Selasa, 19 November 2019 | 1:00pm
AZLAN tidak terkilan sekiranya lagu taruhan ditolak peminat, sebaliknya akan terus berusaha memastikan usahanya diterima. - NSTP/Aziah Azmee

'Henti tuding jari salahkan peminat'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Azlan & The Typewriter tidak akan sekali-kali menyalahkan peminat sekiranya lagu dihasilkan tidak diterima, sebaliknya terus berusaha merakamkan nukilan baharu sehingga menepati selera ramai.

Azlan atau nama penuhnya Nor Azlan Rosle, 37, berkata, dia sangat terbuka dan tidak pernah melatah jika lagu dikeluarkan tidak mendapat sambutan kerana sebagai ‘pelanggan’, peminat berhak mendapat 'produk' terbaik.

“Kalau mengusahakan perniagaan, kita pasti berpegang teguh dengan slogan, pelanggan sentiasa betul. Sebagai penyanyi, produk kami adalah lagu yang dipertaruhkan untuk perhatian peminat.

“Jika peminat tidak suka, jangan marah atau menuduh mereka tidak pandai menilai. Kita sebaliknya, perlu terus mencipta karya lain sehingga diterima peminat.

“Tidak sewajarnya apabila lagu tidak mendapat sambutan, kita menuding jari dan menyalahkan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Azlan juga berpendapat, artis perlu sentiasa bersedia setiap kali berdepan dengan peminat dan memastikan mereka mendapat layanan terbaik.

Azlan berkata, artis yang sengaja menolak permintaan peminat seperti bergambar sebagai kurang profesional kerana ia sebahagian tuntutan kerjaya mereka.

“Memang ada kala kita berdepan tekanan, terutama apabila didekati peminat pada masa tidak bersesuaian. Namun, kita perlu ingat, populariti ibarat putaran roda.

“Ada segelintir artis baharu tidak berdepan kesukaran untuk mengecap populariti. Mungkin itu yang membuatkan mereka tidak mengendahkan peminat, sedangkan tanpa sokongan mereka, bakat seseorang tidak ke mana,” katanya.

Berita Harian X