Isnin, 18 November 2019 | 1:02pm
LUQMAN terkilan gagal mengawal gugup hingga menjejaskan persembahannya pada Separuh Akhir Muzik Muzik 34, Jumaat lalu. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Gugup jejas persembahan Luqman

SHAH ALAM: Penyanyi, Luqman Faiz ,19, mengakui masalah kurang keyakinan diri dan gugup menjadi punca dia gagal mempamerkan persembahan terbaik pada persaingan pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 34 (SFMM34), Jumaat lalu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kepuraanmu itu mengakui, kecewa apabila menghampakan harapan ramai ketika beraksi pada acara yang berlangsung di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral itu.

“Saya gagal mengawal gugup dan ia memberi kesan terhadap persembahan pada malam itu. Disebabkan terlalu gemuruh, saya memencilkan diri ketika menanti giliran membuat persembahan.

“Mungkin ada yang menganggap saya sombong, tetapi sebenarnya, saya cuba melawan ketakutan. Banyak perkara yang saya fikirkan, terutama bagaimana mahu melunaskan bahagian korus lagu itu.

“Apa yang berlaku pada malam SFMM34 itu banyak mematangkan saya. Kesilapan itu saya anggap sebagai ruang memperbaiki diri dan berusaha memberikan persembahan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Luqman berkata, kritikan yang diterimanya membuatkan dia terkilan kerana gagal melunaskan harapan komposer dan penulis lagu itu iaitu Sirkhan, Rinkarnaee dan Sang Hitam dengan baik.

“Saya masih hijau dalam bidang nyanyian dan kurang pengalaman beraksi di pentas besar. Namun, saya bersyukur kerana lagu itu membantu nama saya dikenali penggemar muzik,” katanya.

Luqman yang kini menyambung pengajian dalam bidang muzik juga berkata, tidak mudah untuk mengimbangi antara kerjaya dan pelajaran.

“Fokus sangat penting untuk memastikan sesuatu perkara dilakukan sebaik mungkin. Secara peribadi, saya masih bingung dan dalam proses menyesuaikan diri suasana baharu ini.

“Saya akui, fikiran agak terganggu apabila timbul gosip mengatakan, saya sering keluar dengan gadis berlainan. Segelintir peminat membuat rumusan tersendiri hanya dengan membaca tajuk, tanpa memahami cerita sebenar.

“Kontroversi seperti itu sangat memberi kesan dan saya berharap, selepas ini tidak lagi dikaitkan dengan cerita negatif,” katanya.

Berita Harian X