Selasa, 19 November 2019 | 4:29pm
BEN Ladin sanggup menunggu lama untuk memastikan single terbarunya diperkenalkan tepat pada masa. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Enam kali masuk studio rakam single kedua

KUALA LUMPUR: Biarpun pelbagai spekulasi timbul apabila dia menyepikan diri selepas lebih setahun mempertaruhkan lagu Hikayat Benladin, penyanyi remaja, Ben Ladin, tetap bersabar menanti kemunculan single terbarunya.

Ben Ladin, 18, berkata dia dan pengurusannya terpaksa menjarakkan kemunculan lagu terbaru kerana enggan mengganggu momentum single pertamanya yang masih mendapat sambutan peminat.

Akuinya, perkara itu sudah disedari sejak awal, malah ramai turut mempersoalkan mengapa dia mengambil masa terlalu lama untuk memperkenalkan single kedua.

“Ramai menganggap, saya tidak lagi aktif menyanyi, terutama apabila sudah jarang muncul di media massa. Hakikatnya, sejak beberapa bulan lalu, saya sibuk di studio menyiapkan lagu baharu ciptaan Malique dan Luca Sickta.

“Kami mahu single kedua ini diperkenalkan tepat pada masanya. Demi strategi pemasaran, kami sanggup bersabar. Ini memandangkan lagu Hikayat Benladin masih diputarkan radio.

“Proses rakaman lagu baharu yang diterbitkan Malique itu sudah dimulakan sejak April lalu dan dijangka menemui peminat, bulan depan,” katanya.

Terdahulu, Hikayat Benladin yang juga ciptaan dan lirik nukilan Malique serta Dedeq mencatat lebih 24 juta tontonan sejak diperkenalkan menerusi YouTube bermula 19 Julai tahun lalu.

Kata pemilik nama sebenar Muhammad Benladin Munshi Shaihan itu lagi, lantaran mementingkan kesempurnaan, dia tidak kisah enam kali masuk studio sepanjang proses rakaman.

“Peluang bekerja semula dengan sentiasa saya nantikan. Dia cukup teliti demi mendapatkan hasil terbaik, selain mahukan single kedua saya lebih bagus berbanding lagu pertama.

“Untuk rakaman kali ini, Malique turut mengambil pendapat saya dalam mewarnai melodi. Keterbukaannya itu membuktikan dia percaya dengan kebolehan saya. Ia sesuatu yang sangat bermakna,” tambah Ben Ladin.

Berdebar menunggu reaksi ramai, Ben Ladin mengakui, disebabkan mahu memberikan fokus terhadap penerbitan single itu, dia terpaksa menolak tawaran menjayakan sebuah drama bersiri.

Ben Ladin yang juga peserta Idola Kecil musim kelima pernah mencuri perhatian ramai apabila tampil berduet dengan Datin Alyah menerusi lagu Permata, enam tahun lalu.

Berita Harian X