Isnin, 2 Disember 2019 | 5:46pm

'Anak-anak setuju saya nikahi Natasha'

PUTRAJAYA: Datuk Seri Eizlan Yusof meminta izin tiga anak-anak sebelum membuat keputusan menamatkan zaman duda dengan Natasha Rossa Boudville yang bakal dinikahi pada 12 Disember ini.

Eizlan, 48, memberitahu, persetujuan anak-anak menjadi keutamaan dalam perjalanan hidup mereka. Apatah lagi, dia mahu keserasian antara Natasha, 29, yang juga mualaf, dengan tiga cahaya matanya itu.

“Memang anak-anak sangat rapat... Ini kerana kami sudah empat tahun berkawan. Cuma sejak setahun lalu, hubungan jadi semakin dekat.

“Sebelum melamar September lalu, saya bawa anak-anak keluar untuk bertanya pendapat mereka andai saya berkahwin dengan Natasha.

“Mereka menjerit kegirangan menerima Natasha. Malah, sisi lembut Natasha yang cukup prihatin dengan anak-anak, membuatkan saya tewas,” katanya pada sidang media pengumuman perkahwinannya di sini, hari ini.

Namun, bakal isteri yang juga kakitangan pengurusan kanan di sebuah hotel lima bintang di ibu negara, tidak hadir pada majlis itu.

Eizlan bakal menikahi gadis Serani berusia 29 tahun, Natasha di Putrajaya, pada 12 Disember ini. - Ihsan Eizlan Yusof

Eizlan berkata, Natasha yang juga berketurunan Serani, mampu menggembirakan hatinya hingga terbuka untuk berkahwin selepas empat tahun menduda.

“Sebenarnya, saya senang dengan silap kelakar dan tahan bulinya. Saya memang kuat menyakat tetapi dia cukup kebal.

“Natasha memeluk agama Islam pada Ogos, tahun lalu. Namun, ia bukan kerana mahu berkahwin dengan saya,” katanya yang bakal diraikan dalam empat majlis bermula acara berinai, akad nikah, resepsi dan malam apresiasi.

Majlis pernikahan akan berlangsung di premis acara, Bora Ombak, di sini, disusuli persandingan keesokan harinya di lokasi sama.

Ditanya mengenai jumlah tajaan daripada rakan rapat sempena hari bahagianya, Eizlan tidak tahu-menahu mengenai kos atau perincian acara.

Eizlan pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Vie Shantie Khan pada 2007. Namun, perkahwinan mereka hanya bertahan lapan tahun.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zara, 11; Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaara, 6.

Berita Harian X