Rabu, 13 November 2019 | 1:00pm
Azhar yang melakonkan watak Dr Mahathir dan Fauziah (Dr Siti Hasmah) bakal memulakan penggambaran filem Mahathir The Journey, pertengahan bulan depan. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Risau Tun M tonton lakonan

PETALING JAYA: Diberi amanah melakonkan watak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam filem Mahathir The Journey, Azhar Amir sedar ramai yang mempersoalkan pemilihannya.

Malah, akui, Azhar, 43, dia sendiri tertanya-tanya mengapa dipilih berikutan ramai pelakon hebat menghadiri sesi uji bakat.

“Saya faham jika ada yang mempersoalkan mengapa saya melakonkan watak Dr Mahathir. Saya sendiri tidak sangka dapat menggalas watak utama ini.

“Bukannya calang-calang... Saya diberi peranan pemimpin. Pada masa sama, ada pelakon yang diuji bakat lebih hebat dan popular daripada saya.

“Namun, apabila ditawarkan, semestinya saya teruja dan tidak mahu lepaskan peluang ini. Cuma apa yang saya risau, filem biografi ini membabitkan pemimpin yang masih hidup dan pastinya Dr Mahathir akan menonton lakonan saya,” katanya kepada BH Online.

Isnin lalu, Azhar dan barisan pelakon Mahathir The Journey diperkenalkan pada majlis pelancaran filem berkenaan di sebuah hotel, di sini.

Selain Azhar, Fauziah Latiff diumumkan membawa watak sebagai Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Filem ini turut dijayakan Hilal Azman yang melakonkan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dian P Ramlee (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

Sementara itu, pengarah Mahathir The Journey, Prof Dr Hatta Azad Khan berkata, filem itu bakal mendedahkan perkara yang tidak diketahui ramai mengenai Dr Mahathir dan gambaran jelas sejarah politik negara.

“Filem ini mengisahkan perjalanan kehidupan Tun Mahathir selepas meletak jawatan pada 2003.

“Skrip filem ini sudah mendapat persetujuan Pejabat Perdana Menteri. Malah, produksi merombak skrip sebanyak 12 kali bagi memastikan tiada fakta salah,” katanya.

Membabitkan kos RM6 juta, filem Mahathir The Journey bakal menjalani penggambaran mulai pertengahan bulan depan.

Berita Harian X