen Ali bersempena musim cuti sekolah, di sini.


ANTARA produk jenama Ejen Ali yang diperagakan pada majlis memperkenalkan Misi Produk Baharu Ejen Ali di Subang Jaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Usamah yang juga pengarah filem berkenaan berkata, perancangan membawa karakter animasi itu ke layar perak diperkukuhkan dengan pelan pemasaran komprehensif.

Katanya, inisiatif utama pemasaran adalah dengan melancarkan beberapa aplikasi permainan mudah alih, selain tayangan, siaran TV, siri jelajah dan lawatan khas di pawagam.

“Sejajar dengan arus teknologi, kami berhasrat untuk mengeluarkan aplikasi permainan baharu Ejen Ali sebelum filemnya dilancarkan berikutan sambutan memberangsangkan yang diberikan terhadap medium digital.

“Malah, kami turut menerima maklum balas daripada peminat tegar siri berkenaan, iaitu adik Chong Yik Wei yang menyarankan kami memperbaiki lagi aplikasi permainan mudah alih Ejen Ali,” kata Usamah.

750 dibaca
KETUA Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (dua dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid (kiri) dan Pengurus, Pelesenan dan Pembarangan Media Prima, Diyana Anuar, pada majlis memperkenalkan Misi : Produk Baharu Ejen Ali di Subang Jaya. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Berita Harian X