Isnin, 18 November 2019 | 3:32pm
FADLAN sentiasa bersederhana dalam kehidupan kerana akur masa depan anak seni sukar diramal. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Fadlan sentiasa beringat ketika senang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fadlan Hazim, 27, sanggup mengetepikan keinginan memiliki barangan berjenama, selain mengelak terlalu kerap bercuti di luar negara kerana mahu menabung demi masa depan.

Bintang filem Sangkar itu berkata, dia berbuat demikian kerana menyedari dunia lakonan ada pasang surut. Justeru, setiap kali menerima bayaran lakonan, pelakon kelahiran ibu negara itu akan mengetepikan sebahagian wang untuk tabungan.

Inisiatif itu katanya, diambil sejak menceburi dunia lakonan sekitar 2010 dan sikap berjimat itu masih diteruskan, meskipun kini sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian.

Memilih sistem penanaman cili menerusi kaedah fertigasi, Fadlan berkata, dia mengusahakan perniagaan itu bersama beberapa ahli keluarganya.

“Saya banyak bertanya pengalaman pelakon senior dan mereka sering menasihati supaya sentiasa beringat kerana dunia seni tidak seindah yang disangka.

“Walaupun nama saya tidak terlalu menyerlah, saya bersyukur tawaran berlakon sentiasa ada. Alhamdulillah, jadual saya penuh sehingga April depan.

“Saya ketepikan sebahagian pendapatan untuk melabur dalam perniagaan. Selepas berbincang dengan keluarga, kami sepakat memulakan penanaman cili di Hulu Langat, Selangor,” katanya yang bakal muncul dengan drama Seadanya Aku menerusi slot Akasia di TV3, tahun depan.

Walaupun mampu memiliki kereta mewah, Fadzlan selesa memilih kenderaan mengikut kemampuan dan paling penting, memudahkan pergerakannya.

“Saya sanggup ketepikan keinginan memiliki kereta mewah, superbike atau barang berjenama mahal kerana tidak mahu membazir. Memang seronok dapat menggayakan barangan berjenama, tetapi buat apa jika tiada duit dalam simpanan.

“Seboleh mungkin, saya juga cuba menyekat keinginan terlalu kerap bercuti di luar negara. Lagipun, kita tidak tahu selama mana mampu bertahan dalam bidang seni.

“Sementara masih ada tawaran, lebih baik saya simpan duit dan buat perkara berfaedah,” katanya yang banyak mengambil iktibar daripada pengalaman insan seni sebelum ini.

Sementara itu, ditanya rancangan mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Julie Anne, Fadlan berkata, setakat ini, mereka masih belum menetapkan tarikh tertentu memandangkan jadual lakonannya agak padat.

Katanya, Julie yang juga seorang usahawan turut sibuk menguruskan perniagaan dan ia menyukarkan mereka membuat persiapan perkahwinan.

Bagaimanapun ujar Fadlan, dia tidak akan sesekali merahsiakan berita perkahwinan apabila tiba masanya.

Berita Harian X