Ahad, 17 November 2019 | 3:09pm
TAJUL kini bergelar bapa selepas isterinya melahirkan anak perempuan, Adriana Carissa, malam tadi. Foto IG Tajul

Tajul sebak lihat isteri bertarung nyawa lahirkan anak

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tajul Ariff, mengakui tidak dapat mengawal air matanya melihat pengorbanan isteri tercinta melahirkan cahaya mata sulung mereka, Adriana Carissa, jam 11.56 malam tadi.

Katanya, dia terharu melihat kekuatan semangat isterinya, Nurul Shamieza Eddie, 23, yang bertarung nyawa sepanjang beberapa jam di bilik bersalin sebelum bayi perempuan mereka dilahirkan secara normal dengan berat 2.8 kilogram.

“Isteri dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit, semalam. Sepanjang tempoh itu, saya melihat kekuatan semangat wanita yang bertarung nyawa demi melahirkan zuriat untuk suami.

“Memang besar pengorbanan mereka hingga saya tidak sedar, air mata menitis. Saya tidak mungkin mampu berdepan kesakitan seperti itu.

“Saya bertuah dapat melalui pengalaman itu, malah ia membuatkan saya lebih menghormati dan menghargai pengorbanan ibu serta isteri,” katanya.

Tajul berkata, sejak dua minggu lalu, dia sudah mengosongkan jadual kerjanya sebagai persediaan menemani isterinya di bilik bersalin.

Akui Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Mohd Noor Shari, 21, biarpun dimomokkan dengan suasana menggerunkan menanti detik mendebarkan itu, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, dia banyak membaca bahan berkaitan, selain meminta tip daripada mereka yang terlebih dahulu melalui pengalaman itu untuk memastikan dirinya benar-benar bersedia.

“Tipulah kalau tidak takut, namun perasaan itu sebenarnya lebih kepada tidak sanggup, terutama apabila melihat orang yang kita sayang dalam kesakitan.

“Alhamdulillah, proses kelahiran berjalan lancar, walaupun tempoh kontraksi agak panjang. Mungkin disebabkan kelahiran yang pertama.

“Selepas ini, saya bercuti selama dua minggu untuk bersama-sama ibu dan ibu mentua menjaga isteri serta bayi kami sepanjang berpantang,” katanya lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sedalam Dalam Rindu itu, menjadi bapa pada usia muda bukan sesuatu yang membebankan kerana dia sudah terbiasa dengan kanak-kanak.

Tajul sebelum ini, merahsiakan perkahwinan yang didirikan pada 10 Disember 2017 itu, namun membuat pengakuan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertama, bulan lalu.

Berita Harian X