Isnin, 18 November 2019 | 11:03am
MARDIANA hargai nama yang diberi ibu dan ayahnya biarpun dianggap tidak memiliki nilai komersial. - NSTP/Aswadi Alias

Rela pakai nama asal biarpun tak komersial

KUALA LUMPUR: Biarpun dikatakan tidak memiliki nilai komersial, malah pernah diminta supaya menukar kepada nama lain, pelakon teater dan drama, Mardiana Alwi, bangga membawa nama asalnya.

Mardiana, 31, yang berlakon sejak 13 tahun lalu berkata, dia percaya nama pemberian ibu dan ayahnya itu mempunyai keistimewaan tersendiri, malah tidak terfikir menukarnya semata-mata memenuhi permintaan orang lain.

“Memang ada yang mempertikai, malah menganggap nama itu agak kekampungan. Tidak mengapa kerana bagi saya, nama ini sangat istimewa, apatah lagi, ia adalah pemberian ibu dan ayah.

“Saya percaya, nama tidak dapat mengubah apa-apa, selagi bakat tidak ditonjolkan. Alhamdulillah, saya masih teguh dengan pendirian untuk tidak menukar nama supaya kedengaran lebih komersial, sebaliknya bersyukur, rezeki dalam bidang lakonan tetap ada,” katanya.

Tambahnya lagi, nama yang dibawanya itu juga bagaikan peringatan supaya dia lebih berhati-hati dalam setiap tindak tanduk untuk tidak mencalar reputasi dan kepercayaan keluarga.

Pelakon yang dikenali menerusi drama adaptasi novel, Isteri Tuan Ehsan dan Mr Grey itu bersyukur, sepanjang berada dalam industri hiburan, namanya tidak pernah terpalit dengan kontroversi.

“Sebelum mendirikan rumah tangga, ibu sentiasa menjadi teman setia ke mana sahaja saya pergi. Ia secara tidak langsung membuatkan orang lain tidak berani mengambil kesempatan kerana menghormati ibu yang ada bersama.

“Tidak dinafikan, apabila nama tidak pernah terpalit dengan isu panas, sukar untuk saya meraih perhatian ramai. Tidak mengapa. Asalkan bakat saya disedari peminat dan penggiat seni, itu sudah memadai,” katanya.

Tambah Mardiana, dia juga mementingkan penyampaian karakter supaya penonton faham dan berpuas hati dengan mutu lakonannya.

Terbaru, Mardiana bakal muncul menerusi telefilem Lafaz untuk siaran RTM, bulan depan. Telefilem arahan Hisyamudin Ahmad itu turut menampilkan Qi Razali, Wan Hanafi Su, Syazwan Zulkifky, Salina Saibi, Akmal Ahmad, Diana Aqila dan Syed Muhammad Baqir.

Mardiana mendirikan rumah tangga dengan jurutera, Abdul Aziz Rahamat pada 21 November 2015 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Bilal Abdul Aziz yang kini berusia setahun lima bulan.

Berita Harian X