Selasa, 20 November 2018 | 12:04am
DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Foto Email

Lantik perunding syariah pantau pembikinan filem - Mufti WP

KUALA LUMPUR: Penggiat industri perfileman tempatan disarankan melantik perunding syariah bagi membolehkan pembikinan sesebuah filem berjalan lancar tanpa menimbulkan sebarang isu sensitif membabitkan Islam.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata rujukan yang dilakukan terhadap perunding sejak dari awal bermulanya pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem dapat mengelakkan salah faham dalam kalangan penonton.

Katanya, pihak produksi disarankan meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada ‘addendum’ berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salah faham terhadap agama.

“Bukanlah niat dan tugas kami untuk menapis semua filem tanah air, namun ia dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanah air dalam mencorak satu warna baharu dalam industri perfileman negara.

“Inilah tanggungjawab kita bersama khususnya pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

“Apa yang terjadi ini adalah satu ingatan bagi pihak industri hiburan dan perfileman untuk berhati-hati dalam berkarya,” katanya menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke 154 yang dimuat naik di laman web rasminya, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama beberapa pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menonton filem Polis Evo 2, petang tadi.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, filem berdurasi selama dua jam lima minit itu menimbulkan sedikit kegusaran segelintir masyarakat, berikutan beberapa watak dan babak yang dilihat seolah-olah memburukkan imej dan menyamakan Islam sebagai pengganas.

Katanya, secara umumnya, filem terbabit cuba membangkitkan naratif jihad yang sebenar melawan psuedo-jihad dan watak antagonis seperti Hafsyam (Hasnul Rahmat) tidak menampakkannya sebagai pengganas secara mutlak kerana tiada dialog atau babak klise seperti bertakbir serta menggunakan apa-apa ayat Al-Quran atau hadis.

“Terdapat bait dialog ‘kalau aku ahli neraka, kenapa Tuhan takdirkan aku berdiri dan engkau melutut depan aku?’ yang dilontarkan oleh watak Hafsyam ketika berdepan dengan Inspektor Sani (Zizan Razak).

“Idea dalam kenyataan di atas, tidak dijelaskan dengan terperinci sehingga selesai filem dan ia hanya disampaikan dalam bentuk subteks di akhir jalan cerita dan mungkin tidak dapat dikesan oleh sebilangan besar penonton.

“Kesannya, ia boleh menimbulkan syubhat dalam isu keadilan Allah, juga konsep iman kepada qada dan qadar.

“Dalam kerangka yang lebih besar, ia membabitkan isu permasalahan kejahatan atau mushkilat al-shar (the problem of evil) yang sering dibangkitkan oleh kelompok ateis dan juga agnostik,” katanya.

1019 dibaca
Berita Harian X