Isnin, 11 November 2019 | 4:53pm
Hafiza mengesahkan anaknya, Aliff berada dalam keadaan baik susulan video penyanyi dan pelakon itu ditahan polis di Singapura, tular, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Aliff baik-baik sahaja'

KUALA LUMPUR: Ibu Aliff Aziz, S Hafiza Basharahil meminta orang ramai usah ‘menghukum’ anaknya susulan penularan video yang memaparkan pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura itu ditahan polis di Singapura, pagi semalam.

Meluahkan perasaan melalui video sepanjang empat minit 20 saat di Instagram, Hafiza percaya apa yang berlaku dalam hidup ada hikmahnya.

Melalui video yang menampakkan Aliff sedang mendukung anaknya, Ayden Adrean di kediaman mereka di Singapura, Hafiza mengesahkan Aliff dalam keadaan baik.

“Kepada yang bertanya mengenai anakanda kami, Aliff, alhamdulillah, berkat doa orang ramai, dia okay. Lebih-lebih lagi selepas bertemu dengan anaknya, Ayden. Insya Allah... Aliff baik-baik sahaja.

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmah, hanya Allah saja yang tahu apa yang tersirat di sebaliknya.

“Semoga kita terus bersimpati sesama insan dan janganlah menghakimi orang lain. Dengan rasa rendah diri, saya ingin berterima kasih atas doa kalian... Ia cukup berharga buat kami,” katanya.

Turut kelihatan pada paparan video itu adalah bekas isteri Aliff, Bella Astillah.

Sejak semalam, dua video memaparkan Aliff tular di media sosial. Dalam video pertama, penyanyi itu dilihat bergelut dengan anggota polis yang cuba menahannya.

Aliff yang dilaporkan mabuk, ditahan di Orchard Road, Singapura, kira-kira jam 6.40 pagi dipercayai atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam.

Video kedua pula menampakkan Aliff yang bergelut dengan dua anggota polis yang cuba menggari tangannya, menjerit meminta polis menghubungi bapanya, Aziz Sapdan, menerusi panggilan telefon.

Penyanyi itu menjerit ‘ada orang pukul abang’ sebanyak empat kali.

Berita Harian X